Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pelengkap Tok Wan


Kehadiran Tristan Tareef anugerah Tuhan paling bernilai bagi selebriti masakan, Datuk Redzuawan Ismail

LIMPAHAN kemewahan dan pujian tidak mungkin sama dengan anugerah yang diberikan Tuhan menerusi kelahiran Tristan Tareef, cucu sulung yang menjadi pelengkap hidup selebriti masakan, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Kelahiran yang disifatkan Chef Wan mengubah seluruh hidupnya, malah mengutuhkan lagi kejituan perasaan kasih dan sayang yang sekian lama subur dalam sanubarinya.

Membahasakan dirinya sebagai Tok Wan, kehadiran Tristan hasil perkahwinan anak kesayangannya, Serina dan Gavin Edward O’luanaigh atau Salahudin Ghaffar, 33 begitu istimewa dalam hidup lelaki berusia 53 tahun itu.

“Tristan ialah anugerah Tuhan paling besar dalam hidup saya. Dia hadir melengkapi hidup keluarga kami. Tristan menyempurnakan segala yang mungkin selama ini hilang atau terabai kerana kesibukan masing-masing tetapi kembali subur dengan kelahirannya.

“Tristan ialah anugerah Tuhan yang tidak ternilai, tidak mungkin dapat diganti dengan apa saja dalam hidup ini. Setiap kali menatap wajah bersihnya, saya tertanya mengapa ada yang sanggup berlaku kejam dan membunuh zuriat sendiri yang tidak berdosa?” katanya yang ditemui di kediamannya di Tiara Ampang, Kuala Lumpur beberapa jam sebelum berangkat ke Eropah.

Keutuhan kasih terhadap Tristan jelas terserlah dalam setiap bicaranya. Tidak cuma itu, Chef Wan turut menitikberatkan setiap aspek pemakanan Serina memandangkan cucunya menyusu badan.
Sepanjang berpantang, Chef Wan akan memastikan Serina menjamah hidangan berkhasiat supaya tumbesaran Tristan seimbang dan sihat.

Hal itu diakui Serina yang turut ada bersama ketika sesi fotografi ini diadakan. Hati kecilnya tersentuh tatkala melihat ketulusan kasih yang menjalar tanpa bertebing dalam diri papanya itu.

“Jika tidak terikat dengan apa-apa komitmen, papa akan menjaga Tristan. Sedikit pun dia tidak mahu berenggang, hinggakan Tristan sendiri begitu rapat dengannya.

“Saya dapat merasai keanehan dalam perlakuan Tristan apabila papa terpaksa bertugas di luar. Tristan seperti kehilangan, membuatkan saya akur magisnya perasaan suci yang lahir dalam jiwa mereka,” kata Serina.

Chef Wan berkata, kelahiran Tristan turut membawanya melalui satu fasa baru yang memberinya semangat dan kekuatan untuk menikmati hidup dengan tenang serta aman.

Sebagai insan, dirinya sarat dibaluti perasaan kasih dan sayang yang mahu dikongsi sesama makhluk hingga pada satu ketika, dia mengutamakan kepentingan orang lain berbanding dirinya sendiri.

Baginya, apa yang penting dalam kehidupan ini adalah keikhlasan lalu sentiasa mengingatkan dirinya supaya bertanggungjawab dan menghormati orang lain.

“Saya belajar untuk memaafkan orang lain kerana Allah itu Maha Pengampun. Biarpun terluka dan kecewa tetapi saya cuba memaafkan perbuatan orang lain kerana hidup ini masih panjang.

“Saya tidak mahu ada dendam dalam diri ini. Tuhan menganugerahkan saya sebuah kehidupan yang sempurna, jadi mengapa perlu saya pentingkan diri sendiri?

“Menatap Tristan menyedarkan saya betapa besar tanggungjawab untuk membentuknya menjadi manusia yang penuh kasih sayang apabila dia dewasa nanti,” katanya, sesekali menahan sebak di dada.

Chef Wan berkata, pada minggu pertama selepas kelahiran Tristan pada petang 13 September lalu dia diburu rindu yang tidak bertepi.

Terpaksa berpisah dengan cucu kesayangannya kerana perlu ke Tokyo, Jepun dan Bangkok, Thailand, hal itu kata Chef Wan, terlalu berat untuk dilakukan.

“Jika boleh setiap saat saya mahu berada di sampingnya. Melihat Tristan membesar hari demi hari, memberi saya sebuah kebahagiaan yang sukar diungkapkan dengan perkataan.

“Tristan terlalu istimewa dalam hidup saya. Memegang jari halusnya dan melihat dia memberikan reaksi, membuat saya bersyukur kerana Tuhan terlalu baik kepada saya dan keluarga.

“Sebagai hamba yang mensyukuri setiap kurniaan-Nya, saya akan menunaikan umrah di Makkah pada 20 Disember depan untuk berterima kasih kepada Allah.

“Cuma itu yang mampu saya lakukan untuk menyatakan betapa saya menghargai pemberian Allah ini,” kata Chef Wan dalam nada terharu.

Meraih pengiktirafan luar

SELAMA 26 tahun berkecimpung dalam seni kulinari, penghargaan demi penghargaan diterimanya membuatkan Chef Wan terharu kerana sumbangannya diiktiraf hingga di peringkat antarabangsa.

September lalu, Chef Wan terbang ke Bangkok untuk menerima trofi, Friends of Thailand Awards 2010 daripada kerajaan Thailand atas pencapaian serta sumbangannya kepada industri pelancongan negara itu.

Pengiktirafan yang membuat air matanya menitis kerana kerja keras Chef Wan selama 26 tahun diperakui oleh masyarakat luar.

“Dunia hari ini dipenuhi dengan permusuhan dan perebutan kuasa tetapi siapa menyangka kuasa sebuah masakan itu sebenarnya mampu menyatukan manusia dari seluruh pelusuk.

“Menerusi makanan, kita menyuburkan persahabatan, cinta dan keprihatinan antara sesama insan. Anugerah ini juga menjadi contoh betapa kita sebagai rakyat Malaysia begitu terbuka dalam menerima dan mengadaptasi budaya masyarakat luar.

“Saya mahu melihat lebih ramai anak tempatan memperluaskan bakat serta kebolehan di mata dunia dan menjadikan anugerah ini sebagai penggerak untuk mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Barangkali tidak ramai yang tahu, di sebalik kejayaan itu Chef Wan terpaksa merentasi onak dan ranjau malah pernah satu ketika dia hampir berputus asa apabila usahanya tidak mendapat sokongan.

Pernah katanya, disebabkan kecewa dia bertekad mahu melarikan diri dan mencari peluang di negara luar yang menghargai segala usaha serta kerja kerasnya.

“Tetapi cinta saya kepada Malaysia terlalu mendalam membuatkan saya terus bertahan walaupun terpaksa berdepan pelbagai kerenah menyakitkan.

“Mungkin penaja korporat tidak melihat betapa kuatnya pengaruh televisyen hingga enggan menyokong setiap kali saya membentangkan kertas cadangan.

“Saya hairan kenapa orang luar menerima dan mengakui kekuatan bakat kita, tetapi di negara sendiri kita seperti mengemis untuk meraih sedikit sokongan.

“Saya tidak tahu apa bukti yang mereka perlukan lagi kerana sepanjang 26 tahun, sudah banyak yang saya berikan untuk memperkenalkan nama Malaysia,” katanya.

Situasi itu kata Chef Wan tidak pernah sesekali memudarkan semangatnya, bahkan perjuangannya akan diteruskan kerana dia ikhlas dalam setiap pekerjaannya.

Baginya, tiada siapa yang mampu menghalang langkahnya untuk terus mara kerana selagi diizinkan Allah, dia akan membawa nama negara di mata dunia dengan caranya tersendiri.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails