Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rita tertekan


APALAH nasib Rita Rudaini ini, hidupnya tak sudah-sudah bergelora. Yang peliknya, Rita dan suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak bukanlah bermasalah sangat, tetapi rumah tangga mereka bergegar dek kerana mulut dan hasutan orang lain. Malang sungguh nasib si Rita ni.

Tentu ramai yang sudah baca kisah konflik keluarga Rita dengan suaminya itu seperti disiarkan Berita Harian semalam. Raja pun turut simpati pada Rita. Raja tengok Rita dan Aidil pasangan bahagia, malah anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin tak tumpah wajah comel, Aidil.

Sebelum ini, Raja terkejut juga apabila membaca beberapa ruangan gosip, walaupun tak disebutkan nama tetapi cerita tu memang merujuk pada Rita dan suaminya. Yalah, hati mana yang tidak sakit apabila fitnah bertimpa-timpa terkena diri. Kalau dah kerap sangat, lambat laun peminat jadi percaya.

Rita beritahu Raja, dia bukanlah nak bermulut lancang tetapi selama ini, dirinya hanya mendiamkan diri. Cakaplah apa saja, dia hanya diam seribu bahasa kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Tetapi hari ini, dirinya sudah tidak mampu bersabar lagi.

"Saya dan Aidil memang bahagia, lebih lagi dengan kehadiran anak, tetapi nampaknya bahagia kami hanya seketika. Dek kerana mulut dan khianat orang, kami goyah seketika. Tetapi, itu bukan masalah besar. Saya kenal Aidil, dia suami saya, marahnya pula hanya seketika. Saya tertekan apabila satu demi satu gosip berbaur fitnah yang tersebar. Apa salah saya? Kalau pun membenci dan tidak mampu menerima saya sebagai menantu, tapi kasihan pada anak saya, Airit Rayyan yang masih kecil. Jangan pisahkan kasih sayang kami. Saya bukan mahu menyalahkan keluarga mentua, saya sudah lama bersabar dengan kerenah mereka, tetapi sabar saya ada batasannya.

"Saya hormat keluarga mentua, saya masih berharap ada jalan perdamaian antara kami, tetapi nampaknya lorong gelap yang saya temui. Bukan saya tidak baca kenyataan mereka dalam facebook, macam-macam mereka kutuk dan hina saya, tetapi kenapa? Selama hari ini, saya berdiam diri, saya tidak pernah membalas kenyataan mereka kerana saya mahu menjaga air muka dan maruah suami.

"Tetapi mereka nampaknya masih tidak berpuas hati dengan saya. Mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan turut terpalit malu pada suami saya, daripada orang tidak tahu, sekarang satu Malaysia dah tahu. Bertambah saya pelik, ada pula orang luar yang campur tangan dan bertindak menjadi batu api dan penyebar fitnah.
"Saya kesal yang teramat sangat, apa yang mereka dapat memutuskan silaturrahim antara saya dengan keluarga mentua? Berdosa kan... Saya akui antara saya dan Aidil memang tiada masalah, tetapi campur tangan keluarga dan fitnah yang bertaburan membuatkan kami goyah. Dalam agama dah tekankan, jangan campur urusan anak-anak yang sudah berkahwin, biar mereka atur kehidupan mereka.

"Saya sudah dapat rasakan perkahwinan saya memang tidak akan mendapat restu sampai bila-bila. Ketika saya bersalin Airit Rayyan, memang ibu bapa mentua ada menjenguk saya di hospital. Apabila keluarga saya menjemput mereka datang ke Perlis untuk sama-sama menjaga cucu, seribu satu alasan yang mereka berikan. Alasannya, penat berjalan jauh, kalau naik kapal terbang kena berjalan jauh juga. Saya dengan keluarga hanya menggeleng kepala, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Kalau tak ikhlas memang macam tu!

"Apa yang membuatkan saya lebih berkecil hati, selepas lima hari bersalin, suami serba salah apabila keluarga mentua minta nak berjumpa anak. Anak saya baru usia lima hari, takkan boleh nak bawa keluar sesuka hati. Peliknya, kenapa tidak datang menjenguk kami di rumah? Kan elok kalau sama-sama menjaga cucu, tetapi tiada siapa pun datang menjenguk kami ketika itu.

"Saya bertambah berang apabila timbul pula gosip mengatakan saya menipu, cakap berpantang di kampung, tetapi ada di Kuala Lumpur. Ini semua dari mulut siapa? Hakikatnya, selepas beberapa ketika saya berada di Kuala Lumpur saya memang pulang ke kampung. Saya sedar mereka sebenarnya tidak pernah berniat mahu berbaik dengan saya, mereka hanya berlakon. Hebat betul lakonan mereka selama hari ini," cerita Rita kepada Raja sambil menahan sebak.

Sabarlah Rita, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Raja harap keluarga masing-masing dapatlah berbincang cara elok. Takkan masih ada dendam lama meskipun pasangan ini sudah pun ada anak. Eloklah jadikan semangat Aidilfitri ini untuk kita saling bermaaf-maafan. Yang penting, hati kena ikhlas.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails