Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sekadar berbisik, bukan cium! - Anuar Zain


MESKIPUN tidak terbabit sepenuhnya dalam filem epik pengembaraan Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), jejaka idaman satu Malaya - Anuar Zain - boleh berbangga kerana turut menjadi sebahagian dari filem bermodalkan RM8 juta itu. Lebih bermakna, suara emasnya mengalunkan lagu tema, Sedetik Lebih ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim, turut menjadi nadi serta menghidupkan lagi filem arahan Yusry Abdul Halim ini.

Semuanya serba menjadi buat filem kelapan terbitan KRU Studios ini kerana selain filemnya dipuji hebat, populariti lagu Sedetik Lebih juga apa kurangnya kerana sudah pun melonjak menduduki tangga teratas di semua carta stesen radio tempatan ketika ini.

Keindahan lagu latar serta lagu tema ini yang menimbulkan kekaguman kepada peminat adalah satu penghargaan yang tidak terhingga dalam gabungan Anuar, KRU Studios dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) ini. Gandingan yang tidak pernah dilakukan mana-mana produksi sebelum ini berupaya mencetuskan fenomena baru dalam industri muzik tanah air.

Turut hadir menyaksikan malam gala previu media HMM di Cathay Cineleisure pada 7 Mac lalu, Anuar menyatakan perasaan kagum dengan hasil kerja KRU Studios dan berbangga kerana berpeluang menyanyikan lagu tema HMM.


"Saya kagum apabila lihat produksi tempatan boleh buat macam ini. Kerja sebegini memerlukan kos yang besar tapi mereka membuktikan kemampuan mengikut cara sendiri. Filem ini berskala besar tapi kosnya masih dianggap rendah dengan kualiti yang mereka hasilkan. Skripnya juga bagus dan saya teruja dengan babak aksi pertarungan yang ditampilkan.

"Tak sangka produksi tempatan boleh tampil dengan filem sebegini tapi itulah KRU yang terkenal ada Wow! dan X-factor mereka. Berbaloi rasanya kerana saya turut mencatat nama sebagai penyanyi lagu tema. Alhamdulillah lagu ini semakin popular. Malah kali pertama mendengar melodinya pun saya sudah tertarik dan dapat rasa ia bakal diminati," katanya.


Calon Top 5 Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 2010 ini menambah gandingan kreatif ini perlu diteruskan lagi kerana berupaya memberi kepuasan kepada pendengar. Apatah lagi hasil yang diberikan juga bagus. Namun agak mengecewakan peminatnya apabila penyanyi berusia 41 tahun ini menjelaskan tidak memuatkan lagu indah ini dalam album terbarunya nanti.


"Lagu ini istimewa dan eksklusif jadi biarlah ia di tempatnya sendiri. Memang ada peminat yang minta masukkan dalam album saya tapi bukan mudah kerana membabitkan beberapa kontrak antara saya dan KRU. Namun yang sebenarnya saya tak suka nak campur adukkan lagu ini dalam album saya kerana sebab tadi.

"Saya menghormati prestij lagu ini dan biarlah KRU muatkan dalam projek berkaitan HMM. Biarlah ia 'gah' ini berada pada kelasnya tersendiri. Ramai yang kata saya akan rugi kerana tak ambil peluang, tapi sebenarnya ada sikit perbezaan antara konsep lagu ini dan album terbaru saya.


"Bagaimanapun saya tetap akan menyampaikan lagu ini dalam persembahan yang dijayakan. Sudah ramai pun peminat yang minta saya menyanyikannya dan saya tiada masalah berbuat demikian. Jika itu boleh membahagiakan peminat apa salahnya kerana mereka perlu dihargai," terangnya jujur.

Berbicara mengenai album terbarunya, Anuar meminta peminatnya bersabar kerana masih memperbaiki apa yang dirasakan kurang. Ia kini dalam peringkat 'mastering' dan dijangka akan menemui peminat pada bulan ini ataupun April.


"Saya tampil dengan 8 lagu dan single pertama berjudul Ku Berjanji Kerna Cinta sudah diperdengarkan di stesen radio. Alhamdulillah peminat bagi respon yang baik.

"Mungkin orang akan keliru dengan lagu Sedetik Lebih yang popular sekarang tapi lama-kelamaan mereka dapat membezakan antara kedua-duanya. Lagipun dalam masa sama, ia turut menaikkan populariti saya di mata peminat.


"Kalau ditanyakan mengenai kerjasama saya dengan KRU lagi, insya-Allah tak mustahil kami akan bergandingan pada masa akan datang.

"Lagipun gandingan kami sudah terbukti menerusi lagu ini. Mereka sudah membuktikan kebolehan itu. KRU memang pakar menghasilkan melodi yang menarik," jelasnya.


Seperti kebiasaannya menjelang April, Anuar Zain akan sibuk memenuhi undangan menjayakan persembahan untuk Minggu Setiausaha. Tahun ini dia akan menjayakan persembahan di 3 lokasi iaitu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur pada 6 April, Dewan Seri Melaka, Melaka pada 9 April dan Johor Bahru, Johor yang akan diumumkan secara lengkapnya dalam sidang media kelak.


"Sepanjang April saya memang padat dengan acara ini. Untuk Kuala Lumpur saya akan beraksi dengan iringan enam pemuzik dan tiga penyanyi latar, persembahan di Melaka pula diiringi dengan piano dan keyboards manakala di Johor menggunakan minus-one. Saya ikut apa yang dikehendaki oleh penganjur.

"Tak dinafikan jadual latihan saya agak padat kerana hanya ada tempoh beberapa hari selepas persembahan di Kuala Lumpur yang diikuti dengan Melaka. Namun yang pasti saya akan tampilkan persembahan yang menghiburkan semua yang datang. Saya tak kisah pun sama ada yang datang itu peminat lelaki atau wanita kerana semuanya dilayan sama rata.


"Saya seronok dapat menghiburkan setiausaha kerana setelah penat bekerja mereka patut diberi penghargaan oleh majikan. Memanglah kebanyakan yang datang peminat wanita dan mereka tak segan-segan menjerit bagi meluahkan kegembiraan berbanding kaum lelaki yang lebih memilih berdiam diri.


"Kegembiraan mereka inilah yang jadi isu. Banyak orang kecohkan aksi mereka ketika bersama saya sedangkan mereka hanya bersalaman dan berbisik ke telinga saja. Perkara ini memang dimanipulasikan. Disebabkan muzik yang kuat, peminat terpaksa berbisik sesuatu di telinga saya. Gambar ini dirakam dan akhirnya dimanipulasi kononnya mereka mencium saya.

"Ada juga setengahnya peminat tak sentuh saya tapi gambar pula diambil dari sisi lain yang menampakkan seolah-olah dia mesra dengan saya. Perkara ini sudah kerap berlaku dan menampakkan sisi negatif. Sebenarnya peminat saya masih lagi terkawal dan belum lagi buat perkara di luar batasan.

"Mana-mana peminat pun teruja lihat penyanyi pujaan mereka di depan mata, tapi mereka masih dapat kawal diri dan hanya ingin berhibur," katanya yang meminta isu ini tidak diperkatakan lagi.




>PROFIL
NAMA: Shahrul Anuar Zain
NAMA KOMERSIAL: Anuar Zain
TARIKH LAHIR: 15 Februari 1970
BILANGAN DALAM KELUARGA: Anak kedua daripada lima beradik
ZODIAK: Aquarius
KERJAYA: Penyanyi & berlakon
PENCAPAIAN: AIM 1999-Penyanyi Baru Lelaki Terbaik & Penyanyi Lelaki Terbaik, Anugerah Era 2003-Vokal Lelaki Pilihan, AIM 2003-Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Lagu Terbaik (Keabadian Cinta), ABP-Penyanyi Lelaki Popular, APM 2004-Penyanyi Lelaki Paling Popular, APM 2005-Artis Lelaki Popular, Anugerah Era 2005-Vokal Lelaki Pilihan, APM 2008-Artis Lelaki Terbaik.
ALBUM: Anuar & Ellina (Berdendang Bersama), Kasih Sayang, Nyanyian Sekeping Hati, Anuar Zain (1998), Anuar Zain (2002), Anuar Zain 1998 - 2002, Best of The Best Anuar Zain & Dayang, Anuar Zain Karaoke, Anuar Zain - Platinum Edition, Anuar Zain (2007), Memori Hit Anuar Zain & Ellina
LAGU POPULAR: Bila Resah, Keabadian Cinta, Mungkin, Perpisahan, Lelaki Ini, Ketulusan Hati
SINGLE TERBARU: Sedetik Lebih, Ku Berjanji Kerna Cinta
FILEM: Bintang Hati, Soal Hati


Sedetik Lebih
Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu

Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu
Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa

Kasihku... ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya

Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu
Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu

Lagu & Lirik: Edry Abdul Halim
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails