Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Berkorban jiwa raga - Anzalna

DALAM kerendahan hati menyelusuri jalan-jalan yang semakin berliku, segalanya ditempuh dengan penuh berhati-hati. Bukan tidak percaya pada denai yang harus dilaluinya tetapi pengalaman lalu cukup mengajar dirinya erti kepercayaan sebuah persahabatan. Mengakui jalan yang dilalui semakin sukar dan penuh ranjau, Anzalna Nasir tidak ada sebab untuk melarikan diri daripada segalanya. Melalui hari-hari baru yang belum menjanjikan apa-apa, dia berserah segala-galanya pada takdir yang telah ditentukan untuknya. Rentetan daripada kisah hitam yang pernah menggegarkan industri hiburan satu ketika dahulu, Anzalna tekad untuk melupakan kisah itu. Kisah 'percakaran' sesama rakan artis tersebut mahu segera dihapuskan daripada kotak ingatannya. Mungkin pengorbanan yang dilakukan oleh gadis cantik manis ini tidak diketahui umum. Namun, jauh di sudut hatinya dia berbangga apabila dapat menghapuskan ego dalam kerendahan hati untuk menghadapi masalah yang cukup besar. "Tidak ada pengorbanan yang paling besar yang pernah saya lakukan selain meminta maaf atas apa juga kesilapan. Orang mungkin ingat saya yang bersalah tetapi percayalah segala-gala yang saya lakukan selama ini saya anggap sebagai pengorbanan besar dalam hidup. "Alhamdulillah, rentetan daripada kes sebelum ini, orang masih boleh menerima saya. Peminat pun tidak mengata apa-apa selain daripada terus memberikan sokongan kepada setiap produk yang saya hasilkan. Itu memang satu perkara yang menakjubkan. "Apapun yang terjadi dahulu saya tidak mahu ungkit lagi. Biarlah perkara itu saya simpan sendiri tanpa perlu dihebahkan apa yang sebenarnya terjadi. Saya sanggup berkorban memohon kemaafan dan segala-galanya berbalas apabila semakin ramai yang menerima kehadiran saya dalam industri ini. "Saya tidak boleh menutup mulut orang yang iri hati terhadap saya. Itu hak mereka dan biarlah mereka terus mengadili saya," luah Anzalna lagi. Tidak terdetik rasa menyesal dengan apa yang telah terjadi sebaliknya pelakon drama bersiri Adam & Hawa ini bersyukur kerana diberi pengajaran paling berguna pada usia sebegini. DiterimaDalam pertemuan yang cukup santai pada petang Selasa lalu, dia meluahkan segala-galanya. Dari soal pengorbanan, penyesalan sehinggalah soal hati diluahkan berhati-hati agar tidak mendatangkan apa-apa implikasi di kemudian hari. "Memang saya sangat berhati-hati. Nak cerita lebih-lebih macam dulu memang tidak. Apa juga masalah yang melanda saya akan cerita pada ibu bapa dan adik beradik yang lain. Hanya mereka yang layak saya letak seratus peratus kepercayaan kalau nak dibanding dengan orang luar. "Tapi itu bukan penyebab untuk saya tidak berkawan dengan orang lain. Kawan tetap kawan macam biasa. Cuma nak bercerita lebih-lebih tu memang tidak, sebab sejarah telah membuktikan banyak kawan menjadi lawan," jelas gadis berusia 24 tahun ini. Mengakui langkah kakinya semakin laju sejak akhir-akhir ini, tidak dinafikan yang nama Anzalna semakin naik mendadak antara pelakon yang paling banyak menerima tawaran. Wajah manis anak kedua daripada lima beradik ini sering kali dilihat di kaca televisyen sejak akhir-akhir ini. Membawakan pelbagai watak baik dan buruk, itu memang cabaran yang besar buat dirinya yang masih baru. "Memang selepas kontroversi itu saya lebih banyak menerima tawaran berlakon. Kalau tengok pada jadual saya sudah terisi sehingga bulan Mac 2013 dan ada banyak tawaran yang terpaksa saya tolak sejak kebelakangan ini. "Penerimaan peminat berbeza-beza. Bila orang tengok saya dalam drama Adam & Hawa, orang jadi benci. Saya tengok ramai yang komen bukan-bukan dan marah-marah dengan watak berkenaan. "Tapi bila mereka tengok drama Sirrun di mana saya menjadi baik dan bertudung, ramai juga yang puji dan komen yang baik-baik. Saya anggap mereka menilai saya melalui lakonan dan bukan melalui sentimen peribadi," jelasnya. Jaga hatiRAMAI beranggapan bahawasanya kebanyakan pelakon cantik seperti Anzalna menjual rupa semata-mata untuk mendapatkan tawaran berlakon. Menafikan perkara tersebut sekeras-kerasnya, dia tidak dapat untuk menepis persepsi orang terhadap dirinya. Dengan kebanjiran ramai muka-muka baru yang tak kurang hebat, itu bukan masalah besar buat dirinya memandangkan kehadirannya dalam industri ini bukan untuk mencabar sesiapa. "Saya tidak pernah anggap kehadiran saya sebagai pelakon untuk mencabar atau tercabar dengan sesiapa. Apapun yang terjadi pokok pangkalnya saya kena balik kepada niat asal untuk berkarya. "Saya sentiasa berdoa agar hati saya disucikan tanpa perlu meninggalkan rasa kurang senang terhadap sesiapa. "Macam juga kes dengki mendengki ni. Saya pun tak mahu terheret dalam kes-kes macam ni. Kalau kita dengki dengan kejayaan orang lain sampai bila-bila pun hidup kita tak senang. "Andai kata kita ikhlas dalam setiap pekerjaan, saya yakin kejayaan akan datang selepas itu," tegasnya lagi. Bercerita soal populariti, dia menganggap tahun ini sebagai tahun permulaan yang baik untuknya. KeputusanSaat dia ditimpa ujian yang cukup berat, ada sesuatu yang menarik terjadi pada dirinya. Pada ketika itu dia telah membuat keputusan drastik untuk segera menjernihkan isu tersebut agar tidak menjadi barah yang boleh merosakkan diri. "Saya yang membuat keputusan sendiri. Tidak ada campur tangan keluarga atau mana-mana pihak. Sebelum ini segala-galanya saya akan rujuk pada keluarga terlebih dahulu. "Tapi nampaknya insiden berkenaan benar-benar telah membuka kunci kebebasan buat saya untuk membuat keputusan sendiri tanpa perlu merujuk sesiapa. Ini memang satu fasa baru dalam hidup saya yang tak pernah saya impikan. "Kepercayaan yang diberikan oleh kedua orang tua saya amat dihargai. Inilah saat yang paling manis apabila mereka mempercayai apa juga tindakan yang saya ambil demi masa depan," jelasnya. Mahu segera melupakan kisah kurang manis yang pernah membelenggu dirinya, Anzalna tekad untuk tidak bermusuhan dengan sesiapa. "Biarlah saya teruskan hidup macam biasa dengan pelbagai kerja yang menanti. "Orang baru macam saya perlu banyak belajar untuk jadi pelakon yang baik. Saya tak mahu dilabelkan sebagai pelakon 'kayu' dan hanya jual muka. "Kadang-kadang memang kata-kata yang dilemparkan oleh peminat tu perit untuk kita telan. Cuba kita lihat kembali diri sendiri, rasanya semua orang akan temui jawapan," katanya mengakhiri perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails