Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hero Akasia dalam kenangan


HAMPIR 1,000 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai memberikan penghormatan terakhir buat jenazah dramatis popular, Allahyarham Faizal Yusop.

Sebaik melangkahkan kaki ke Tanah Perkuburan Islam, Taman Batu Muda, Gombak pada pagi Ahad lalu, kelihatan banyak wajah-wajah yang agak berat untuk menerima berita pemergian aktor muda itu kerana dia dikenali sebagai seorang yang cukup aktif bersukan.

Peluang mengenali arwah sekitar dua tahun lalu ketika penulis bekerja sebagai penolong pengurus produksi penggambaran drama Issandra, Faizal adalah seorang pelakon yang cukup berdedikasi dan tidak pernah menimbulkan masalah di set penggambaran.

Biarpun hanya sekali diberi peluang untuk bekerja bersama arwah, ia cukup untuk memberi gambaran kepada penulis bahawa Faizal adalah seorang lelaki yang cukup disenangi oleh semua orang walaupun ada kalanya, arwah cepat melenting.

Apa pun, kemarahannya tidak lama. Selang beberapa minit, arwah akan kembali menceriakan suasana dengan seribu macam cerita yang diselang-selikan dengan gelak tawa.

Itulah karakter Faizal Yusop, bapa kepada seorang anak berusia dua tahun, Muhammad Rayyan Nakhaie yang sempat penulis kenal suatu ketika dahulu.

Mungkin itu sahaja peluang buat penulis untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Sejurus tamatnya penggambaran, penulis hanya bertemunya sekali sahaja di sebuah kedai mamak sekitar Sentul, kawasan kediamannya.

Maka, tidak hairanlah jika dilihat betapa ramainya insan yang mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan setelah upacara memandikan dan menyembahyangkan jenazahnya di Surau At-Taqwa, Sentul selesai.

Kredibiliti Allahyarham sebagai pelakon yang banyak membintangi drama-drama yang disiarkan di slot Akasia, TV3 itu pasti menjadi kenangan buat insan seni tanah air.

Hormat pada senior

Mengenalinya lebih dari 10 tahun, aktres veteran wanita, Kartina Aziz merupakan antara teman artis yang amat terasa akan kehilangan bintang siri Manjalara itu.

Diibaratkan seperti adik kandung, Kartina bagaikan tidak percaya, arwah yang sering mengusiknya di set penggambaran itu pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

Masih segar di ingatan beberapa bulan lalu, dalam gurauan arwah pernah berpesan kepada Kartina agar jangan sesekali menitiskan air mata sekiranya ditakdirkan dia pergi dahulu.

Bagaimana pun, kata-kata Faizal itu tidak mampu dikotakan Kartina. Sebaik menerima perkhabaran sedih itu sekitar pukul 2 petang Sabtu lalu, Kartina tidak termampu untuk menahan air matanya dari terus mengalir.

Katanya, arwah seorang lelaki yang cukup menghormati orang tua dan dia sememangnya disenangi ramai orang.

“Saya cukup suka kalau dijadualkan berlakon bersamanya kerana kehadirannya mampu menceriakan suasana.

“Arwah pandai berjenaka walaupun raut wajahnya serius. Itulah keistimewaan Faizal.

“Walaupun masih terkejut dan tidak percaya dengan berita ini, saya reda dengan pemergian arwah dan berharap segala dosa-dosanya diampunkan,” luah Kartina sambil menahan sebak di dadanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails