Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mencari kesempurnaan-Vanidah


BENARLAH kata orang menuntut ilmu tidak mengira usia. Apa yang penting adalah kemahuan. Kalau sudah ada kemahuan, usia tua atau muda tidaklah menjadi halangan.

Mungkin itulah yang difikirkan oleh Vanidah Imran. Memang sekali pandang, kehidupannya sudah dianggap sempurna. Dia juga boleh dikatakan sebagai seorang yang berjaya dalam dunia seni. Mempunyai keluarga bahagia dan kerjaya seni yang boleh dibanggakan apabila membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20), namun Vanidah atau mesra di sapa Vee saja sebenarnya masih belum puas kerana merasakan sesuatu ruang kosong dalam kehidupannya belum terisi.

Bukan mendamba harta menggunung atau kemasyhuran memuncak, sebaliknya ibu kepada dua cahaya mata itu mahu menggenggam segulung ijazah sekali gus menjadi pembakar semangat kepada anak-anaknya bahawa tiada yang mustahil di dalam dunia ini asalkan mempunyai keazaman.

Dalam kesibukan menguruskan rumah tangga dan memenuhi jadual penggambaran, diam-diam pelakon yang mesra disapa Vee sudah memulakan pengajian di sebuah kolej swasta sejak setahun lalu dengan memasuki kuliah pada setiap hujung minggu.

“Dalam hidup kita perlu punya perancangan dan inilah impian saya. Walaupun pengajian mengambil masa empat tahun, saya bertuah kerana punya suami yang memberikan sokongan selain pensyarah serta rakan kuliah yang sentiasa sudi membantu,” katanya yang awalnya enggan berkongsi cerita mengenai rutin baru hidupnya.
Barangkali tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk, Vee lebih selesa berbual hal lakonan namun selepas beberapa kali diasak, barulah terkeluar sedikit demi sedikit kisah pengajian yang katanya, memberi pengalaman baru apatah lagi dikelilingi rakan kuliah yang lebih muda.

Begitupun, isteri Rashidi Ishak ini masih merahsiakan kolej pengajian atau jurusan diambil tetapi semakin rancak mengatur butir bicara apabila diaju suka duka sepanjang setahun bergelut dengan buku, tugasan mingguan dan kertas peperiksaan.

“Selepas bertahun meninggalkan alam persekolahan, berkeluarga dan sibuk bekerja, tentu janggal masuk sekolah semula. Memang awalnya sukar mahu mengadaptasi dunia baru, namun apabila kita sudah bertekad perkara sukar boleh menjadi mudah.

“Cuma saya masih ingat ketika mengambil peperiksaan, dek kurang tidur dan terkejar-kejar dengan masa, saya muntah di dewan peperiksaan. Apa pun pengalaman itu membuatkan saya sentiasa beringat supaya tidak lagi menelaah pada saat akhir,” kata aktres berusia 37 tahun itu.

Mengimbas semula keputusan menyambung pengajian, semuanya hasil perbincangan sejak dulu dengan mengamalkan giliran apabila Rashidi lebih dulu mengambil jurusan Pengajian Komunikasi Massa di sebuah universiti tempatan dan selepas tamat tahun lalu, kini tiba pula peluang Vee.

Katanya, demi anak-anak masing-masing sentiasa mengamalkan tolak ansur dalam segala hal bagi membolehkan urusan rumah tangga, kerjaya dan pelajaran bergerak seiring malah kaedah terbabit mengeratkan lagi hubungan mereka.

“Syukur suami saya sudah menamatkan pengajian dan selepas dia tamat, saya pula menyambung pengajian. Disebabkan kuliah pada hujung minggu, saya masih dapat memenuhi undangan berlakon, cuma kadang kala di lokasi saya mencuri masa menyiapkan tugasan apabila tiba waktu rehat hingga membuatkan ramai rakan pelik.

“Sekarang mereka semua sudah faham malah memberi sokongan moral. Ada juga yang merisik-risik bagaimana mahu menyambung pengajian seperti saya. Sekurang-kurangnya usaha saya ini turut merangsang teman lain sambung belajar,” katanya lagi.

Ditanya perancangan masa depan, akuinya jika punya peluang dan beroleh ijazah sarjana muda seperti diimpikan dia ingin melanjutkan pengajian peringkat sarjana di sekolah lakonan terkemuka di luar negara sebagai bekalan mempersiapkan diri menjadi tenaga pengajar.

Hasrat itu tertunas di dalam diri selepas mendapat peluang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengendalikan kem motivasi membabitkan penyertaan 150 ahli kelab pencinta filem dari beberapa sekolah di Pantai Timur bersama pensyarah Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Aminah Raphor.

“Walaupun hanya bersama mereka dalam tempoh tiga hari satu malam, banyak ilmu kami kongsi bersama. Awalnya memang kekok kerana saya tidak pernah mengajar tetapi hasil bantuan Aminah, segala-galanya berjalan lancar hingga saya turut mendapat gelaran cikgu.

“Bagi saya ilmu lakonan bukan sekadar belajar beraksi sebaliknya ia lebih kepada mendidik kita supaya lebih berdisiplin dalam hidup. Secara tidak langsung pengalaman itu membakar semangat saya untuk berkongsi ilmu lakonan,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama di bawah arahan Bade, Dendam Maya.

INFO: Vanida Imran


•Membabitkan diri dalam arena seni sejak 17 tahun lalu.


•Pernah mengendalikan RIM Chart Show pada 1997 selain You Asked For It, Kuiz Siapa Boleh dan Kenali Pasangan Anda.


•Meraih gelaran Miss Selangor/Malaysia 1993/94, Miss Selangor Photogenic 1993/94, Miss Malaysia/World Photogenic 1993/94 dan 1st Runner Up Miss Malaysia/World 1993/94


•Tiga kali dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi FFM dan meraih anugerah itu pada FFM 2007.


•Berkahwin dengan bekas anggota Deadmushroom, Rashidi Ishak pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mikhail Imran, 8 dan Maryam Rashika, 5.


•Filem: KL Menjerit, Mami Jarum, Perempuan Melayu Terakhir, Hingga Hujung Nyawa, Mami Jarum Junior, Tujuh Perhentian, The Red Kebaya, Cinta, Sepi, Setem, Akhirat, Histeria, Magika, Hikayat Merong Mahawangsa


•Teater: Megat Terawis, Anak Tanjung, Selendang Umi, Laila Majnun, Keris Sang Puteri, Tun Perak, Lantai T.Pinkie, Anugerah, Merdeka, Merdeka, Merdeka, Visits, Moh Ho Huan, Wangi Jadi Saksi, Mahsuri, Cuci The Muzikal 2
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails