Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Faizal mula simpan rambut



GARA-GARA topik perbualan bersama pendengar Hot FM mengenai keinginan yang ingin dipenuhi pada 2011, Faizal Ismail terperangkap dalam janji yang dibuatnya. Bermula esok, peminat akan melihat perubahan baru dalam dirinya apabila Faizal terpaksa menyimpan rambut bagi mengotakan janjinya kepada peminat siaran Hot FM AM Krew yang dikendalikan bersama Fara Fauzana dan AG.

Penyampai yang sinonim dengan nama ringkas, FBI itu tidak menyangka pandangan yang turut diutarakannya menerusi laman sosial, Facebook (FB) juga mendapat reaksi positif pendengar. Bagi mengotakan janji itu, sejurus usai menjayakan Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) sebagai pengacara, malam ini, anak kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang itu akan muncul dengan penampilan baru, bermula esok. Akui Faizal, dia akan muncul bertopi selama tempoh itu dan hanya bersedia mendedahkan identiti barunya kepada umum dua bulan lagi. “Saya sendiri teragak-agak untuk menyimpan rambut panjang kerana memiliki rambut jenis kerinting tebal. Apabila ada pendengar memberikan cadangan itu, saya cuba mendapatkan reaksi peminat di FB.

“Saya meletakkan sasaran yang tinggi iaitu jika 5,000 peminat mahu saya menyimpan rambut, saya akan penuhi impian mereka. Sangka saya jumlah itu tidak akan mampu dicapai.

“Tetapi sebaliknya berlaku apabila lebih 7,500 peminat memberikan maklum balas dan mahu melihat saya menyimpan rambut.

“Sebagai memenuhi permintaan mereka, saya akan mula menggayakan pelbagai jenis topi esok untuk memberikan kejutan kepada peminat menjelang perubahan imej saya nanti,” katanya mengakui agak cuak menanti tarikh ditetapkan.
Penyandang trofi Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 selama tiga tahun berturut-turut itu berkata, kali terakhir dia berambut panjang ialah ketika mula menyertai Hot FM.

Bagaimanapun, imej baru itu tidak bertahan lama kerana
Faizal selesa membotakkan kepalanya. Malah, sejak dua tahun lalu, dia mula memiliki set pencukur rambut elektrik untuk memudahkan dia melakukan proses itu.

“Bayangkan selama ini kalau rambut tumbuh setengah inci pun saya sudah mula rimas dan segera meminta isteri mencukurnya, bagaimana kalau saya menyimpan rambut lebih panjang daripada itu.

“Tetapi saya melihat keinginan peminat dari sudut positif. Mungkin mereka mahu melihat perbezaan dalam diri saya dan mengapa tidak saya cuba penuhi permintaan mereka.

“Selepas dua bulan, saya akan mendapatkan pandangan mereka semula apakah saya sesuai berambut atau kekal dengan imej botak,” katanya.

Faizal berkata, dia bersama Hot FM sedang menyusun beberapa perancangan termasuk mendapatkan pandangan penata gaya untuk memastikan perubahan yang dilaksanakan berhasil.

“Semua itu masih dalam perbincangan. Cuma apa yang bermain di kepala saya ketika ini, mampukah saya memenuhi hasrat peminat selepas sekian lama tidak berambut panjang,” katanya tertawa.

Beralih topik perbualan, penyampai berzodiak Taurus ini turut menyimpan debaran apabila buat kali keempat terpilih menggalas tanggungjawab berat sebagai pengacara program tahunan popular, AJL25.

Mungkin di mata peminat, kolaborasinya bersama Cheryl Samad dan Ally Iskandar tidak lagi memberi tekanan kerana mereka sudah serasi bekerjasama tetapi Faizal merasakan sebaliknya.

Tekanan kata Faizal, lebih dirasai apabila tahun lalu ramai memberikan komen positif sekali gus mendesak mereka untuk mencari pembaharuan dalam mempertingkatkan mutu persembahan pada malam kemuncak AJL25.

“Pengacara ialah nadi yang menggerakkan perjalanan acara, malah di bahu kami tergalas tanggungjawab besar untuk memastikan perjalanan AJL25 lancar dan kemas.
“Kebiasaannya, kami akan duduk berbincang bagaimana mahu mencorakkan perjalanan acara dua hari sebelum siaran langsung.

“Dari situ, kami akan mencari kesesuaian dan mengolah skrip untuk mendapatkan idea bagi membangkitkan mood pada malam kemuncak.

“Kami akan memberikan 80 peratus kemampuan pada malam latihan penuh, sekali gus melihat reaksi penonton yang hadir untuk diperbaiki pada malam acara kemuncak,” katanya.

Selepas empat tahun bersama AJL, Faizal berkata, keghairahan untuk melihat lagu mana dinobatkan sebagai pemenang AJL25 masih membara.

Bahkan debaran yang dirasai peserta turut dikongsi bersama kerana dia dan Cheryl menjadi saksi jatuh bangun sesebuah lagu sebelum layak ke peringkat final.

“Debaran itu lebih kencang terutama 10 minit sebelum siaran langsung bermula. Ketika itu, saya memilih untuk bersendirian di satu sudut dan cuba memberi fokus kepada tugasan.

“Selalunya Cheryl dan Ally Iskandar akan memberi kata semangat serta dorongan untuk memastikan perjalanan acara licin,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails