Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Boleh berlakon dengan Azad - Faezah Elai


LUMRAH seorang anak seni yang sememangnya tidak dapat lari daripada dilanda kontroversi hangat, begitu jua yang terpaksa dilalui oleh Faezah Elai meskipun baru empat tahun bergelar sebagai pelakon.

Ketika dia sedang berusaha keras untuk mencipta nama, tiba-tiba namanya terheret ke kancah kontroversi apabila Faezah dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan Heykal Hanifah yang sudah berumah tangga menyebabkan berlaku pergeseran antara Heykal dan isterinya.

Lebih menyulitkan lagi keadaan, pihak yang dikatakan sebagai punca sehingga timbulnya kontroversi tersebut adalah bekas teman lelakinya iaitu Azad Jazmin yang juga seorang pelakon.

Mengulas mengenai perkara tersebut, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Cinta & Keadilan itu menganggap segala yang berlaku itu telah pun selesai.

“Saya sangat bersyukur kerana kini sudah tidak ada pihak lagi yang terus bercerita mengenai perkara tersebut.

“Apa yang lebih penting adalah terus beri tumpuan kepada karier saya sekarang ini tanpa menghiraukan kontroversi yang berlaku sebelum ini.

“Lagipun peguam saya sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Azad supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Apabila tiada lagi kenyataan yang dikeluarkannya, jadi saya anggap perkara ini selesai,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Cun baru-baru ini.

Sementara itu, ketika ditanya adakah dia bersetuju sekiranya ditawarkan berlakon bersama-sama Azad pada masa akan datang, Faezah,29, menjelaskan dia tidak ada masalah untuk menerima tawaran berkenaan.

Gadis tomboi

Menurutnya lagi, sebagai seorang pelakon dia harus bertindak secara lebih profesional dan tidak mencampuradukkan antara kerja dengan masalah peribadi.

“Dunia hiburan kita pun tidaklah besar dan sekirannya kami bertemu di mana-mana majlis sekalipun, saya tidak keberatan untuk bertegur sapa dengannya kerana saya anggap tiada masalah di antara saya dengannya,” ujarnya.

Sementara itu mengenai pengarah yang telah dikaitkan dengan dirinya itu, akui Faezah hubungannya dengan Heykal memang tidak lebih daripada seorang kawan dan sehingga kini dia masih bekerja di bawah pengarah tersebut.

“Sehingga kini hubungan kami sebagai kawan tetap baik dan ketika ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Asmara 2 di bawah arahan Heykal sendiri,” ujarnya.

Tentunya masih ramai lagi yang mengingati karektor Faezah sebagai seorang gadis tomboi bernama Sofea dalam drama Sutera Maya kira-kira dua tahun yang lalu.

Ternyata dalam drama tersebut, dia telah berjaya membawakan watak tomboi yang diberikan sehingga mendapat pujian daripada ramai penonton yang melihatnya begitu berkesan dengan watak tersebut.

Sementara untuk filem terbarunya berjudul Cun arahan Osman Ali, dia sekali lagi telah diberikan watak yang sama iaitu gadis tomboi bernama Tom di samping pelakon popular iaitu Remy Ishak dan Maya Karin yang banyak melakonkan babak romantis dalam filem itu.

Ketika ditanya adakah dia benar-benar seorang gadis tomboi dalam dunia sebenar, Faezah menafikannya dan menganggap dirinya sama seperti gadis-gadis normal yang lain.

“Sebagai seorang pelakon saya hanya membawakan watak yang diberikan oleh pengarah dengan sebaik mungkin. Namun itu tidak bermakna karektor saya di dalam dan luar lakonan adalah sama.

“Biarpun ada yang melihat saya mampu membawakan watak gadis tomboi dengan begitu berkesan, tetapi saya tidak mahu peminat salah sangka kerana karektor saya di luar memang berbeza,” jelas gadis kelahiran Pulau Pinang itu.

Remy dan Maya

Dalam pada itu, Faezah tidak menafikan bahawa sebenarnya dia juga turut memiliki beberapa rakan wanita yang berperwatakan seperti lelaki dan sebab itu dia tidak mengalami masalah untuk membawakan watak sedemikian.

Dalam filem Cun, Faezah memegang watak sebagai Tom, seorang gadis tomboi yang berasal dari negeri Kedah dan juga pembantu kepada Luna Latisya lakonan Maya Karin.

Sementara itu, ketika ditanya tentang pandangannya terhadap Remy Ishak dan Maya Karin, dia menyifatkan kedua-duanya sebagai pelakon yang cukup hebat.

“Ini adalah kali pertama saya berlakon di samping Remy dan Maya. Apa yang boleh saya katakan, lakonan mereka memang sangat baik dan saya juga banyak belajar daripada mereka ketika berada di lokasi.

“Pada masa yang sama, hubungan dengan pelakon-pelakon yang lain juga agak rapat. Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, kami seolah-olah seperti sebuah keluarga dan saya rasa sangat gembira,” luahnya.

Filem seram

Sepanjang empat tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, tidak dinafikan Faezah kerap berlakon di dalam filem yang lebih bercorak komedi.

Selain Otai dan Cun, sebuah lagi filem berunsur komedi lakonannya yang bakal ditayangkan berjudul Tolong Awekku Pontianak.

Ketika ditanya adakah dia lebih selesa dengan filem yang bercorak sedemikian, dia menyatakan bahawa sebagai seorang pelakon yang sedang mencipta nama dia akan menerima apa sahaja watak yang diberikan.

“Karier lakonan saya baru mencecah empat tahun dan boleh dikatakan ia masih baru lagi. Jadi saya tidaklah terlalu selektif untuk memilih tawaran lakonan yang diberikan.

“Malah, saya juga tidak kisah untuk membawakan apa sahaja watak yang diberikan. Cuma kalau sering diberikan watak yang hampir sama sahaja, mungkin saya akan fikir terlebih dahulu sebelum menerimanya,” jelasnya.

Tambah Faezah, dalam tempoh terdekat ini, dia akan tampil dalam filem terbaru berjudul Senjakala yang akan ditayangkan pada pertengahan April ini.

Senjakala merupakan sebuah filem seram terbaru arahan Ahmad Idham yang turut menampilkan gandingan pelakon popular seperti Liyana Jasmay, Kamal Adli dan pendatang baru Zahiril Adzim.

Menurutnya, memandangkan kali pertama dia membintangi sebuah filem seram, dia mengakui pada mulanya agak sukar buat dirinya untuk membawakan watak yang diberikan.

“Tidak dinafikan memang agak sukar kerana saya sendiri belum ada pengalaman berlakon dalam drama seram. Namun saya anggap ia sebagai satu cabaran dalam usaha untuk mengembangkan lagi karier lakonan saya,” ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails