MUSIM raya ni macam-macam cerita menarik yang kita dengar pasal artis kita. Memang semuanya cerita indah dan yang baik-baik saja. Sementelah banyak masa rehat dimusim perayaan, pelbagai aktiviti biasa boleh dilakukan pada ketika ini sebelum kembali sibuk dengan agenda seni. Ini termasuklah kisah beberapa artis wanita kita yang sedang asyik masyuk bercinta. Wah, bukan main lagi ya, Syawal menjadi destinasi untuk mencuri hati bakal mentua nampaknya.
Pelakon comel, Diana Danielle khabarnya sempat beraya di rumah kekasih hatinya, Farid Kamil. Hmm, hebat sambutan hari raya Diana bersama ibunya, Mama Norsiah, sampai ke Kedah. Kebetulan keluarga Farid menganjurkan acara rumah terbuka, apa lagi, bertuahlah peminat yang duduk sekitar kediaman orang tua Farid.
Beberapa keping gambar dihantar oleh peminat kepada e-mel Pancaindera menunjukkan betapa bahagia pasangan merpati sejoli ini. Ada yang memuji-muji, Diana nampak cantik sangat, pandai bawa diri bila bertemu keluarga Farid.
"Taklah macam sesetengah artis, hari raya pun solekan tebal macam 'mak lampir'.
"Diana ni 'cool' sangat, jelita dengan baju kurung dan solekan tipisnya. Ni, memang sah-sah bakal mentua akan sayang. Hai, cepatlah nampaknya kita makan nasi minyak pasangan ni ya," kata seorang peminat.
Baguslah kalau macam tu. Macam biasa, Diana bijak meletakkan dirinya dalam apa juga keadaan. Saya tabik dengan pelakon yang seorang ini kerana pada saya dalam keadaan sekarang bukan senang untuk bertemu dengan artis yang ada 'otak' dan mampu berfikiran jauh ke depan.
Kalau sesetengah artis muda masih tersasar mencari haluan, Diana tahu apa yang dia hendak dan tuju untuk masa depan.
Sementelah bergandingan dengan Farid Kamil yang pada pandangan saya juga punya haluan dalam berkarya sebagai anak seni, semoga ada masa depan yang baik untuk mereka.
Seorang lagi, sudah tentu pelakon Abby Abadi. Khabarnya Abby bawa satu keluarga (anak-anak dialah) untuk menziarah ke kampung kekasih hatinya, Zul Ariffin di Perak.
Gambar-gambar gembira Abby dan Zul dikongsi dalam ruangan Fanpage pelakon berkenaan.
Saya tunjuk kat sini sekeping saja. Kalau nak tengok banyak lagi, pergilah ke Fanpage Abby, banyak cerita menarik yang telah dikongsikan pelakon jelita itu dengan peminat dia.
Memang Abby ni cukup sayang peminat. Semua benda dia akan kongsi, kisah sedih ke, kisah gembira ke, pendek kata peminat akan tahu semuanya.
Dalam semangat Syawal, kita harap semua artis yang punya sengketa, buangkanlah semua kekeruhan. Ambil yang jernih. Kita rapatkan semula saf persaudaraan dan sama-sama memberi sumbangan yang baik kepada industri seni. Sampai bila hendak kecoh kerana bergaduh? Malulah kepada peminat sebab disebalik semua kekecohan, orang akan melihat golongan artis sebagai insan yang serba lemah. Jadi, buangkan sengketa, marilah bermaaf-maafan.
