Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tidak peduli cakap sekeliling


APABILA nama Jaclyn Victor atau Jac dipilih oleh pihak KRU Studios untuk menggantikan Anuar Zain menyampaikan lagu Sedetik Lebih, ada pihak seakan-akan tidak puas hati dengan keputusan itu.

Bagi mereka, Sedetik Lebih adalah milik mutlak Anuar. Tiada siapa yang mampu menyanyikan lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa itu sehebat beliau.

Cukup sedar akan situasi berkenaan, Jac lebih selesa mengambilnya dari sudut positif sambil menyifatkan ia sebagai satu penghargaan buat dirinya.

"Saya berterima kasih kepada KRU yang meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap diri saya untuk menyampaikan lagu ini sewaktu separuh akhir Muzik-Muzik 26 tempoh hari.

"Bagi saya, soal perbandingan itu tetap akan wujud. Ia adalah lumrah dalam mana-mana pertandingan yang membabitkan penyanyi gantian.

"Memang saya tidak menafikan tekanan itu tetap ada kerana ramai yang sudah terbiasa dengan nyanyian Anuar. Untuk Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) nanti, saya tetap dengan gaya tersendiri tanpa perlu mengikut penyanyi asal," ujar Jac kepada Hits.

Jika disingkap kembali sejarah AJL dalam tempoh 26 tahun ini, Jac bukanlah penyanyi pertama yang menggantikan penyanyi asal.

Pernah beberapa kali dalam pertandingan tersebut perkara sedemikian terjadi. Sebagai contoh, Azman Abu Hassan pernah menggantikan Jamal Abdillah menerusi lagu Perjalananku pada AJL yang pertama (1986).

Begitu juga dengan Sahri yang menyanyikan lagu Izinku Pergi (penyanyi asal Kaer Azami) pada AJL 22 (2008) sehingga berjaya memenangi kategori Balada.

Penyanyi berusia 34 tahun itu juga memberitahu dia hanya menjalankan tanggungjawab yang sudah diberikan kepadanya.

Malah kalau diberi pilihan, Jac sendiri mahu melihat Anuar menyampaikan lagu itu di pentas penuh gah itu.

"Ramai yang mempertikaikan dan bertanyakan kepada saya mengapakah saya yang menyanyikan lagu itu dan bukannya Anuar. Saya sendiri sukar untuk menjawab soalan itu kerana saya tidak tahu alasan sebenar.

"Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu soal itu mengganggu tumpuan saya. Apabila tanggungjawab sudah diserahkan, saya hanya mahu melunaskannya dengan baik tanpa mahu menghampakan Edry Abdul Halim selaku komposer dan penulis lirik lagu indah itu.

"Tetapi semua harus sedar bahawa persaingan tahun ini memang cukup hebat dan 12 buah lagu yang bertanding bukan calang-calang. Jadi kalau semua calon sudah memberikan persembahan terbaik, tetap hanya ada tiga tempat sahaja yang disediakan untuk pemenang," kata Jac penuh optimis.

Pada edisi kali ini, Jac harus memikul satu lagi tanggungjawab apabila lagu Beribu Sesalan yang dinyanyikannya bersama Ning Baizura dan Shila Amzah turut mara ke pertandingan tahunan itu.

Atas alasan itu, pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu mengakui debaran yang dirasainya bukan sedikit.

Namun, dia bersyukur kerana jarak giliran persembahan antara Sedetik Lebih dan Beribu Sesalan tidak terlalu meresahkan Jac.

"Sedetik Lebih berada di giliran kedua manakala Beribu Sesalan pula lagu terakhir. Jadi dalam tempoh itu, saya dapat menyiapkan dan menenangkan diri saya untuk fokus kepada persembahan," ujar Jac.

Mengulas tentang Beribu Sesalan, juara Malaysian Idol pertama itu tidak menafikan keindahan lagu tersebut berjaya meletakkannya dalam kedudukan lagu-lagu popular sepanjang tahun lalu.

Malah Jac gembira dengan penerimaan pencinta muzik tempatan yang dapat menerima konsep baru nyanyian secara trio di negara ini.

"Kalau anda bertanya kepada saya lagu manakah yang akan menang AJL 26 nanti, bagi saya itu sesuatu yang subjektif. Semuanya bergantung kepada kriteria yang dicari juri setiap tahun.

"Siapa yang dapat lupa apabila lagu bercorak folk, Tolong Ingatkan Aku nyanyian dan ciptaan Ana Raffali menang tahun lalu. Jadi, juri yang bertanggungjawab untuk menentukan karya terbaik tidak kira dari apa genre sekali pun untuk dijulang sebagai juara," jelasnya.

AJL ubah hidup

Nama Jac bukanlah baru dalam AJL kerana dia sendiri pernah menyertainya bermula tahun 2005 menerusi dua buah lagu, Gemilang dan Wajah.

Kejayaan berpihak kepada Gemilang apabila diangkat sebagai Juara Lagu sekali gus mempopularkan nama Aubrey Suwito dan Asmin Mudin sebagai komposer dan penulis lirik.

Walaupun AJL mengiktiraf penulis lagu dan lirik, namun, tiada siapa dapat menafikan kesan kemenangan kepada penyanyi.

"Selepas menang AJL, ia memang ubah hidup saya. Ia adalah salah satu pertandingan berprestij yang saya sertai sebaik bergelar juara Malaysian Idol.

"Tidak pernah saya sangka lagu itu diangkat sebagai juara. Lebih manis apabila saya menjadi penyanyi bukan Melayu kedua selepas hampir dua dekad Francissca Peter menjadi pemenang pertama pada 1986.

"Saya tidak menafikan ketika itu, memang ada perasaan mahu menang. Tetapi sekarang ini, semuanya berbeza. Saya lebih selesa untuk memikirkan tentang persembahan dan menjadi lebih terbuka dengan pertandingan ini," kata Jac yang pernah memenangi Vokal Terbaik pada AJL 22 (2008) hasil paduan suaranya bersama Lah Ahmad menerusi Ceritera Cinta.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails