Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

‘Tidak adil’ - Adira



Adira nafi dakwaan dia dan rakan kurang berdisiplin

KECAMAN hebat daripada media kerana sesuka hati membatalkan sesi fotografi pada saat akhir barangkali banyak mengajar Adira. Mungkin tidak mahu namanya terus dipalit kontroversi, gadis kelahiran Ranau, Sabah ini hadir satu jam setengah lebih awal ke balai berita daripada waktu dijanjikan.

Wajahnya dibiarkan kosong tanpa sebarang calitan solekan, sementara matanya kelihatan kurang bertenaga. Sejak tujuh bulan tamat pengajian di Akademi Fantasia (AF), jadual naib juara musim kelapan ini sentiasa padat dengan pelbagai undangan persembahan sehingga masa berkualiti untuk diri sendiri terabai. Melihat raut wajah dan matanya, jelas sekali gadis ini ternampak seperti keletihan. Seolah-olah tidak diberikan masa rehat yang mencukupi untuk dia mengumpulkan tenaga supaya boleh tampil segar. Selama tujuh bulan dalam gelanggang seni suara menyedarkan anak bongsu dari lapan bersaudara ini betapa dia tidak boleh main-main dalam mengharungi kehidupan sebagai seniman. Lebih-lebih lagi apabila namanya ‘dibusukkan’ oleh kontroversi ciptaan sendiri.

Tidak lama selepas kes Adira, temannya iaitu gelaran juara AF8, Shahir pula mengikut jejak Adira, Jejaka berasal dari Perak itu tiba-tiba ‘menghilangkan’ diri untuk sesi fotografi dan persembahan yang sudah diatur pihak pengurusan. Apabila dua-dua pemenang utamanya buat hal, ramai mula mempertikaikan, adakah ke semua pelajar AF8 bermasalah?

Gadis peramah ini bagaimanapun kurang bersetuju apabila mereka dituduh sedemikian rupa. Katanya, janganlah sewenang-wenangnya menyalahkan mereka kerana kontroversi yang berlaku.

“Orang di luar tidak tahu masalah yang kami hadapi, contohnya seperti Shahir. Mungkin pada ketika itu dia mempunyai masalah yang tidak boleh dikongsi dengan semua orang. Jadi kita perlulah menghormati tindakannya.
“Saya mengaku pernah melakukan kesilapan tetapi masalah itu sudah pun selesai. Kalau boleh saya tidak mahu mengulang kesalahan yang sama dan saya takut perkara itu terjadi lagi. Bagaimanapun semuanya berlaku secara tidak disengajakan yang berpunca dari masalah komunikasi.

“Namun saya kurang setuju jika orang melabelkan semua pelajar AF8 bermasalah dan bersikap teruk. Bagi saya dakwaan itu tidak betul kerana mereka tidak tahu hujung pangkal cerita kami,” kata Adira yang bersyukur kerana kerjaya seninya berkembang mekar.

Walaupun kerja seninya semakin laju, Adira berkata di awal pembabitan, dia agak terkejut dengan jadual kerjanya yang terlalu padat sehingga tidak mempunyai ruang waktu untuk berehat.

Fikir Adira, kerjaya sebagai penyanyi mudah. Tidak perlu berpenat lelah dan mempunyai banyak masa terluang untuk diri sendiri. Namun sebaik melangkah ke dunia ini, barulah dia tahu kerjaya sebagai anak seni menuntut pengorbanan yang besar.

“Pada mulanya saya fikirkan jadi artis senang dan tidak memenatkan. Tetapi bila sudah berada dalam bidang ini barulah saya tahu dunia seni menuntut pengorbanan besar. Antaranya masa tidur yang tidak mencukupi, tiada masa rehat dan pengorbanan paling besar apabila tidak dapat bersama dengan keluarga.

Tidak ada rasa kesal

BUKAN mengeluh tetapi Adira mengaku kesibukannya memenuhi jadual kerjaya seninya membuatkan masa untuk keluarga dan adik-beradik di Sabah menjadi sangat terbatas.

“Kali terakhir saya berjumpa keluarga kira-kira tiga hingga empat bulan lalu. Jika ada undangan persembahan di Sabah, saya ambil kesempatan pulang ke rumah keluarga di Kundasang. Kalau tak sempat, keluarga akan datang menjenguk di hotel saja ataupun ibu saya akan terbang ke sini.

“Sebab itu jika ada masa terluang, saya lebih suka menghabiskan masa di rumah dengan tidur dan berehat secukupnya. Saya tidak berapa suka keluar berjalan-jalan, kalau hendak keluar sekalipun, saya hanya akan keluar bersama kakak, abang ataupun teman AF lain seperti Aien, Daus, Iwan mahupun Maulana.

“Bagaimanapun, saya tak pernah menyesal dengan keputusan yang sudah dibuat. Saya menyertai AF kerana minat terhadap dunia nyanyian, jadi saya tidak akan sesekali mempersia-siakan peluang ini,” kata Adira yang namanya tersenarai dalam pencalonan awal bagi kategori Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010).

Gadis ini nyata beruntung kerana meskipun masih baru tetapi namanya menjadi sebutan peminat malah antara yang popular di laman sosial facebook ABPBH.

Sebagai pendatang baru, gadis ini tentu sekali terkejut apabila peminat memberikan sokongan padu kepadanya. Namun perkara itu tidak pernah membuatkan artis kecil molek keturunan Dusun ini untuk mendabik dada.

“Tidak dinafikan saya terkejut apabila mendapat tahu yang nama saya dicalonkan pada peringkat awal. Maklumlah bukan senang untuk berada pada kedudukan itu apatah lagi perlu bersaing dengan banyak nama popular.

“Bagi saya sudah tercalon pun kira bernasib baik, saya hanya meletakkan harapan untuk menang pada rezeki,” katanya yang merindui kehidupan di kampung seperti bersiar-siar menaiki motosikal dan mandi manda di sungai.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails