Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Adilla mahu perjuang irama keroncong



PENYANYI manis yang suatu ketika dahulu cukup sinonim dengan lagu saduran yang digubah ke irama keroncong, Bukan Aku Tak Cinta iaitu Adilla Idris kini kembali mewarnai persada muzik tanah air.

Biarpun sudah hampir lapan tahun menyepi tanpa sebarang produk terbaru, Adilla sebenarnya tidak pernah sunyi dengan pelbagai undangan nyanyian.

Malah, dia kini sibuk mengusahakan pusat kesihatan sendiri, Adilla Fitness Studio (AFS) yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Ibu kepada empat anak ini biarpun mengambil masa yang agak lama untuk kembali mengubat rindu peminat sebenarnya, tidak pernah pudar daripada gelodak jiwa yang sentiasa meminati bidang nyanyian.

Biarpun sibuk mengusahakan pusat kesihatan sendiri, dia yang turut terlibat dengan pelbagai projek senamrobik bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, selagi boleh enggan undur biarpun setapak dalam nyanyian.

Hasratnya, biarlah irama yang diperjuangkan selama ini iaitu keroncong terus menjadi salah satu tarikan dan tidak lapuk dek peredaran masa.

Menyedari muzik tersebut kian dilupakan, dia tampil berani menongkah arus dengan album terbaru, Rock Keroncong yang kini telah pun mula diedarkan.

Berbeza dengan artis lain, dia yang bernaung di bawah Cherry Talent itu menggunakan medium internet sebagai jalur mempromosi serta menjual produk suaranya itu.

Bagi yang mengikuti perkembangan penyanyi itu pasti mengharapkan sesuatu kelainan daripadanya.

Namun, irama keroncong masih lagi beraja dihatinya biarpun pemilihan lagu-lagunya daripada irama rock yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Ditebak persoalan tersebut, jelas Adilla, itulah pengorbanannya dalam memastikan irama keroncong tidak terus tenggelam di tengah-tengah kepesatan perkembangan muzik tempatan.

Jujur dalam dirinya, sebagai penyanyi dia seboleh mungkin ingin mencuba pelbagai genre muzik malah, menyanyikan lagu-lagu yang menjadi minat ramai dan trend terkini.

“Biarpun ramai yang mengatakan irama keroncong hanya untuk golongan tertentu sahaja namun, bagi saya tidak semestinya ia tiada pengikut.

“Saya memang ingin perjuangkan irama keroncong, sebab itu saya masih lagi setia dengan irama sebegini.

“Dalam nyanyian, kalau boleh saya mahu mencuba genre lain namun biarlah saya utamakan muzik sebegini terlebih dahulu. Perancangan untuk album irama lain biarlah saya fikirkan kemudian,” katanya.

Utamakan kesihatan

Bergelar ibu kepada empat anak berusia antara tiga hingga 13 tahun, membuatkan dirinya lebih serius menjaga kesihatan.

Justeru pembukaan AFS sejak dua tahun lalu bagaikan menterjemah betapa Adilla seorang yang begitu komited dalam soal penjagaan kesihatan.

Baru-baru ini bertempat di Chulan Square, dia meraikan ulang tahun kedua AFS dalam sebuah majlis, Arabian Night 2010 With Adilla Idris.

Dihadiri oleh pengikut setia kelas senamrobik dan ahli AFS, Adilla tidak ketinggalan menyanyi sambil menari poco-poco mengikut rentak irama yang berkumandang.

Menurut Adilla, ahli AFS terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Malah, paling ketara ialah mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

“Ini satu petanda yang baik kerana biarpun sudah lanjut usia namun, mereka masih mementingkan kecerdasan dan kesihatan,” katanya.

Bermula dengan hanya suka-suka, kata Adilla, pertambahan berat badan selepas melahirkan anak membuatkan dia khuatir akan tahap kesihatan dirinya sendiri.

“Sebab itu saya rasa perlu untuk menjaga kesihatan dan AFS adalah bukti bahawa saya begitu serius terhadap penjagaan kesihatan,” katanya.

Adilla dalam perkembangan lain, merancang menerbitkan sendiri buku tentang senamrobik tidak lama lagi.

Menurutnya, buku tersebut bakal memberi pelbagai panduan kepada mereka yang ingin memulakan aktiviti penjagaan kesihatan.

“Sekarang masih dalam proses mengumpul data dan menyiapkan kandungan buku tersebut dan insya-Allah, sekitar Januari akan mula proses suntingan,” kata Adilla sebelum mengakhiri perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails