Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jamal tanggung risiko



DIA digelar legenda yang masih hidup. Lebih 20 tahun disanjung kerana gema vokalnya yang tiada tandingan, Jamal Abdillah berdepan segala kerenah dunia sepanjang tempoh itu.

Memulakan tahun 2011 dengan konsert meganya bergelar J2011-Lagenda, Jamal sekali lagi berdepan kesulitan. Gelaran legenda belum cukup gah untuk dia bersama syarikatnya Bintang Chanel mendapat sokongan penaja sebagai penyumbang impak kepada konsert yang bermula kelmarin hingga esok, di Istana Budaya itu.

"Mungkin pihak saya sendiri lambat menghantar cadangan kepada penaja atau syarikat korporat. Kita faham bahawa bajet mereka dikeluarkan awal tahun sedangkan kita pula datang penghujung tahun untuk mencari penaja.

"Sebenarnya, bagi membuat persiapan untuk mengadakan sesuatu konsert termasuk penyediaan kertas kerja, ia mengambil tempoh selama setahun sebelum penetapan tarikh konsert," kata penyanyi berusia 52 tahun itu optimis.

Bukan sahaja bajet yang terhad, sepanjang penganjuran konsert J2011-Lagenda, penyanyi tersohor menerusi puluhan lagu berhantu itu turut terkena tempias sensasi, kononnya dia 'anak emas' Istana Budaya (IB). Disebabkan faktor itulah, Jamal didakwa mudah mendapat tempat di Panggung Sari yang menjadi dambaan ramai anak seni.

Sensasi Bintang: Apa masalah utama menyebabkan sukar mendapat kepercayaan penaja?

JAMAL ABDILLAH: Mungkin kertas kerja pihak saya tidak berjaya meyakinkan, penaja perlu tahu apakah keuntungan dan pulangan pelaburan yang mereka perolehi sekiranya menaja konsert seseorang artis. Keyakinan itu yang saya tidak mampu buktikan. Bab itulah yang saya tidak arif. Tak mengapalah, lagi pun tahun lepas juga saya buat konsert tanpa penaja besar.

Untuk konsert kali ini pula, adakah Jamal berpuas hati dengan keseluruhan kelancaran dan perancangan yang telah diatur?

Ikutkan kata hati, saya mahu hasil yang lebih baik setiap mengadakan konsert. Kalau dilihat dari segi masa yang diperuntukkan dengan latihan, inilah hasil terbaik yang telah saya usahakan.

Ada yang berpendapat konsep mengembalikan lagu-lagu legenda ke dalam konsert besar seperti di IB ini kurang tepat kerana ada penonton tetap mahu melihat Jamal mendendangkan lagu-lagu popular?

Sebenarnya saya terpaksa memilih lagu-lagu yang tidak pernah dinyanyikan pada konsert sebelum ini untuk konsert ini. Saya takut orang bosan saya asyik menyanyikan lagu yang sama. Jadi untuk konsert J2011-Lagenda ini, itulah kelainan yang cuba saya tonjolkan. Inilah masalah yang sering dihadapi oleh seorang penghibur, susah untuk penuhi selera semua dan serba-salah pula saya jadinya.

Jadikah adakah konsert ini satu projek eksperimental daripada Jamal sendiri?

Ia boleh dikatakan begitu. Semasa proses latihan sebenarnya ada berlaku rombakan dari segi pemilihan lagu. Sebab itulah sepanjang konsert ini, saya ada menyanyikan lagu Kau Lupa Janji, Di Sudut Kamar Hatiku dan Gadis Melayu. Kalau ikutkan, lagu-lagu itu tiada dalam senarai asal.

Kenapa Jamal beria-ria mahu merakam konsert J2011- Lagenda ini sebagai konsert yang diisi dengan lagu legenda?

Sebab saya memang meminati lagu-lagu berkenaan sejak dari zaman muda lagi. Lagu-lagu S. Effendi, Yopie Latul, M. Bakri, Eddie Silitongga serta lagu Seniman Agung Tan Sri Ramlee merupakan lagu yang saya minati. Memang hasrat saya mahu merakamkan penghargaan terhadap seniman-seniman itu di atas satu pentas. Begitu juga dengan Datuk Dr. Ahmad Nawab sendiri yang saya undang ke pentas untuk sama-sama menghidupkan konsert berkenaan.

Tidak bimbang dengan risiko peminat akan kecewa?

Sebagai penyanyi, saya memang kena berdepan risiko. Saya mengangkat lagu-lagu legenda dan dialunkan dengan vokal dan penyampaian saya yang tersendiri untuk dinikmati oleh peminat. Saya harap peminat suka.

Dari awal lagi, Jamal ada bercakap tentang penataan cahaya berkonsepkan PANI (teknik pencahayaan daripada Austria), malangnya elemen itu tidak dapat disaksikan dari pentas konsert?

Memang saya mahu aplikasi konsep itu, tetapi apabila digunakan ia mengganggu ruang pentas, terlalu dan menjejas fokus penonton. Jadi, sepanjang konsert cahaya PANI itu dipancarkan ke bumbung IB, dan ia boleh disaksikan dengan jelas apabila khalayak umum yang melalui jalan sekitar IB.

Apa perkembangan terbaru Jamal, dengarnya ada sebuah konsert besar menanti?

Ya. Dalam perancangan akan ada satu konsert saya di Stadium Tertutup Singapura, Mac ini.

Masih ada perancangan untuk tampil dengan album baru?

Album baru studio yang akan diterbit oleh Ahmad Nawab akan terbit hujung tahun nanti. Sekarang dalam persiapan untuk album kompilasi lagu-lagu legenda termasuk dua buah lagu baru. Sembilan buah lagu sudah dirakamkan dan akan dilancar sekitar Mac ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails