Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Atilia menanti dalam debar


TATKALA ditanya tentang perancangan yang sudah diatur sepanjang 2012, dengan spontan Atilia memberitahu salah satu agenda dalam diari hidupnya adalah untuk menamatkan zaman janda.

Mendengarkan pengakuan itu, Hits terus mendalami soal perkahwinan itu yang dijawab dengan penuh terbuka oleh penyanyi genit berusia 37 tahun itu.

Namun, syarat yang ditetapkan oleh Atilia adalah untuk tidak mendedahkan nama bakal suaminya dan hanya mahu dikenali sebagai Bot.

Kata Atilia, arjuna hatinya itu seorang yang pemalu.

Tanpa selindung, Atilia menjelaskan pintu hatinya sudah terbuka untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas dia dan Bot sudah mula memperkatakan tentang perkara tersebut.

Mula berpacaran secara serius hampir tiga tahun lalu sebaik sahaja sah bercerai dengan bekas suami, Ariff Johan Abdul Aziz, Atilia mengaku cukup selesa berdampingan dengan Bot.

Walaupun jejaka itu muda tiga tahun, bagi Atilia, jurang usia bukan satu masalah besar. Apa yang penting adalah kematangan lelaki itu dalam perhubungan mereka.

"Ketika saya berhadapan dengan masalah, Bot ada di samping saya. Dia banyak mengambil berat tentang diri saya dan kami juga banyak berkongsi minat dan cita rasa yang sama.

"Tetapi jangan salah faham kalau ada yang beranggapan dia adalah orang ketiga dan menjadi punca saya bercerai dengan Ariff Johan. Itu semua tidak benar.

"Sebetulnya, kami memang sudah lama mengenali. Lebih daripada 10 tahun lalu memandangkan dia terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir dalam bidang muzik," hurai pemilik nama penuh Raja Putri Atilia Raja Haron ini sewaktu sesi fotografi di Damansara Perdana, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Dalam usianya yang sudah dipenghujung 30-an, memang sudah layak untuk Atilia kembali berumah tangga dan menjadi seorang isteri.

Apabila memperkatakan tentang kesediaan untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ujar Atilia, dia sememangnya menanti masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Apatah lagi hampir tiga tahun menjalani kehidupan seorang diri, dia menikmati kelebihan itu dengan penuh bebas terutama masa bersama teman-teman wanita rapatnya.

"Sebagai seorang yang solo dan tidak terikat dengan komitmen, saya dapat melakukan banyak perkara yang jarang dilakukan ketika berkahwin dulu.

"Mungkin kerana saya pernah berkahwin di usia yang muda, pergerakan saya sedikit batas dan saya perlu menjaga status sebagai seorang isteri.

"Tetapi ini bukan bermakna saya akan melengahkan soal kahwin. Memang itu dalam perancangan saya untuk tahun ini tetapi bilakah tarikhnya, saya sendiri kurang pasti kerana banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan.

"Daripada perbincangan dengan Bot, kemungkinan besar, perkahwinan akan berlangsung sama ada selepas Aidilfitri atau pun penghujung tahun ini," kata satu-satunya puteri kesayangan penghibur malar segar, Salamiah Hassan ini lagi.

Tuah baru muncul

Menutup soal itu dengan penuh hemah, perbualan kami beralih pula kepada karier seni yang pada hematnya, mula menampakkan perkembangan yang sangat positif.

Semuanya kerana lagu Kekanda Adinda yang dinyanyikan secara duet bersama Monoloque yang telah membuka lembaran baru untuknya.

Mana tidaknya, sebelum ini, peminat hanya mengenali Atilia menerusi lagu-lagu berkonsepkan jazz kontemporari di mana pasarannya terlalu kecil di negara ini.

Biarpun dia sudah menghasilkan dua buah album, Sangkar dan Indah, tetapi pencinta muzik arus perdana masih belum kenal siapakah Atilia sebenarnya.

Lalu, apabila dia muncul dengan Kekanda Adinda, dengan pantas namanya dikenali dan Atilia menganggap lagu itu sebagai rahmat untuknya terus bernafas di dalam industri seni.

"Kekanda Adinda saya anggap sebagai lagu keramat yang membuka jalan lebih luas untuk saya memperkenalkan diri kepada masyarakat.

"Jujurnya, sejak memasuki arus perdana hampir lima tahun lalu, saya memang bekerja keras untuk memasarkan diri kepada khalayak. Saya sedar lagu-lagu saya dianggap tidak cukup bagus untuk dipasarkan di corong radio tempatan.

"Namun, saya tidak berputus asa apabila mencuba cabang seni yang lain seperti pengacaraan dan berlakon. Walaupun kesannya tidak sebesar mana, tetapi setidak-tidaknya orang mula sedar akan kehadiran saya.

"Tetapi, kini secara perlahan-lahan, roda hidup itu mula berputar. Alhamdulillah, saya nampak masyarakat sudah menerima dan mula mencari lagu-lagu saya," kata Atilia yang juga juri tetap Idola Kecil terbitan TV9 selama empat musim (2008-2011) selain memeran watak Junaidah dalam P. Ramlee the Musical selama dua musim (2008-2009).

Penyanyi genit yang diberi jolokan ratu lagu iklan itu juga berkongsi cerita bagaimana penglibatannya untuk lagu Kekanda Adinda.

Jelas Atilia, semuanya bermula ketika vokalis kumpulan Monoloque, Khairil Ridzwan Annuar atau Loque menghubungi untuk menyanyi bersamanya dalam lagu itu.

Kebetulan, Atilia memang bersahabat baik dengan isteri Loque, Dahlia Nadirah Johari, lalu dia menerima pelawaan itu tanpa memikirkan soal bayaran.

Sebaik mendengar lagu itu, dia sudah dapat merasakan aura Kekanda Adinda mampu pergi jauh walaupun ia adalah sebuah lagu tema untuk siri mini, 8 Bulan terbitan Red Communications.

"Apabila ia mendapat permintaan tinggi di corong radio dan masih diminati selepas setahun ke udara, ia adalah satu rahmat yang berpanjangan buat saya.

"Ditambah pula dengan kejayaan lagu ini memasuki Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) pada 29 Januari ini, ia adalah satu bonus.

"Menang atau kalah bukan soal utama buat saya dan Loque kerana kemaraan kami ke pentas berprestij ini merupakan kejayaan besar untuk artis seperti kami yang bukan dari arus perdana.

"Secara tidak langsung, kami sudah diterima dengan baik dan Insya Allah, kami akan meneruskan duet kami menerusi lagu Doa Buat Kekasih pula," kata Atilia sambil mengukir senyuman yang penuh maksud tersirat apabila memperkatakan tentang AJL 26.

Dalam pertandingan yang bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, Kekanda Adinda perlu berhadapan saingan sengit daripada 11 buah lagu iaitu Beribu Sesalan gandingan mantap Ning Baizura, Shila Amzah dan Jaclyn Victor, Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Sungai Lui (Aizat) dan Kisah Hati (Alyah).

Selebihnya adalah Kalau Berpacaran nyanyian Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet, Sedetik Lebih (Jaclyn Victor), Awan Nano (Hafiz), Cinta Muka Buku (Najwa Latif) serta Penakut dan Gadis Semasa (Yuna).

Biarpun namanya sudah menjadi sebutan dan dikenali, tetapi bagi Atilia, perjuangan dalam genre muzik jazz tidak akan sesekali berubah.

Untuk itu, album ketiga yang kini dalam pembikinan akan menyaksikan Atilia kembali ke akar umbinya seperti mana yang dipersembahkan dalam album Sangkar.

Kembali bekerjasama dengan mentornya, Roslan Aziz yang akan bertindak sebagai penasihat album itu, Atilia mahu terus memperbaiki kedudukan agar dia mampu bertahan seperti mana idolanya, Datuk Sheila Majid.

"Walaupun saya sedikit kecewa apabila album kedua, tidak berjalan lancar seperti mana yang diharapkan, namun, saya percaya kekecewaan itu akan dapat diubati nanti.

"Ketika itu, saya meletakkan harapan tinggi untuk mengukuhkan portfolio sebagai seorang penghibur kerana merasakan album itu menepati kehendak pasaran.

"Tetapi, tidak mengapa. Saya sentiasa memandang ke hadapan dan berfikiran positif apabila memperkatakan tentang muzik," katanya yang juga akan memulakan perniagaan fesyen dalam talian, My Hati bersama teman baiknya, Yasmin Hani.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails