Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Memey sudah bersedia


WAJAHNYA nampak begitu polos tanpa secalit solekan tatkala kakinya melangkah masuk ke dalam studio Utusan Melayu yang letaknya di jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu.

Masih segar dalam ingatan bagaimana wajah polos ini ditebak dengan bermacam-macam kontroversi yang menduga dirinya sebagai seorang wanita muda ketika namanya sedang memuncak.

Namun itulah harga yang terpaksa dibayar oleh Memey Suhaiza Suhaimi, 24, apabila dia memilih jalan untuk menjadi seorang artis.

Cerita bagaimana dia dituduh menjadi orang ketiga dalam kehancuran rumah tangga Norman Hakim dan Abby Abadi empat tahun lalu merupakan dugaan terbesar dalam hidupnya.

Begitu pun, sejarah hitam itu sudah berlalu.

Kini hari-hari yang dilalui anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini dirasakan lebih bermakna selangkah dia berada di alam rumahtangga.

Genap empat bulan melayari alam rumahtangga, pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama berjudul Pasrah ini mengaku cuma bahagia yang dirasakan sejak berdamping menjadi isteri Norman.

Mungkin benarlah bagai dikata kerana dari air mukanya sahaja seakan sudah boleh dibaca.

Bercerita mengenai bahagia yang dinikmati, akui Memey tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan sebenarnya ketika ini.

“Melalui fasa menjadi isteri orang adalah idaman semua wanita. Selama ini, saya sering tengok kebahagiaan teman-teman yang sudah bersuami.

“Paling tidak pun contoh terbaik adalah ibu saya, bagaimana dia melayari bahtera perkahwinan dengan ayah saya.

“Sekarang giliran saya pula. Kalau nak tahu, sampai sekarang pun saya masih tak percaya yang saya ni sudah jadi isteri orang.

“Sampaikan untuk mengingatkan diri, saya memanggil abang Norman sebagai suami dan dia pula memanggil saya dengan panggilan isteri. Semuanya sebab nak membiasakan diri, ” katanya ketawa.

Tidak dikongkong

Ada orang, kehidupan selepas dengan sebelum berkahwin begitu berbeza.

Sebelum berkahwin, semua nampak indah, semua ya dan semua boleh.

Namun bila sudah berkahwin, lain pula hal yang jadi. Ada isteri yang merasakan dirinya dikongkong si suami dan tanggungjawab yang dipikul membataskan pergerakan untuk melakukan aktiviti yang disukai.

Pun begitu, awal-awal lagi Memey sudah melahirkan kesyukuran kerana setakat ini Norman tidak pernah mengongkongnya walau sudah bergelar isteri.

Baginya, sikap Norman tidak pernah berubah dan dia tetap merupakan lelaki budiman yang sempurna di mata dan hatinya.

“Dia tidak kongkong, cuma saya perlu tahu batasan diri. Kalau hendak ke mana-mana contohnya, saya akan memaklumkan kepada dia setiap masa. Dia mahu rasa lebih dekat dengan saya.

“Bagi saya, Norman memahami kehendak saya, begitu juga saya. Tidak semestinya bila dah jadi isteri orang, baru kita nak jaga perilaku dan budi bahasa.

“Dari dulu lagi ibu bapa saya sudah ajar, jadi apa yang saya lakukan adalah sebahagian daripada diri saya,” katanya.

Selain itu, kongsi Memey lagi, sebelum berkahwin, dia sedari awal sudah menyedari bahawa fokus kehidupannya kini perlu lebih terarah kepada keluarga dan suami berbanding kerjaya.

Maka kerana itu, kata Memey, dia kini meletakkan kerjaya sebagai perkara nombor dua penting dalam hidupnya.

“Bila dah kahwin, tentulah tak sama macam kita bujang-bujang dulu. Keutamaan mestilah pada suami dan keluarga.

“Sekarang saya dah tak boleh ambil banyak tawaran berlakon. Sebelum kahwin pun kami dah bincang pasal hal ini.

“Kalau boleh Norman memang nak saya berhenti berlakon. Tapi jiwa saya masih belum boleh tinggalkan bidang ini lagi. Mungkin belum masanya.

“Jadi, apa yang saya lakukan ialah sehabis upaya membahagikan masa dengan baik,” ujarnya.

Menyifatkan Norman kaya dengan sifat pelindung, kata Memey, dia juga mengaku berasa lebih selamat selepas mendirikan rumah tangga.

Malah, Norman juga tidak banyak kerenah dalam soal makan dan sebagainya.

Untungnya Norman, dia mempunyai isteri yang pandai memasak dan ligat di dapur.

“Dia memang suka makan makanan barat dan jarang makan nasi. Jadi saya akan masak apa yang dia mahu. Paling penting ialah sarapan dan makan malam.

“Waktu tengahari biasanya saya di lokasi penggambaran, jadi dia sudah faham dan saya tak perlu masak.

“Tapi, Norman memang lebih suka masakan di rumah berbanding di luar,” kata Memey sambil menyifatkan suaminya itu seorang yang ringkas, fleksibel namun mementingkan kesempurnaan.

Belum ada ‘isi’

Kebelakangan ini banyak juga spekulasi mengenai Memey yang didakwa sedang berbadan dua.

Sememangnya itu adalah harapan dan keinginan mana-mana wanita yang sudah berkeluarga.

Pun begitu, masa seakan belum tiba buat wanita yang pernah menyarungkan gaun mutiara Rafflesia yang bernilai RM500,000 rekaan Vera Wang pada majlis resepsinya September lalu.

Sama seperti wanita lain, kata Memey, dia juga punya hati untuk menimang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan lelaki yang dicintai.

Namun dia terpaksa memendam hasrat itu kerana mahu menumpukan perhatian pada kariernya.

“Boleh dikatakan saya sebenarnya merancang untuk mendapatkan anak. Waktu sekarang rasanya tak sesuai lagi sebab saya sibuk berlakon.

“Jauh di sudut hati, memanglah saya pun mahukan anak, tapi nantilah dulu. Saya beri tempoh untuk diri sendiri sampai pertengahan tahun ini.

“Mungkin itu adalah masa yang sesuai untuk saya dan Norman menimang cahayamata. Bagaimanapun itu semua bergantung kepada rezeki. Kalau kami dapat anak cepat, saya akan terima, ” katanya.

Sudah ada nama anak

Nampak ceria wajahnya saat berbicara soal anak.

Maka dilayangkan pula pertanyaan kalau-kalau Norman juga kepingin untuk menambah anak selain tiga buah hatinya hasil perkahwinan pertama iaitu Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 3.

Dalam senyuman, Memey memuji sikap Norman yang amat terbuka dalam soal ini.

Malah, kebelakangan ini kata Memey, Norman kerap menyebut mengenai keinginannya untuk menimang anak lantas membuatkannya tersenyum.

“Norman sebelum ini faham yang saya kalau boleh belum mahu anak lagi. Namun, bila dia dah mula sebut pasal anak, ia seolah-olah merupakan satu isyarat buat saya.

“Dia juga sudah memasang hajat, kalau kami dikurniakan anak perempuan, dia mahu menamakannya dengan nama Marsha Delaila Hakim.

“Untuk nama anak lelaki masih belum ada lagi. Dia mahu kekalkan MDH sebagai pangkal nama anak kami nanti sebab nama anak-anak lain begitu,” katanya.

Memey rasa tersisih

Sengaja menginjak perbualan mengenai hubungannya dengan anak-anak Norman, kata Memey, hubungan erat yang tersemai antara dia dan ketiga-tiga permata hati Abby itu tidak pernah berubah.

Bagi Memey, menjadi ibu segera kepada Danish, Danisha dan Dania merupakan tanggungjawab besar yang bukan semua orang boleh pikul dengan hati yang ikhlas.

Namun, syukur kepada yang Maha Esa kerana Memey begitu sayangkan anak-anak kecil itu selayaknya seperti anak sendiri.

“Kami memang rapat, malah setiap hujung minggu sama ada saya atau Norman mesti akan bawa mereka pulang ke rumah kami di Wangsa Maju.

“Mereka pun seronok bila dapat bersama-sama kami. Pendek kata, memang riuh rumah kami bila ketiga-tiga mereka ada,” katanya.

Dalam pada itu, Memey juga melahirkan pandangan peribadinya mengenai sikap penyayang Norman terhadap anak-anaknya.

Puji Memey, Norman cukup pandai melayan kerenah anak-anak sampaikan terkadang pernah dia merasakan dirinya tersisih kerana suaminya itu lebih memanjakan anaknya.

“Bukanlah nak kata merajuk atau apa, tapi Norman memang sikapnya begitu. Dia sangat sayangkan anak-anak dan suka melayan kerenah mereka.

“Sampaikan kalau anak merajuk, dia akan pujuk seorang demi seorang sampailah si anak kembali ceria,” katanya.

Kerana itu jugalah kata Memey, dia cukup yakin bahawa suaminya itu mampu menjadi seorang bapa yang baik seandainya mereka dikurniakan cahayamata kelak.

“Jangan risau, kalau kami ada anak sendiri pun, kasih sayang saya tak akan berbelah-bahagi kepada ketiga-tiga mereka.

“Jangan kerana saya ni mak tiri maka orang boleh letakkan macam-macam dakwaan yang saya tak boleh sayangkan anak Norman semacam anak sendiri. Itu janji saya,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails