Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dah sedia jadi ibu - Bienda


SUDAH lumrah kehidupan selebriti, bila sudah berkahwin pasti ditanya bila pula menimang cahaya mata sekali gus melengkapkan lagi rumah tangga yang dibina.

Mungkin segelintir selebriti tanah air yang sudah lama berkahwin tapi belum dikurniakan cahaya mata menganggap soal anak itu agak sensitif jika sering diasak pihak media dengan soalan yang sama setiap kali ditemubual.


Namun, penyanyi Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razali, 25, yang merahsiakan pernikahannya pada Aidilfitri tahun lalu, lebih suka bersikap terbuka bila ditanya soal anak. Tanyalah apa saja, semuanya dijawab dengan tenang. Secara peribadi, akui Bienda, dia memang tidak sabar untuk menimang cahaya mata sekali gus mengikat lagi kasih sayangnya dan suami, penerbit Primeworks Studios Sdn Bhd, Kamarul Zariman Abd Rahman, (Boy), 27. "Maklumlah, kami berdua sama-sama sukakan kanak-kanak dan tidak sabar untuk bergelar ibu dan bapa. Saya juga tidak merancang kehamilan dan memang sudah bersedia aspek mental dan fizikal untuk mendapat anak pada bila-bila masa saja sekarang.


"Malah, saya sudah membuat pemeriksaan kesihatan dan doktor mengesahkan saya sihat dan boleh mengandung. Cuma masih belum ada rezeki saja lagi untuk kami dapat anak dan kami berdoa pada Tuhan semoga cepat dikurniakan cahaya mata," katanya. Bienda berkata, dia bertuah kerana suami tidak menghalang minatnya untuk terus menyanyi dan berlakon selepas bergelar isteri. "Suami sentiasa menyokong minat saya dari belakang. Bila suami tidak bekerja, dia akan menemani saya di lokasi penggambaran drama. Begitu juga sebaliknya, bila saya tidak ada penggambaran, saya pula yang menemaninya ketika penggambaran.


"Sekalipun sibuk dengan aktiviti seni, saya pastikan kesihatan tidak terjejas untuk membolehkan saya mengandung secepat mungkin," katanya. Ditanya dimana hala tujunya dalam bidang seni, kata Bienda, dia ingin menjadi anak seni yang versatil.


"Saya mula menyanyi pada usia 12 tahun dan berlakon pada usia 17 tahun. Saya juga meminati kedua cabang seni sekali gus kerana dalam bidang seni kita tidak boleh buat satu bidang saja untuk terus bertahan. Pada masa sama saya juga meminati bidang pengacaraan," katanya. Terbaru, Bienda sibuk mengumpul material untuk single terbaru yang dijangka siap pertengahan tahun ini.



"Sebenarnya, album saya tahun lalu kurang dapat sambutan kerana tidak banyak diputarkan stesen radio tempatan.


Kini, saya menaruh harapan pada single terbaru ini nanti. "Saya juga bertanya pandangan suami untuk konsep single baru ini. Suami juga mencadangkan saya bekerja dengan penyanyi dan komposer Radhi OAG untuk bekerjasama dengannya. Kami sudah berjumpa dan berbincang mengenai pembikinan single ini. "Konsep single juga masih World Music kerana saya ingin tampilkan kelainan dari artis lain sesuai dengan penampilan bertudung saya ini," katanya. Bienda ditemui di sesi ramah mesra drama bersiri 20 episod untuk slot lagenda TV3 terbitan JS Pictures Sdn Bhd, Sakti Delima di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, kelmarin.


Hadir sama, barisan pelakon drama ini seperti Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Sheila Rusly, Safura, Catriona Ross, Ungku Ismail, Aida Khalida, Liza Hanim dan ramai lagi.


Mengenai lakonannya dalam drama arahan Jinggo itu, Bienda yang membawa watak utama sebagai Siti Melur dalam drama itu berkata, ia drama terbarunya selepas berkahwin.


Antara drama lakonannya sebelum ini hanya watak pembantu iaitu filem Empat Madu, drama Sebumbung dan Sumpah Bunian. "Sebenarnya, sudah setahun saya tiada tawaran drama bersiri yang panjang dan dapat watak utama pula. Ini juga kali pertama saya bekerja dengan produksi Sheila. "Saya dapat tawaran buat drama ini daripada Sheila ketika sibuk buat persiapan kahwin. Sepatutnya, penggambaran drama ini dibuat lebih awal tapi kerana saya sibuk produksi sanggup menunggu sehingga majlis perkahwinan saya berlangsung. Penggambaran drama ini hanya dapat dimulakan pada 11 Oktober dan berakhir pada 4 Disember lalu," katanya. Lebih bermakna, kata Bienda, dia banyak menimba ilmu lakonan sepanjang penggambaran drama itu.


"Pada mulanya, saya berasa takut untuk bekerja dengan produksi Sheila kerana dengar banyak gosip negatif mengenai dirinya.


"Ada orang kata Sheila garang dan cerewet di lokasi, tapi bila bekerja dengannya, dia bagus dan banyak membimbing pelakon untuk menjiwai watak di lokasi," katanya. Pada masa sama, kata Bienda, dia memang sudah lama menanti peluang untuk bekerja dengan produksi Sheila itu.


"Saya terima tawarannya juga kerana skrip cerita ini menarik. Selalunya cerita epik ini banyak yang tipu dan tidak betul tapi cerita yang diadaptasi sedikit daripada filem Pancha Delima ini berbeza. "Pada hari pertama penggambaran, saya akui susah sikit berlakon. Saya gementar, begitu juga pelakon lain. Saya masih ingat lagi kata Sheila, "Bienda jangan jadi kayu." Pada hari kedua dan seterusnya, barulah saya dapat menjiwai watak dengan baik," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails