Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Diana Danielle trauma


Kejadian berlaku pada hari pertama babak aksi penggambaran filem Barajiwa

DIANA DANIELLE berada dalam ketakutan yang amat sangat apabila melihat letupan yang berlaku ketika penggambaran filem Barajiwa di Taman Seputeh, di ibu negara, malam kelmarin. Bagaimanapun, ibu pelakon muda ini, Norsiah Ramli yang dihubungi enggan menjelas lanjut mengenai kejadian itu memandangkan dirinya tidak menemani pelakon terbabit ketika penggambaran namun mengakui anaknya masih trauma dan terkejut dengan insiden terbabit. “Memang Di (Diana Danielle) agak trauma apabila melihat kejadian itu. Dia memang berada di tempat berkenaan dan sedang membuat persiapan untuk masuk ke dalam set.

“Di berada jauh daripada letupan itu. Syukurlah dia tidak mendapat sebarang kecederaan, tetapi agak trauma juga selepas melihat kejadian itu. Mungkin dia terlalu takut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu,” katanya.
Filem Barajiwa adalah arahan Osman Ali dan sudah pun memulakan penggambaran sejak dua minggu lalu.

Insiden mencemaskan ini berlaku pada hari pertama untuk menjayakan babak aksi. Kebakaran di set filem itu juga turut mencederakan seorang pelakon tambahan, Raffi Husin.
Kejadian kira-kira jam 10 malam, kelmarin, berlaku akibat kesilapan teknikal ketika melakukan babak kebakaran yang sepatutnya hanya dimulakan selepas semua pelakon lari dari kawasan terbabit namun arahan petugas terlalu awal mengakibatkan insiden itu.

Begitupun, bermacam versi timbul sebaik saja kejadian itu berlaku termasuk cerita mengatakan aktres utamanya, Diana Danielle ditimpa kemalangan kereta selain kisah ada di antara pelakon lain parah hingga dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Pengarahnya, Osman Ali, berkata hanya seorang mengalami kesan lecur agak teruk tetapi bukan terbakar sebaliknya disebabkan bahang api yang terlampau kuat, namun bersyukur kerana ketika itu pelakon serta kru lain berada jauh daripada kawasan berkenaan.

Begitupun, dia terkilan kerana sejak dua hari lalu kru dan pelakon sudah berlatih menjayakan adegan terbabit terutama memastikan aspek keselamatan malah turut mendapatkan lesen daripada pihak berkaitan serta mengundang pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai pemantau.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana latihan untuk babak kebakaran sudah dilakukan berulang kali, lain kalau petugas yang dipertanggungjawabkan kurang tumpuan. Apabila segala-galanya kita pastikan selamat, tentu kita kecewa dengan insiden ini tambahan pula ada yang tercedera.

“Buat masa ini pelakon terbabit masih dalam rawatan akibat kecederaan terkena bahang panas di bahagian muka selain depan dan belakang badannya manakala seorang lagi kru hanya sebagai pesakit luar kerana melecur sedikit pada tangan,” katanya.

Sebaik saja kebakaran, penggambaran yang bermula sejam sebelum itu dihentikan malah mereka turut melawat Raffi yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kebetulan keesokannya seluruh produksi berehat sehari.

“Syukur semua anggota produksi diberi perlindungan insuran, begitu juga Raffi. Segala belanja perubatan dan rawatan susulan ditanggung insuran. Kami berharap dia cepat sembuh. Selepas ini kita akan menyambung penggambaran dengan mendahulukan babak yang tidak membabitkan pelakon itu.

“Walaupun yang lain selamat, kesan trauma masih ada kerana terkejut. Ketika kejadian, saya berada dalam bilik kawalan malah berulang kali mengingatkan petugas di luar pastikan segala-galanya selamat dan hanya memulakan kebakaran selepas semua pelakon lari, namun kemalangan tetap berlaku,” katanya lagi.

Bagaimanapun, insiden berkenaan memberi pengajaran kepadanya supaya mempertingkatkan lagi aspek keselamatan apatah lagi hingga penggambaran berakhir yang dijadualkan pada 1 Februari, semuanya membabitkan aksi lasak termasuk berlawan senjata.

“Dua minggu sebelum ke lokasi, semua pelakon sudah berlatih dengan juru silat profesional untuk adegan bertarung yang turut membabitkan perlawanan menggunakan parang. Kita akan pastikan di set nanti mereka hanya menggunakan parang tiruan yang sama dengan objek sebenar kerana tidak mahu kemalangan berlaku lagi.

“Saya sendiri akan lebih berhati-hati pada masa depan. Kejadian ini beri peringatan kepada saya. Memang semua kru dan pelakon memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan filem aksi ini, sebagai pengarah saya juga memastikan akan meminimumkan segala risiko,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails