Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Saya kecewa sikap Ash'


Dira kesal tuduhan bekas suami tidak benarkan jumpa anak

“MUNGKIN itu cara Ash untuk meluahkan segala ketidakpuasan hatinya kepada saya. Tetapi sebagai orang dewasa dan matang, setiap apa juga masalah boleh dibawa berbincang. Saya percaya setiap apa juga perbuatan dan tindakan kita pasti akan memberikan impak pada kemudian hari. Disebabkan itu, saya tidak mahu membalas luahan yang dibuat Ash.

“Saya berusaha untuk tidak menyakit hatinya dan tidak mahu antara kami ada permusuhan kerana apa pun yang terjadi dia tetap bapa anak saya. Cuma apa yang berlaku membuat saya sedikit kecewa,” kata Dira apabila ditanya mengenai luahan hati bekas suaminya, Ash atau Tengku ShafizRullah Tengku Mohd Shahid yang mendakwa tidak dapat bertemu anak tunggal mereka, Anggun Deandra, 3 tahun, baru-baru ini.

Pemain dram kumpulan Bau itu meluahkan ketidakpuasan hatinya menerusi laman twitter miliknya mendakwa Dira tidak membenarkan dia menemui anak mereka apabila tidak menjawab panggilan telefon yang dibuatnya.

Menjelaskan perkara itu, Dira berkata, dia berharap jalinan komunikasi antara mereka akan berubah lebih baik kerana apa yang berlaku sekadar salah faham. Enggan perkara itu berlarutan, Dira juga memohon isu itu tidak diperbesarkan kerana mahu menjaga keharmonian demi anak tunggal kesayangan mereka.

“Mungkin ia memerlukan sedikit masa tetapi saya percaya, setiap masalah boleh diselesaikan dengan cara berunding. Saya tidak tahu kenapa Ash bertindak begitu. Jika itu caranya untuk melepaskan kemarahan, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Itu mungkin caranya dan lebih baik ditanyakan kepadanya. Jalan terbaik ketika ini adalah berdiam diri daripada turut sama memberi kenyataan dan memburukkan lagi keadaan,” kata Dira.

Dira berkata, selepas berpisah dia tidak pernah memusuhi lelaki yang hidup bersamanya lebih tiga tahun. Biarpun hak penjagaan diberikan kepadanya, Dira tidak pernah menghalang Ash untuk bertemu dengan Anggun.
“Itu hanya interpretasi Ash yang mungkin salah faham apabila saya tidak menjawab panggilannya. Kebetulan kebelakangan ini saya agak sibuk dengan latihan teater, jadi setiap urusan memerlukan masa. Bagi saya, ada banyak cara untuk melepaskan marah atau perasaan tidak puas hati. Bertindaklah seiring kematangan usia dan pengalaman,” nasihat Dira.

Masih belum bertemu pengganti di hati, Dira berkata, dia juga sibuk menyelesaikan beberapa urusan kerana berhasrat mahu melanjutkan pelajaran di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). Akuinya, dia sudah memperoleh tempat untuk menyambung pelajaran dalam pembikinan filem di sebuah institusi pengajian di sana.

“Insya-Allah jika semua menjadi kenyataan saya akan berlepas ke AS pada Mac depan kerana pengajian cuma bermula pada April.

Saya hanya mengambil pengajian pendek, memadai untuk saya mengutip pengalaman dan mencari segala sebab serta punca mengapa Hollywood menjadi kiblat kepada industri perfileman dunia.

“Saya ke sana bukan kerana menidakkan keupayaan institusi pengajian tempatan, sebaliknya saya perlukan pendedahan. Jika ada rezeki, saya ingin mencari peluang bekerja di sana sebelum pulang ke tanah air,” katanya.

Jujur kata Dira, niat untuk belajar di luar negara sudah lama tersimpan di hatinya. Malah sebelum bernikah lagi, dia ingin menyambung pengajian di United Kingdom tetapi tidak mendapat keizinan keluarga.

“Niat di hati memang saya akan membawa Anggun bersama dan sekarang, saya sedang menguruskan semua dokumen berkaitan.

Saya tidak boleh hidup tanpa dia. Mungkin untuk berpisah seminggu dua, saya kuat tetapi untuk jarak masa berbulan-bulan saya tidak dapat membayangkannya,” kata Dira.

Saat mengambil keputusan itu kata Dira, dia tidak melakukannya sendirian. Selain pandangan ahli keluarga, dia juga berbincang dengan Ash kerana lelaki itu juga mempunyai hak untuk menjaga Anggun.

Ketika ini, Dira sedang dalam latihan untuk pementasan teater terbaru lakonannya, Banduan Akhir Di Sel Akhir yang dipentaskan dari 10 hingga 14 Oktober ini. Teater diadaptasi daripada kisah benar itu diarahkan Namron terbitan Amnesty International Malaysia dengan kerjasama Rumah Anak Teater.
Pementasan tetaer itu berlangsung di Black Box @ MAP Level G2-01, Block A5, Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, Off Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Membawakan watak Yong Vui Fong, teater itu kata Dira, menuntut emosi yang pelbagai membuatkan dia sangat teruja menjayakannya.

Aktif berteater sejak tahun lalu selepas diajak Zahiril Adzim, Dira berkata, dia menemui apa dicarinya sebagai pelakon menerusi teater.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails