INGATKAN masa bersahur sahaja elektrik tiada, rupa-rupanya berbuka pun dalam gelap juga.” Itulah kata yang terucap apabila Zizan Nin menceritakan pengalamannya berpuasa pada hari pertama tahun ini kepada Hits baru-baru ini.
Menurut Zizan, pengalaman berpuasa di rumah mertuanya di Ampang gara-gara bekalan elektrik terputus, pastinya akan sentiasa menjadi kenangan dia dan isterinya, Fazilah Hani Harun, setiap kali Ramadan tiba.
Selain itu, pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini juga sangat berharap akan dapat menimang cahaya mata dalam masa terdekat.
“Saya dan isteri sedang berusaha ke arah itu. Saya tidak nafikan, ketika ini kami agak sibuk dengan karier masing-masing.
“Jadi, jika tiada halangan, kami akan berbulan madu ke Vietnam atau Kemboja pada bulan Oktober ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Aquila Emas ditemani isterinya di Hotel Federal Kuala Lumpur.
Kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi juga bakal membuka lembaran kepadanya apabila Zizan bakal memperkenalkan label baju Melayu menggunakan namanya sendiri.
“Buat masa sekarang, saya akan letakkan 30helai baju Melayu di butik K-Maria, di Kota Damansara.
“Harga yang ditawarkan pula sekitar RM220 hingga RM300,” ujarnya sambil tersenyum.
Pelakon yang baru selesai menjalani penggambaran filem Tanda Putera ini juga sempat berkongsi pengalamannya beraya ketika menuntut di Universiti De Monfort, Leicester, England dalam jurusan perniagaan dan kewangan.
“Seingat saya, kejadian itu berlaku pada pagi raya pertama ketika saya masih belajar di tahun akhir pada tahun 1987.
“Pagi itu kami memasak sambil bergembira menyambut raya tetapi tiba-tiba kami terbau hangit. Rupa-rupanya dapur rumah kami terbakar.
“Kelam kabut jadinya apabila tengok dapur sudah terbakar sehinggakan penggera keselamatan pun berbunyi. Jiran-jiran pun bising disebabkan perkara itu,” cerita Zizan sambil ketawa kecil tatkala menyingkap nostalgia beraya di luar negara.