Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta Sempurna - Yuna



PADA 20 NOVEMBER lalu ketika berlangsungnya Anugerah Shout! 2010, nama Yunalis Zarai atau Yuna tiba-tiba gempar lagi. Bukan hanya disebabkan tiga kemenangannya, Popstar Award, Break Out Award (Artis Baru), Ultimate Shout! Award menerusi anugerah anjuran 8TV itu, malah ada cerita lain yang dibongkar.

Bayangkan sejak mula melakar di persada seni, namanya tak pernah langsung dicuit dalam hal yang membabitkan kisah peribadi atau lebih tepat lagi sisi bercinta. Kisah sejarah cinta lalunya dengan seorang pekerja di sebuah syarikat TV pun diam begitu saja. Tapi lain pula jadinya pada malam Anugerah Shout! 2010 itu. Gara-gara duduk di sebelah pelakon dan pengacara, Qushairi atau mesra dipanggil dengan nama Qi (disebut Chi), satu lagi versi cerita baru dihidu. Ada yang menebak mereka kini kononnya sedang hangat bercinta. Malah, masing-masing pun tidak sekali cuba berselindung mengenai ukhuwah yang sedang terjalin. Kisah mereka secara tidak langsung menenggelamkan cinta Qi dan pengacara 8TV, Julie Woon. Difahamkan Julie dan Qi sudah putus kasih dan kisah itu tidak digembar-gemburkan sangat.

Bagaimanapun, Qi dan Julie masih kekal berkawan. Kehadiran Yuna pula dalam hidup Qi ketika pelakon drama Blogger Boy itu sudah kembali solo. Dalam hal ini, tidak timbul istilah Yuna merampas kebahagiaan orang lain. Akui Yuna, selain Qi, dia juga mengenali Julie.

“Kalau diikutkan malam itu, sebelum duduk sebelah Qi, saya duduk di sebelah Aizat. Kalau saya duduk lama di sebelah Aizat ketika acara itu, barangkali Aizat pun akan digosipkan dengan saya juga,” seloroh Yuna kepada B*PPOP dalam pertemuan di sebuah kafe di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, sebelum berlangsungnya acara Live Fashion Love Music membabitkan kerjasamanya dengan pereka fesyen, Hana Tajima di bawah label Maysaa London 13 Disember lalu.

Perkenalan Yuna dan Qi mula bersemi Oktober lalu ketika mereka sama-sama terbabit dalam rakaman program Kawanku Bintang Coca Cola yang bersiaran di TV9 setiap Ahad. Qi menggalas tugas sebagai hos bersama Cheryl Samad, manakala Yuna pula sebagai juri tetap di sisi Aubrey Suwito dan Noh Hujan.
Menambah hangat bukti Yuna dan Qi bercinta ialah ketika hadir pada Anugerah Shout! 2010, mereka mengenakan baju dengan rona yang kelihatan sedondon. Ketika Yuna diumum sebagai pemenang, Qi turut dilihat menjadi ‘penjaga’ tas tangannya.

“Sebenarnya kami masih dalam peringkat berkawan. Saling mengenali. Kalau kata kami hadir sedondon itu sebenarnya tidak tepat. Ironinya, kami tidak merancang pun. Apa yang dilihat itu semua kebetulan. Sebenarnya tiada apa yang perlu digembar-gemburkan pun antara kami.

Kalau sudah di peringkat serius, barangkali kami boleh berbicara lanjut mengenainya. Cerita yang kononnya kami sudah berjumpa keluarga masing-masing itu pun tidak tepat. Tetapi kebanyakan kawan saya akan saya perkenalkan kepada mama saya (mesra dipanggil Mak Cik Anum).

“Kalau mama menemani saya bekerja, saya akan perkenalkan kawan baru saya kepadanya termasuklah Qi. Ada masa, mama pun turut serta melepak atau makan bersama dengan kawan-kawan saya. Mama saya pun minat dengan Qi sebenarnya. Saya tak menafikan pernah juga keluar berdua dengan Qi,” kata Yuna yang turut ditemani mama dan sepupunya ketika sesi temubual ini diadakan.

Ternyata perbualan kali ini dengannya jelas menampakkan keterbukaan dan kematangan Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dalam soal membabitkan hati dan perasaan. Lalu B*Pop umpankan lagi dengan soalan apakah benar kemungkinan yang mereka bakal bercinta suatu hari nanti?

“Soal nak serius atau bercinta itu biarlah datang kemudian. Selama ini hinggalah sekarang, keghairahan saya masih tetap dalam bidang muzik. Itu titik fokus saya. Saya tidak mahu, hal lain mengaburi kerjaya saya. Memang kini saya akui agak terbuka dalam soal peribadi tapi itu tidak bererti kerjaya harus diletak ketepi.

“Saya melihat konteks terbuka ini juga pada ruang lingkup berbeza. Saya tidaklah terlalu terbuka sampai tahap begitu teruja bercerita hal yang tidak pasti hujung pangkalnya. Saya masih mahu peminat dan pemerhati muzik mengenali saya dengan hal kerjaya dan bukannya di sebabkan kenal dengan lelaki itu atau ini,” tegas jurucakap dan duta kepada jenama produk penjagaan kebersihan wanita antarabangsa, Libresse itu.

Ditanya mengenai pengacara Destinasi Bajet dan Field Trip To USA di 8TV itu, Yuna berkata, mereka ‘sekepala’ dan berkongsi dalam banyak hal terutama kerjaya dan muzik. Lagipun, sebelum bergelar pengacara dan pelakon, Qi pernah menganggotai kumpulan OAG.

“Dia lelaki yang baik dan sangat menghormati orang tua serta orang di sekelilingnya. Dia kawan yang saya mudah untuk didekati. Dia tidak palsu,” ungkap pemenang tempat kedua Anugerah Juara Lagu 2009 (AJL2009) menerusi lagu Dan Sebenarnya itu.

Sertai The Fader Label

Selepas selesai melunaskan mandatnya menerusi lagu Cinta Sempurna di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 pada malam ini di Stadium Putra Bukit Jalil, Yuna akan ke Amerika Syarikat sekali lagi untuk menyiapkan rakaman album Inggeris (album kedua) sepenuhnya di sana.

Pada Mac lalu, Yuna sudah ke Amerika Syarikat diikuti United Kingdom pada Ogos lalu. Di Amerika Syarikat, Yuna mengikat kontrak selama dua tahun bersama syarikat pengurusan Indie Pop. Lebih membanggakan, dia juga sah menandatangani syarikat rakaman Fader Label sejak bulan lalu.

Fader Label beroperasi di New York. Insya-Allah, ikut perancangan penyanyi lagu Gadis Semasa dan Penakut itu akan ke sana selama enam bulan. Membanggakan, lagu dalam album terbabit itu akan dihasilkan sepenuhnya oleh Yuna dan berkemungkinan besar hanya menggunakan khidmat dua penulis lagu jemputan.

“Saya berterima kasih kepada syarikat Fader Label kerana mempercayai bakat saya dalam penulisan lagu. Dijangka 10 lagu akan dimuatkan. Kami akan memilih lagu yang sedia ada dalam simpanan saya dan barangkali akan dirakamkan semula. Insya-Allah, Decorate antara lagu yang sudah pasti dimasukkan dalam album itu,” katanya sambil memberitahu lagu dalam album itu akan turut dipasarkan secara digital menerusi muat turun on-line popular, iTunes.

Setia menyokong ABPBH

Melihat kepada kelangsungan kerjaya seninya, Yuna pantas menyinar. Lagu Dan Sebenarnya menjadi lesen besar yang terus memperkasakan namanya di persada seni. Album sulungnya, Decorate turut mendapat reaksi positif ramai. Malah anugerah demi anugerah yang diraihnya menjadi mercu tanda kepada legasi seninya.

Selain Anugerah Shout! 2010, AJL-24 dan ABPBH 2009, Yuna juga bersinar di Anugerah Industri Muzik ke-17 dengan memenangi empat anugerah iaitu Artis Baru Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Deeper Conversation), Lagu Pop Terbaik (Dan Sebenarnya) dan Lagu Terbaik (Dan Sebenarnya).

Potensi yang ditunjukkannya kebelakangan ini menjadi antara ramalan untuk namanya berada di dalam kelompok Top 5 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular ABPBH 2010 dan sekali gus dilihat berkemungkinan besar untuk meraih kategori Bintang Paling Popular musim ini.

“Saya mungkin ada dan mungkin tidak tercalon dalam Top 5 kategori itu. Insya-Allah, kalau dicalonkan, saya hanya mampu bersyukur. Kalau tidak tersangkut tak mengapa. Melihat kepada saingan lain, populariti Mizz Nina dan Ana Raffali juga sangat meluas.

“Apa saja boleh terjadi kerana undian semua terletak di tangan peminat. Sebagai anak seni, saya akan terus menyokong ABPBH. Insya-Allah, sekali pun saya sudah berada di Amerika Syarikat mulai tahun depan, siapa tahu saya akan meluangkan masa untuk memeriahkan acara berprestij pada 23 April depan ini,” katanya yang tidak hadir pada malam kemuncak ABPBH 2009 pada April lalu kerana terikat dengan komitmennya di Amerika Syarikat.

Selain menunjukkan peningkatan ketara dalam kerjaya seninya, gadis kelahiran Alor Setar, Kedah yang mula menjadikan medium laman sosial, Myspace untuk berkongsi bakatnya ini turut diperhatikan dalam transformasi gaya dan cara berpakaian.

Sekalipun bertudung, Yuna kini dilihat semakin feminin dan menjadi perintis gaya. Malah, tubuhnya yang tinggi lampai memudahkan apa saja material kain membaluti badannya. Awal pembabitannya dulu, dia gemar menyarung skinny jeans dan baju kemeja. Tapi sekarang, dia bijak menyuai padan pakaian termasuk mengenakan jaket dan skirt labuh.

Kalau ada yang tahu, Yuna turut mengusahakan sebuah butik pakaian dipanggil IamJetfuel yang beroperasi di Subang Jaya. Kerjasamanya bersama pereka fesyen Hana Tajima juga dianggap sebagai batu loncatan untuknya meneroka sisi baru dengan memiliki koleksi pakaian sendiri.

“Sejujurnya, memang saya sendiri ada perancangan ke arah itu. Tapi disebabkan kesibukan dalam arena seni, semuanya jadi terbantut. Barangkali pada masa mendatang, saya boleh menjadikan ia sebagai kenyataan terutama dalam memperkenalkan rangkaian fesyen bertudung.

“Tudung bukan alasan untuk kita tidak mementingkan gaya. Dengan sedikit keyakinan dan keberanian, kita yang bertudung ini juga boleh kekal bergaya dan berfesyen. Lihat saja, bagaimana Hana Tajima yang menjadi kegilaan ramai di London dan di negara kita sendiri,” katanya yang sepatutnya menunaikan umrah bersama ibu bapanya Disember lalu tetapi di sebabkan masalah kelambatan visa, semuanya tidak menjadi seperti dirancang.

Mengenai Hana Tajima, Yuna menjelaskan, dia mengenalinya sejak Mei lalu ketika berkunjung ke London. Hana Tajima memeluk Islam sejak lima tahun lalu sebelum mengambil keputusan berkahwin dengan Nibras Hassan. Hana dilahirkan dalam keluarga berdarah campuran Jepun dan Inggeris.

“Ketika berjumpa, kami ada bergambar bersama dan saya ada memuat turunkan gambar terbabit di fanpage (facebook) saya. Tanpa disangka, gambar itu mendapat komen yang banyak daripada peminat. Saya sendiri tidak menyangka, Hana sendiri mempunyai peminat yang ramai di Malaysia.

“Selepas satu perbincangan, kami menyatakan persetujuan untuk sama-sama berkolaborasi dalam acara Live Fashion Love Music. Tak sangka, ramai datang ke Map KL untuk bertemu dengannya hingga ada yang tak boleh masuk. Bajunya juga bersesuaian untuk wanita bertudung dengan harga berpatutan,” kata Yuna yang turut terpilih sebagai artis yang berpeluang menjual cakera padat album Decorate di premis 7 Eleven.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails