Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Terima kasihlah tegur saya - Lisa Surihani


NAMA pelakon Lisa Surihani disebut lagi. Kali ini bukan disebabkan kemenangan di mana-mana festival. Tetapi dikaitkan dengan perubahan sikap apabila dilihat seperti melanggar prinsipnya yang “tak mahu seksi” yang dipertahankan selama ini. Beberapa keping gambar Lisa memakai baju mendedahkan bahu dan spaghetti strap yang tersiar menjadi bahan bukti.

Sedikit sebanyak telah menggugat kepercayaan segelintir peminat seni tempatan terhadap diri Lisa yang disangka memiliki personaliti sopan, baik dan beradab.

Luahan rasa tidak puas hati itu juga dilayangkan dan memenuhi peti e-mel Pancaindera baru-baru ini. Masyarakat sekarang cukup sensitif dalam bab-bab berpakaian. Tambahan pula ada segelintir artis wanita yang “berani mati” menayang badan atau berkemban di tempat awam tanpa segan silu. Lisa yang cukup ikonik untuk dijadikan ikutan buat golongan muda turut mendapat tempias yang sama secara tak langsung.

Sungguh pun begitu, wanita yang baru menyambut ulang tahun ke-25 pada 23 Mac lalu ini cukup tenang tatkala persoalan tersebut dibangkitkan.

“Tiada apa-apa yang boleh saya komen tentang perkara tersebut. Saya tak ambil berat sedikit pun soal seksi. Tak sangka pula ada orang lain yang begitu sensitif tentang perkara ini,” reaksi awalnya menyentuh secara dasar isu berkenaan.

Lisa mengakui bahawa gambar yang mendedahkan bahu tersebut dirakam sekitar tahun 2009. Waktu itu dia baru pulang ke tanah air, selepas tamat pengajian undang-undang di University of Aberystwyth Wales, United Kingdom (UK).

Apa yang penting sekarang, dia perlu mengambil langkah teliti. Dia perlu bersikap berhati-hati memilih sebarang pakaian, tak kiralah sama ada untuk fotografi atau acara keramaian.

“Kali ini saya perlu menitik beratkan pakaian, kena jadi pemilih sedikit. Saya tak boleh pakai baju yang terlalu terdedah. Saya tak mahu kembali mengulangi cara pakaian sebegitu sebab tak nak perkara yang sama diperkatakan lagi,” katanya jujur.

Anak kedua dari empat beradik ini juga mengakui bahawa dia rasa lebih selesa dengan cara pemakaiannya sekarang iaitu lebih ringkas dan sederhana.

Dalam pada itu, Lisa menegaskan bahawa dia tidak akan prejudis terhadap wanita lain yang berpakaian seksi.

“Tak semestinya wanita berpakaian singkat dan tipis itu seksi. Ada juga yang litup seluruh badan kelihatan seksi. Pun begitu, ia bergantung kepada cara penerimaan masing-masing.

“Sebab itu kalau ada orang lain berpakaian terdedah, saya tak akan cepat menghukum individu berkenaan dengan tanggapan negatif. Itu tidak adil sebenarnya,” kata Lisa tentang persoalan etika pakaian sesetengah wanita masa kini.

Intim di ranjang

Satu lagi isu hangat melanda pelakon ini apabila kesanggupannya melakonkan adegan ranjang dalam filem Ombak Rindu. Dalam bahasa mudah adegan ranjang adalah adegan seks yang terlindung tetapi membawa konotasi seks.

Berlakon adegan ranjang bersama Aaron Aziz itu menjadi isu besar buat pelakon wanita berstatus bujang sepertinya.

Tatkala persoalan itu dilontarkan, Lisa berkata, dia cukup peka dengan budaya masyarakat tempatan yang sangat sensitif dengan adegan ranjang dan berpelukan dan berciuman.

“Sebenarnya, saya seorang yang cukup mendambakan evolusi dalam memastikan mutu lakonan sendiri. Perlu ada pengembangan dan peningkatan tersendiri. Takkan nak berlakon di takuk yang lama bukan?

“Namun begitu, andai saya menerima watak ‘daring’, tak bermakna saya telah mencemarkan maruah saya dalam bidang lakonan.”

Kenyataan Lisa ini sebenarnya sangat mengejutkan kerana dia mewajarkan apa saja perlakuan demi lakonan. Tetapi hakikatnya itulah kefahaman Lisa mengenai lakonan.

“ Ombak Rindu belum ditayangkan lagi. Tonton dahulu adakah saya keterlaluan atau tidak. Janganlah disebabkan persetujuan saya melakonkan babak ranjang, orang dah mula salah faham terhadap saya,” katanya lagi tanpa rasa bersalah.

Sementara itu dia menafikan menjadi Wajah Eksklusif Astro tidak merimaskan.

“Saya banyak berbincang dengan mummy (Siti Amira Ahmad) dan pengarah tentang apa yang penting atau tidak untuk satu-satu adegan itu.

“Kadang kala ada orang cakap, Lisa itu Lisa ini, tapi percayalah. Saya ada pendirian sendiri. Namun begitu, saya tetap hormati pendapat yang tak gemar dengan lakonan saya.

“Apa juga maklum balas yang saya terima, saya serap agar mudah untuk saya faham gaya pemikiran masyarakat hari ini untuk masa depan,” jelasnya panjang lebar.

Gosip tak jejas impian

Saat diajukan persoalan sama ada hati Lisa tak tersentuh dengan komen negatif sesetengah pihak, dia berkata tidak menjejaskan.

Baginya, perjalanan karier seninya baru bermula. Justeru, Lisa perlu banyak belajar, bergaul dengan penggerak industri seni bagi mengenali kehendak mereka untuk memantapkan karya seni tempatan.

Memang itu bukan satu perkara yang mudah dan Lisa bersedia untuk berkorban “apa sahaja” untuk membina “legasi” sendiri. Biarpun sudah membintangi 13 filem , namun Lisa akui dia masih belum puas dengan mutu lakonannya.

“Saya perlukan lebih banyak pandangan yang dapat memantapkan lakonan saya. Tak kiralah dari mana-mana pihak, asalkan komen tersebut dapat membantu, saya terima. Kalau mana perkara yang kurang baik, saya tolak ke tepi,” jelasnya lagi.

Rancangan masa depan

Menyentuh topik rancangan masa depan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu tentang program Power yang disertainya baru-baru ini. Program yang ditubuhkan di bawah Bank Negara menerusi Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) itu sememangnya banyak faedah kepada generasi muda sepertinya.

Tujuan ditubuhkan untuk mendedahkan cara pengendalian wang ringgit, pembelian aset termasuk rumah dan kereta serta kad kredit itu amat bermakna buat dirinya setakat ini.

Antara artis yang turut sama terlibat adalah Jaclyn Victor, Sazzy Falak, Aishah Sinclair, Liyana Jasmay, Farish Aziz, Dynas Mokhtar, Aizat Amdan dan Yasmin Hani. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web http://www.lvg.com.my/power/.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails