Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Perkahwinan satu tanggungjawab - Ally


NADA suaranya cukup ceria tatkala Hits dapat berbicara dengan personaliti televisyen popular ini.

Sementelah, segala debaran yang bersarang dalam dada sewaktu menunggu detik bersejarah untuk diijabkabul bersama suri hidupnya, terlerai sudah.

Personaliti bernama penuh Ally Iskandar Mohd. Mardzi ini mengakui sudah lapang dada sebaik sahaja dia sah menjadi suami kepada Nurfarahin Romli, 23, atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, pagi Jumaat lalu bersamaan 20 Januari.

"Rasa seperti tidak percaya pula apabila sudah menjadi suami. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti mana yang kami rancang.

"Cuaca juga cukup baik bagaikan mengiringi perkahwinan kami. Ditambah pula dengan kehadiran sanak-saudara menambahkan lagi seri hari bersejarah kami," beritahu Ally.

Dengan dua kali lafaz, Ally dan Farah selamat dinikahkan oleh juru nikah Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu iaitu Mohd. Abu Bakar kira-kira pukul 10 pagi, di Masjid Kristal.

Dalam majlis yang diadakan dalam suasana sederhana itu, Farah telah menerima mas kahwin sebanyak RM250 dan tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada al-Quran, sebentuk cincin, baju kurung, telekung dan sejadah.

Sementara pengantin perempuan pula membalas dengan sembilan dulang termasuk telefon bimbit, baju Melayu, cincin, jubah dan manisan. Namun, kata Ally, kedua-dua belah keluarga sepakat untuk merahsiakan wang hantaran.

Mendirikan rumah tangga dalam usia 36 tahun, sememangnya sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) ini.

Kalau diikutkan perancangan sebelum ini, kata Ally, dia berhasrat menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun sama dengan usia Rasullullah SAW.

Tetapi, sudah tertulis di loh mahfuz bahawa setiap perancangan yang dilakukan, akhirnya ditentukan oleh Yang Maha Esa.

"Benar, sebelum ini puas saya mencari jodoh dan berkenalan dengan wanita yang saya fikir akan menjadi suri hidup.

"Tetapi, saya percaya dengan Qada dan Qadar bahawa Allah SWT telah menetapkan pada usia saya 36 tahun adalah waktu terbaik untuk saya berkahwin.

"Mungkin sebelum ini saya merasakan sudah bersedia untuk menjadi seorang suami. Tetapi Dia lebih tahu akan perjalanan hamba-Nya.

"Dan, kerana itulah Allah SWT menetapkan hari ini (20 Januari) sebagai tarikh yang paling sesuai untuk saya menjalankan tanggungjawab baru dalam hidup," jelas anak kedua daripada tujuh beradik ini lagi.

Sekadar berkongsi cerita, Ally dan Farah bertemu selepas diperkenalkan oleh adik Ally dalam bulan Ramadan tahun lalu.

Walaupun ia berlaku dalam sekelip mata dan singkat, ternyata keterbukaan Farah untuk menerimanya sebagai suami menambahkan keyakinan Ally untuk menyuntingnya.

Lalu, pada hari ketiga Syawal, Ally telah menghantar rombongan ke rumah Farah untuk menyerahkan cincin sebagai tanda.

Apatah lagi, selepas ibu Ally, Nor Ainon Mohamed sendiri mengesyorkan Farah merupakan calon terbaik buat dirinya.

"Saya percaya dalam setiap apa yang kita lakukan terutama perkahwinan amat penting untuk mendapatkan restu daripada ibu bapa.

"Dalam masa yang sama saya mencari calon isteri, saya juga menyerahkan kepada keluarga untuk mengesyorkan pilihan yang mereka rasakan terbaik untuk diri ini.

"Kini, dengan adanya Farah sebagai isteri, ia adalah pelengkap kepada kehidupan saya sekarang," terang anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi.

Ally turut menambah sepanjang membujang, ibunya memang tidak pernah henti bertanyakan soal jodoh.

Katanya, sebagai anak lelaki pertama dalam keluarga, sudah pasti perhatian itu lebih diberikan kepadanya sehingga Ally sering dibebel oleh si ibu yang menanti waktu untuk melihatnya di pelaminan.

"Ditambah pula dengan kakak dan adik-adik saya yang lain juga ada yang sudah berkahwin. Jadi, atas alasan itu, saya memang menjadi mangsa bebel," ceritanya sambil ketawa kecil.

Jika pasangan lain mahu menimang cahaya mata secepat mungkin, tetap tidak bagi Ally yang lebih selesa mengamalkan perancangan keluarga.

Memang pada usianya kini, Ally sebenarnya sudah layak untuk bergelar bapa, tetapi Ally menjelaskan dia perlu menghormati situasi isterinya yang masih lagi menuntut dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Inha, Incheon, Korea Selatan.

"Saya mahu Farah menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu yang hanya tinggal setahun. Kemudian, barulah kami memikirkan tentang keluarga.

"Dalam tempoh ini juga, saya akan berulang-alik ke Korea bergantung kepada kelapangan masa untuk bersama-sama Farah," kata Ally yang akan kembali mengacarakan Mentor musim keenam tidak lama lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails