Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Maria Farida tenang bersama anak yatim


AKTRES jelita tanah air yang pernah tampil dalam filem Bisikan Cinta, Maria Farida gembira apabila berpeluang berbuka puasa bersama 30 orang anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Bangi, baru-baru ini.

Beliau yang kelihatan gembira sepanjang majlis berbuka anjuran Hotel The Coronade, Kuala Lumpur berkata, memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim membuatkan hatinya tenang.

"Mengambil keberkatan bulan Ramadan, saya sememangnya berbesar hati dan gembira apabila diberi peluang untuk bersama-sama dengan anak-anak ini semasa berbuka puasa.

"Alhamdulillah dalam menyambut kehadiran Ramadan ini, kita tidak lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik.

"Sesungguhnya hati saya gembira dan teruja berada di sini bersama-sama mereka," katanya yang masih mengekalkan kejelitaan.

Maria yang kini kembali aktif berlakon drama televisyen berkata, jadualnya berubah apabila menjelang Ramadan.

Jelasnya, sepanjang Ramadan ini, jadualnya banyak diisi dengan kerja-kerja amal termasuk menghadirkan diri ke majlis seperti anjuran The Coronade.

"Memang setiap tahun saya akan pastikan bahawa ada masa diperuntukkan untuk hadir ke majlis-majlis amal seperti ini.

"Ini kerana bagi saya, dengan cara inilah saya dapat berkongsi nikmat yang diberikan oleh-Nya bersama mereka yang kurang bernasib baik.

"Bagi saya, walaupun bergelar artis, kita adalah sama di mata Allah. Jadi, selain daripada berbuat amal ibadat, kita juga perlu banyak melakukan amal jariah.

"Itu semua diambil kira oleh-NYA nanti," kata Maria sambil tersenyum puas.

Selain Maria, turut hadir pada majlis tersebut ialah pelakon drama Jelatang, Ryzal Jaafar, bekas peserta Pilih Kasih musim pertama, Reza Hasbi dan Adeline Tsen, pelakon drama Hotel Mania.

Sementara itu, Pengurus Besar hotel berkenaan Sazrul Fadzil berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila dapat menganjurkan sebuah majlis untuk meraikan anak-anak yang berusia antara enam sehingga 17 tahun.

Katanya, majlis seumpama itu juga merupakan tanggung jawab sosial yang perlu digalas oleh pihaknya.

"Kita perlu ada sikap prihatin terhadap nasib golongan yang kurang bernasib baik. Dengan cara ini sahaja kami dapat menunjukkan rasa keprihatinan kami kepada mereka.

"Lagipun dengan membawa mereka berbuka dan bertemu dengan bintang-bintang idola mereka pasti akan memberikan kenangan indah untuk mereka," jelasnya.

Beliau berkata, majlis seumpama itu akan diteruskan pada setiap Ramadan akan datang.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails