Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ketika cinta kembali menyapa - Tengku Zawiyah


DIA pernah berhadapan dengan saat getir yang paling ditakuti oleh semua wanita bergelar isteri. Perceraian! Lima tahun lalu, air mata wanitanya sering merembes ke pipi, berduka nestapa kerana perkahwinan yang dibina atas nama cinta, pecah berderai.

Bukan melawan takdir, tetapi tempoh 20 tahun menjadi isteri yang setia, melahirkan empat putera, dia terpukul apabila rumah tangga diuji. Kerabat diraja Kedah ini ditakdir berhadapan dengan jadam yang terlalu pahit untuk ditelan.

Sementelah bekas suami kemudiannya bernikah dengan seorang artis yang 'luar biasa' popular, Tengku Zawiyah Tengku Izham tidak ada pilihan.

Kehidupan harinya berdondang tanpa sayang, berlagu tanpa irama kebahagiaan kerana terheret dalam perhatian awam.

Takdir membawa Datuk Khalid Jiwa (bekas suaminya) kepada seorang bintang ternama. Takdir juga menjadikan TZ sebagai ibu tunggal yang hidup dalam rasa ingin tahu orang lain.

Bukan salah TZ, bukan salah Datuk K, juga bukan salah Siti Nurhaliza. Tetapi demikianlah takdir menjadikan manusia sebagai 'pelakon' dalam skrip yang tertancap pada kalam kehidupan.

Selepas bercerai, TZ dihimpit media yang berusaha mendasari hatinya. Pun, tabik hormat saya kerana TZ tidak pernah memburukkan sesiapa, tidak juga sepatah kata kejian tentang bekas suaminya. Sesekali, dia bersedia untuk Mingguan Malaysia mewawancara, tetapi bukan untuk menunjukkan siapa yang salah, siapa yang benar.

Baginya, Datuk K adalah bapa kepada empat putera dan mereka pernah menjadi teman serumah, berkongsi satu bilik dan satu katil.

Dia berbeza sekali dengan isteri kepada Raul Lemos si jutawan Timor Leste, kalau boleh saya jadikan sebagai perbandingan.

Jika Atha ke hulu dan ke hilir membuat pelbagai kenyataan kononnya sang suami 'direntap' penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti, sekaligus bercerita banyak yang buruk-buruk tentang wanita popular itu, TZ sebaliknya.

Dia hanya menerima takdir kehidupannya dengan berdiam diri.

Kalau mahu melepas getar rasa, barangkali hanya kepada seorang dua teman yang paling akrab, itu sahaja. Di depan anak-anak juga jarang sekali dia menunjuk sedih.

Mahu saya kongsi di sini, sebagai wartawan, pada waktu itu saya turut menyumbang kepada kesedihan beliau.

Barangkali ada yang menganggap, saya dan teman wartawan Wanda Idris serta jurugambar Shahril Anuar Zain, kurang prihatin. Ini kerana kami memotret gambar Siti bersama anak-anak tirinya untuk gambar muka depan Hari Raya Pancaindera pada isu bertarikh 21 Oktober 2007.

Saya masih ingat, pada suatu petang Ramadan tahun berkenaan, saya berjaya mengatur pertemuan dengan Datuk K dan isteri barunya itu bersama anak-anak. Ia sesuatu yang begitu eksklusif yang telah kami persembahkan kepada pembaca pada ketika itu.

Pun, ketika hari ia disiarkan, TZ menangis pilu. Dalam sedu sedan, dia melahir kecewa yang lebih tebal. Katanya, dia tidak kisah kalau orang lain yang menulis tentang cerita itu, tetapi bukan saya, seorang wartawan yang dia kenal. Dia tidak pernah cemburu atau marah kepada Siti, cuma sebagai wanita yang baru kehilangan ketika itu, saya amat memahami apa maksudnya.

Setelah saya jelaskan pernyataan maaf dan ia adalah tanggungjawab keatas kerja, TZ memahami.

Saya nyatakan, mahu atau tidak, Siti adalah sumber berita saya. Selagi saya menjadi wartawan disebuah akhbar nasional, saya perlu untuk terus menulis cerita tentang diri Siti.

Pun hari ini, saya tumpang gembira kerana TZ sudah bertemu dengan seseorang yang boleh merawat luka lamanya. Lelaki mualaf itu, Rayyan JK Abdullah bakal menikahi wanita jelita pada usia 48 tahun itu pada 12 Mei depan dan diharap ini adalah pernikahan terakhir buat kedua-duanya.

Saya mahu menjadi orang pertama mengucapkan selamat pengantin baru untuk Tengku Zawiyah.

Sesungguhnya saya mahu menumpang gembira kerana sudah ada seorang lelaki yang hadir buat menyapu air matanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails