Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fathia tak rela dicemburui

MASIH segar dalam ingatan sewaktu kali pertama dia menjejakkan kaki ke dalam industri seni ini kira-kira dua tahun lalu. Pada waktu itu, dia masih baru dan tak tahu apa yang boleh atau tidak dilakukan apabila bergelar artis. Semuanya dia bantai redah sebab tak ada orang yang memberikan panduan kerja seorang artis kepadanya. Semuanya dipelajari dengan cara cuba dan salah. Akibatnya, timbul pelbagai cerita kurang senang tentang wanita berusia 25 tahun ini. Antara gosip wujud seperti baling telefon ke arah pengarah sewaktu penggambaran dan masalah lewat muncul ke lokasi. Apa pun, konotasi kesilapan tersebut berlaku disebabkan kejutan budaya melihat cara kerja orang seni yang cukup berbeza dengan apa yang dialaminya di saat awal pembabitan dalam dunia komersial. Ironinya, pemilik nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff ini mengakui dia semakin mengerti tentang permainan dalam industri hiburan. Apatah lagi dalam bab mempelajari putaran hidup anak seni yang diumpamakan seperti putaran roda. Bagaimanapun perumpamaan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu cukup sesuai dengan keadaan diri Fathia. Tak siapa yang tahu yang rezeki anak kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang rupanya terbentang luas dalam industri lakonan. Apatah lagi selepas Fathia menjadi salah seorang daripada anak emas stesen televisyen (TV) swasta yang mengkehendaki wajahnya sebagai kemestian. Berita baik itu adalah jaminan buat dirinya untuk lebih mengukuhkan nama dan populariti kerana permintaan untuk berlakon dalam keluaran stesen TV itu tak pernah putus. “Tak dinafikan memang wujud kepercayaan di kalangan orang stesen TV itu untuk melihat saya terus berlakon. Biarpun mereka tahu saya ada kekurangan dari sudut lakonan, tapi mereka sudi terima seadanya. “Saya berbincang dan bertanya kalau ada benda yang tak faham. Lepas itu, saya paksa diri untuk buat yang terbaik. Dan alhamdulillah, hasil sokongan dan kerjasama itu buat saya lebih yakin untuk terus bertapak dalam bidang ini," katanya sambil tersenyum. Adakah Fathia rasa seronok bergelar anak emas kepada stesen TV berkenaan menyebabkan dia terdiam sebentar sebelum berkata: “Seronok memang seronok (jadi anak emas). Tapi saya selalu beringat yang kita tak selamanya berada dalam zon selamat. Kalau orang nak dengan kita, memanglah rasa seronok sebab job sentiasa ada. Macam mana pula kalau orang dah tak suka. Mesti kita rasa dipinggirkan. “Sebab itu, saya gunakan kepercayaan sedia ada itu sepenuhnya. Saya dah tak nak orang pandang saya dengan cerita-cerita murahan yang tak tahu di mana kebenarannya. “Sebab itu, saya nekad untuk jaga sebaik-baiknya kelebihan yang ada itu pada masa sekarang ini. Saya tak nak buat perangai yang boleh buat orang rasa tak selesa dengan saya," janji Fathia yang sebelum ini pernah terpalit cerita tidak mampu mengawal sifat panas baran. Menyingkap lembaran cerita yang mengaitkan dirinya mudah naik berang menyebabkan pelakon drama Stanza Cinta itu menarik nafas panjang sebelum membuka landskap fikirannya penuh optimis. “Ada orang cakap, perangai Fathia itu tak seelok wajahnya. Mudah baran. Biarlah sebab itu adalah pandangan masing-masing. Saya tak salahkan sebab saya tahu macam mana punca kejadian yang menyemarakkan nama saya itu. Saya ambil pengajaran. “Kalau nak tahu, kesan kejadian itu turut menjejaskan sedikit periuk nasi apabila ada produksi yang seakan-akan takut nak ambil saya berlakon. Tapi saya cuba sedaya upaya meyakinkan mereka. Tengok cara kerja saya dulu baru nilai kemudian," cerita penuntut Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini penuh bersemangat. Ada orang cemburu? ADAT dunia, jika ada individu yang mendapat rezeki lebih sikit pasti ada yang cemburu. Pelakon yang lahir pada 1 September 1987 ini menafikan perkara itu. Katanya, dia bersyukur kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan dalam industri yang sangat memahami dan sudi berkongsi pengalaman. “Sepanjang kerja dalam industri, saya berjumpa dengan macam-macam kerenah manusia. Saya anggap itu semua proses pembelajaran dalam kehidupan. Soal suka atau tidak, terpulang kepada masing-masing. “Cemburu satu perkara baik, tapi macam mana ia berlangsung. Saya memang cemburu lihat kejayaan pelakon lain macam Fasha Sandha yang terus bergerak ke hadapan tanpa pedulikan orang cakap apa terhadapnya. “Saya pula tak suka nak sebarkan aura negatif kepada orang. Contohnya bercerita tentang keburukan si A kepada si B. Itu bukan prinsip hidup saya. “Jadi lebih baik jangan cari pasal supaya hubungan kita tak ada masalah pada masa depan. Insya- Allah," kata pelakon filem Darah Panas ini. Tangguh jadi peguam DEMI minat dalam bidang lakonan juga menyebabkan pelakon drama Mahabbah ini menangguhkan hasrat untuk bergelar peguam sepenuh masa. Meskipun pengajian Fathia tamat pada hujung tahun ini dan selayaknya mengamalkan ijazah undang-undang yang dipelajarinya. Pun begitu, Fathia memerlukan waktu setahun lagi untuk mendapatkan lesen untuk bergelar seorang peguam (lex legum baccalaureus) sebelum menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan selepas itu. “Saya bagi tempoh setahun untuk berlakon puas-puas sebelum amalkan sepenuhnya pengajian ijazah saya. Saya kena bahagikan masa kerana sangat sayangkan kedua-dua bidang itu ," katanya menutup perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails