Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tom bertunang dalam diam


INSIDEN dipukul, disepak dan diterajang di tepi jalan masih kekal dalam ingatan. Biarpun luka sudah tak berdarah, parutnya tetap kekal berpanjangan. Sebetulnya dia sudah tidak mahu lagi mengingati kisah yang terjadi pada bulan Julai tahun lalu. Namun atas dasar profesionalisme dah mahu membersihkan maruah yang sudah tercalar, dia nekad mengheret mereka ke muka pengadilan.

Cukup terkesan dengan apa yang terjadi, tidak ada jalan lain yang sesuai buatnya. Apa yang sering bermain di fikiran hanyalah mahu melihat "tangan-tangan" ajaib yang pernah mengasarinya mendapat pengajaran yang sewajarnya.

"Saya tak akan tarik balik kes itu walau apa pun yang terjadi. Apa nak jadi, jadilah. Ini bukan main-main sebab saya pun ada maruah diri.

"Tak tahu bila kes ini akan disebut di mahkamah. Sejujurnya saya sudah bersedia dengan apa sekali kemungkinan dan jangan harap saya nak tarik balik kes melainkan saya mati.

"Lepas kejadian itu saya masih lagi terima bermacam-macam gangguan. Sampai satu tahap saya terpaksa tukar nombor telefon banyak kali.

"Bila pulang ke Taiping, Perak memang saya hati-hati. Perasaan takut tu masih ada walau sudah berlaku hampir setengah tahun. Apa-apa pun saya terpaksa berhati-hati dalam setiap langkah," kata Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 26 tahun.

Insiden yang berlaku pada 11 Julai 2010 itu menyebabkan dia cedera apabila dibelasah sekumpulan lelaki di hadapan sebuah kedai kopi, tidak jauh dari Balai Polis Damansara kerana masalah peribadi.

Tidak mahu mengungkit apa yang telah terjadi kepada dirinya lagi, Tom mahu lebih fokus dalam bidang seni apatah lagi album solonya yang berjudul Redha sudahpun berada di pasaran.

"Saya sudah berhenti kerja sebagai penyanyi kelab. Bukan tak suka dengan kerja tersebut tetapi masih banyak perkara yang saya perlu fikirkan tambahan pula dengan kekangan masa yang tak menentu.

"Bersama dengan Hypmorush Band, memang setiap malam saya kena menyanyi di kelab. Banyak kerja lain yang terpaksa saya ketepikan demi mencari rezeki di kelab tersebut.

"Saya tak ralat berhenti kerja. Memang banyak undangan pentas yang saya dapat selepas berhenti kerja. Kalau niat kita ikhlas, pasti ada jalan terbaik buat kita.

"Apa yang penting kita berusaha untuk jadi yang terbaik dan jangan ada hasad dengki dalam diri," ujar ibu tunggal beranak satu ini lagi.

Bercerita mengenai hal anak, Tom cukup teruja bila melihatkan permata hatinya itu membesar dengan sihat. Walaupun tidak selalu berada di depan mata, dia tahu bekas ibu mertuanya itu akan menjaga Adam yang berusia tiga tahun dengan baik.

Tidak pernah sesal dengan apa yang telah terjadi pada rumah tangga terdahulu, Tom mendedahkan yang dia sudahpun menjadi tunangan orang sejak Aidilfitri tahun lalu lagi.

Majlis yang diadakan secara senyap-senyap itu hanya dihadiri oleh kedua-dua belah pihak tanpa mendapat liputan daripada mana-mana pihak.

Apa yang mengejutkan apabila mengetahui tunangan Tom merupakan lelaki yang dikenali dengan nama Firdaus, 26 tahun yang merupakan lelaki yang sama dalam kes pergaduhan tempoh hari.

"Ya, memang kami dah bertunang hari raya kelima tahun lalu lagi. Semua ini berlaku atas dasar persetujuan kedua-dua belah keluarga yang mahu kami menjalinkan hubungan yang lebih serius.

"Selepas kejadian hitam dulu, dia sudahpun menceraikan isterinya dan sejak itu kami menjalinkan hubungan cinta.

"Dia merupakan cinta pertama saya. Saya berkahwin dengan orang lain dan dia juga begitu. Mungkin takdir-Nya untuk saya kembali bersama dia.

"Tapi saya bukan penyebab dia bercerai. Memang saya kurang senang untuk berbicara soal ini bimbang disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

"Untuk apa saya terus menyorok perkara ini andai kata ia terbongkar kelak. Saya cukup mengharapkan agar ikatan yang kami jalinkan ini akan berterusan sampai ke jenjang pelamin.

"Kalau diikutkan perancangan memang kedua-dua keluarga mahu kami bernikah tahun lalu lagi. Biarlah ekonomi stabil dulu baru kami fikir ke fasa seterusnya," kata Tom.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails