Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sasha kekal hos Dansa


SELEPAS menerima respons yang menggalakkan, dokumentari yang mengupas tentang pengembaraan tarian tradisional dari dalam dan luar negara, Dansa II kini kembali menemui penonton untuk musim kedua bermula 10 Mac ini di saluran ntv7.

Masih mengekalkan pengacaranya iaitu Sasha Bashir, penonton akan disajikan dengan pelbagai lokasi menarik pada musim ini untuk mendalami lenggok tarian tradisional dalam setiap komuniti yang dikunjungi.

Merungkai lebih lanjut mengenai Dansa II, penerbitnya, Mohd. Fadli Mazlan berkata, corak persembahan pada episod kali ini berbeza daripada yang lalu dengan beberapa elemen tambahan yang diketengahkan untuk menjadikan ia lebih menarik.

“Pada episod kali ini, kami selitkan lebih unsur etnik, dramatik, agresif untuk menampakkan kelainan. Selain itu, kami turut memaparkan kepayahan yang dilalui oleh Sasha untuk setiap tarian yang dipelajari.

“Saya akui penggambaran untuk Dansa II memang lebih memenatkan dan saya memastikan bahawa Sasha akan memberikan yang terbaik sepenuhnya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran dokumentari itu di Sunway Giza, Kota Damansara baru-baru ini.

Sebagai rekod, musim pertama dokumentari itu sebanyak 13 episod telah disiarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun 2009 di ntv7 manakala versi bahasa Melayu turut disiarkan pada tahun yang sama menerusi saluran TV3.

Sementara itu, Sasha ketika ditemui dilihat seronok berkongsi segala pengalaman yang telah dikutip sepanjang berkunjung ke-14 buah lokasi berasingan untuk mempelajari pelbagai jenis tarian tradisional.

“Pada musim kali ini, saya lebih selesa dan gaya penyampaian saya lebih baik berbanding musim pertama. Mungkin kerana pada musim pertama, semuanya baru bagi saya, jadi apabila tiba musim kedua, saya lebih selesa.

“Dansa II lebih penat dan mencabar. Ada antara tarian yang saya pelajari belum pernah saya jumpa sebelum ini. Saya turut berdepan dengan kesukaran mempelajari tarian dalam masa yang singkat,” tutur wanita berusia 30 tahun itu.

Selain mempelajari tarian, Dansa turut menuntut Sasha untuk mempersembahkan tarian yang dipelajarinya di hadapan khalayak ramai.

Penonton juga akan dapat mempelajari pelbagai jenis gerakan dan nuansa yang menjadikan sesebuah tarian itu unik.

Setiap langkah untuk menyempurnakan sesebuah tarian akan dirakamkan termasuk pemilihan kostum, aksesori, muzik, nilai sejarah dan signifikan.

Meskipun berjaya mempelajari sebanyak 15 tarian sepanjang penggambaran Dansa II yang mengambil masa hampir lapan bulan, Sasha mengakui dia tidak terlepas daripada berdepan dengan kesukaran untuk mempersembahkan gerak tari yang cantik dan sempurna.

Katanya, salah satu daripada cabaran yang dilalui ialah sukar untuk mendapatkan lenggok yang cantik dan sempurna dalam satu-satu tarian.

“Bagi saya, lenggok tarian yang cantik sukar hendak dilakukan kerana saya masih baru sedangkan mereka semua sudah mula belajar sewaktu kecil dan itu merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka.

“Selain itu, kaki saya pernah beberapa kali tersepit dengan buluh sewaktu melakukan tarian Mangunatip dari Sabah kerana dalam tarian itu, kita tidak boleh tersilap langkah.

“Ada juga tarian yang mempunyai pantang larang seperti tarian Pakarena dari Makassar. Semasa menari, semua penari hanya boleh senyum tanpa menampakkan gigi sedangkan saya sukar untuk berbuat demikian,” ujarnya yang mula menari balet sejak berusia lima tahun.

Secara keseluruhan, Sasha mengakui seronok menjalani penggambaran di 14 buah lokasi iaitu sembilan di dalam negara dan empat lagi di Makassar, Macau, Thailand serta Taiwan.

Selain program di kaca televisyen, Dansa turut diterbitkan dalam bentuk bacaan dan pada episod pertama, sebuah buku bertajuk Dansa: A Dance Journey telah diterbitkan pada tahun 2009.

Buku setebal 200 muka surat itu mengandungi lebih 250 keping gambar-gambar menarik di belakang tabir yang tidak pernah disiarkan.

Dansa II juga bakal dibukukan menggunakan judul Dansa II: The Journey Continues dan akan mula dipasarkan mulai Jun depan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails