Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Izreen Azminda tertekan


LAZIMNYA, mana-mana wanita, apabila menjelang majlis besar seperti majlis pertunangan, hati pasti berbunga-bunga. Semua itu akan terzahir secara natural pada riak wajah tanpa dipaksa-paksa.

Masakan tidak. Pertunangan ibarat satu kaki sudah melangkah masuk ke dalam fasa seterusnya iaitu fasa perkahwinan.

Bohonglah kalau ada yang tidak suka. Lebih-lebih lagi kalau bakal tunang itu merupakan lelaki yang dicintai.

Pun begitu, situasi sedikit berlainan apabila menyentuh mengenai pertunangan pelakon Izreen Azminda Aznam , 27.

Berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan pada tarikh istimewa 1 Januari lalu, pertunangan itu ibarat membuka jendela baru buat tahun 2012 yang dinanti semua.

Namun, apa yang bersarang dalam hati Izreen dua hari sebelum majlis berlangsung begitu berbeza.

Semuanya gara-gara dia terpaksa berhadapan dengan satu lagi kontroversi dan kali ini ia melibatkan tunangnya sendiri, Muhammad Riza Baharuddin, 29.

Antara kontroversi yang disebarkan ialah status Riza yang pernah berkahwin dengan bekas isteri pelakon Badrul Muhayat, Julia Daud.

Selain itu, Riza juga dikecam kerana didakwa pernah membuatkan bekas teman wanitanya yang bernama Rafeda mengandung.

Mengikut rekod, Rafeda juga merupakan wanita yang pernah tampil membuat kenyataan di media kononnya Izreen telah merampas Riza yang didakwa tunangnya sebelum ini.

Mungkin inilah yang dikatakan dugaan buat pasangan yang ingin mendirikan masjid dan bagi Izreen sendiri, dia tidak menolak perkara itu.

“Ini adalah ujian buat saya dan Riza. Saya tahu ada pihak yang tidak mahu melihat kami bahagia bersama dan mahu menjatuhkan saya.

“Jujur saya cakap memang saya tertekan dan hampir `goyang’ kerana sekali lagi kontroversi melanda dalam hidup saya.

“Tak sudah-sudah saya dihimpit kontroversi. Kalau saya tak kuat memang saya akan jatuh,” katanya.

Melahirkan rasa hairan, kata Izreen, sehingga sekarang dia terfikir mengapa ada pihak yang sengaja melemparkan semua tohmahan itu walhal semua sudah tahu majlis besarnya sudah semakin mendekat.

Lebih memeningkan kepalanya, meski kontroversi terbaru itu membabitkan Riza, Izreen tahu tempias cemuhan dan kritikan sudah tentu lebih terarah padanya.

“Riza dituduh membuntingkan bekas teman wanitanya, berkahwin dengan Julia Daud, apa semua tu?

“Kalau betul sekalipun, itu semua kisah silam dia. Tak perlulah nak kaitkan dengan masa sekarang. Masalahnya sekarang, apa yang disebarkan itu fitnah semata.

“Riza sudah menerangkan segala-galanya mengenai kisah silam dia bersama bekas teman wanitanya itu.

“Kalau betul dia dibuntingkan oleh Riza, tunjuk bukti. Kalau dia boleh canang cerita mengenai gambar percutian dan sebagainya, saya percaya dia tentu tak rasa malu untuk tunjuk buktinya.

“Begitu juga dengan isu Julia Daud, itu semua cerita tak betul, ” ujar Izreen.

Pelakon drama Tentang Dhia ini mengaku meski terkejut dengan gosip yang melanda, dia tidak mudah goyah.

Prinsipnya, asal Riza jujur menceritakan segala kebenaran, dia akan meletakkan kepercayaan kepada tunangnya itu.

“Saya tak kisah dia duda jadi kenapa orang lain nak mempersoalkan hasrat saya untuk berkahwin dengan dia? Bukannya saya nak berkahwin dengan suami orang,” katanya.

Hentikan tohmahan

Merasakan dirinya lebih mengenali Riza, kata Izreen, dia amat berbesar hati sekiranya segala tohmahan yang dilempar sama ada ke atas Riza mahupun dirinya dihentikan.

Ini kerana, kata Izreen, dia sudah penat mahu mengulas perkara yang sama setiap kali ditanya pihak media dan masyarakat khususnya.

“Tolonglah beri saya ruang bernafas. Saya dah tak mahu ambil pusing mengenai isu-isu begini.

“Saya cuma mahu fokus pada lakonan dan hari perkahwinan saya kelak. Moga-moga tak ada masalah,” katanya.

Selain itu, Izreen juga tidak menolak ada kemungkinan sebelum majlis perkahwinannya berlangsung pada 31 Ogos 2012 kelak dia sekali lagi bakal dihujani lagi dengan kontroversi.

“Saya tak menolak kemungkinan akan ada lagi isu yang sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum majlis berlangsung.

“Tetapi jangan risau, saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Bagi Izreen, segala penjelasan sudah pun dibuat dan kini menanti untuk hidup bahagia bersama Riza yang juga mahu melupakan kisah silam mereka.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails