KETIKA ini memang ramai yang memandang artis ini dengan kejayaan yang dikecapi dengan hasil titik peluhnya sendiri. Namun ramai yang tidak tahu penyanyi dan pelakon popular era 1980-an dan 1990-an ini pernah mengalami zaman kejatuhannya sehinggakan terpaksa menyambut hari raya dalam keadaan yang amat perit.
Siapa yang tidak mengenali penyanyi N.D Lala yang pernah merangkul anugerah Juara Lagu 1995 dengan lagunya Diari YB. Penyanyi ini jika dilihat sejarah pembabitannya dalam bidang seni memang tidak pernah terlibat dengan perkara negatif, dia begitu dikenali dengan pembawakan adat Melayu dalam setiap lagu dan tingkah lakunya.
“Ya, saya pernah sambut hari raya dalam keadaan sangat susah, setiap kali datangnya raya memang saya terpaksa laluinya dengan tabah.
“Keadaan ini saya lalui dalam tempoh lima tahun, iaitu pada tahun 2000 hingga 2005, masa ini juga anak-anak semuanya masih kecil. Selepas sembahyang raya saya terus balik ke rumah, tutup semua pintu sebab masa tu memang tiada apa-apa di rumah.
“Ada satu ketika anak saya tanya kenapa tutup pintu sedangkan ada kanak-kanak yang datang nak beraya, saya terpaksa suruh anak senyap, memang pada masa tu kehidupan saya cukup sengsara,” ujar N.D Lala ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dia terpaksa berbohong pada kedua-kedua belah keluarga serta keluarga mertuanya tentang balik kampung.
“Saya pernah cakap kepada keluarga tahun ni tidak balik Ipoh sebab beraya di rumah mertua di Banting dan perkara sama juga abang bagitahu pada keluarga mertua yang saya tidak balik Banting kerana terpaksa beraya di Ipoh. Sebenarnya abang hanya duduk beraya di rumah sahaja pada masa tu.
“Dalam tempoh lima tahun itu juga saya pernah ditipu sehingga menanggung hutang sebanyak RM1.3 juta, dikejar bank, itulah peristiwa yang saya tidak akan lupakan sepanjang hidup," jelasnya.
Langit tak selalunya mendung
Kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu ada benarnya, kini segala kesengsaraan penyanyi ini sudah ditinggal jauh.
Kini, penyanyi yang terkenal dengan lagu Syair Cak Pung yang juga telah dinobatkan sebagai lagu terbaik kategori Etnik Kreatif Juara Lagu 1996 dan lagu terbaik Anugerah Industri Muzik tahun yang sama boleh menarik nafas lega.
Apa tidaknya, dengan usaha keras selama ini, N.D Lala telah berjaya diberi gelaran jutawan pada 2007.
“Ketika ini saya sedang menguruskan bengkel bagi usahawan, syarikat saya N.D Lala Network juga telah dilantik oleh Tekun Nasional sebagai rakan strategik mereka.
“Alhamdulillah, segala perit jerih saya selama ini berhasil, selepas ini saya akan menerbitkan sebuah buku bagi usahawan yang ingin berjaya, buku tersebut berjudul Easy $1 Million.
“Buku ini saya tulis sendiri berdasarkan pengalaman yang pernah abang lalui sendiri, saya akan terbitkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris,” ujarnya.
Tambahnya, tujuan asal menghasilkan buku ini adalah bagi berkongsi dengan orang luar yang susah jangan putus asa kerana jalan kejayaan masih ada.
“Paling penting adalah niat kita, kita kena selalu ingat jika kita kaya ada lagi orang yang lebih kaya daripada kita, dan jika kita hebat ada lagi orang yang lebih hebat daripada kita.”
Syukur anak berjaya
Ditanya berkenaan anaknya Shila yang ketika ini dilihat berada pada tahap yang amat membanggakan, N.D Lala berkata, ini juga adalah usaha dan tidak kenal erti putus asa yang telah ditunjukkan oleh anaknya itu.
“Saya bersyukur atas pencapaian yang telah ditunjukkan oleh Shila, sebelum ini, dia dah mula menyanyi pada usia lapan tahun lagi dan pada usia sembilan tahun dia dah ada album.
“Shila memang mempunyai bakat yang luar biasa, selepas mendapat tempat kedua dalam pertandingan One In the Million dia juga muncul juara di peringkat antarabangsa di Shanghai, dia mempunyai keupayaan dan boleh memenangi hati peminat.
“Apa yang amat mengagumkan, Shila juga boleh menyanyi dalam bahasa Inggeris dan Mandarin,” katanya.
Tambahnya, segala didikan dan tunjuk ajar sejak kecil kini telah membuahkan hasil. Dia amat bersyukur dengan kejayaan yang dikecapi oleh anak gadisnya ketika ini.
“Tiga perkara yang selalu saya pesan padanya adalah setiap sesuatu yang kita ingin buat biarlah dapat restu keluarga, bina hubungan baik dengan pihak media dan akhir sekali, perlulah hargai setiap usaha peminat,” ujarnya.
N.D Lala juga muncul dengan album terbarunya yang berjudul PM Kita, album ini telah dilancar oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Utama Rais Yatim, Jun lalu.
