Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kebangkitan semula Benjy

PERTEMUAN Kosmo! bersama aktor Benjy untuk sesi fotografi Hari Raya Aidiladha yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini berjalan dengan cukup lancar. Pertama kali menatap wajah lelaki yang pernah didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram pada Mac, 2010 dan ditahan selama dua tahun di penjara memberi pandangan yang berbeza. Wajah dan tubuh Benjy semakin susut sejak dibebaskan tanpa syarat pada Januari tahun ini. Penampilannya nampak meyakinkan, kemas dan segak berbaju kemeja serta berseluar jean. Dia juga cukup ramah menegur orang di sekelilingnya bagai tiada sejarah hitam yang pernah berlaku kepadanya. Senyuman juga sentiasa tersimpul di bibir tanda bersedia menghadapi khalayak. “Saya okey, Alhamdulillah sihat. Tengoklah gambar saya dulu dan sekarang, sangat berbeza. Berat ketika dipenjara sebanyak 89 kilogram, sekarang turun 74 kilogram dan saya masih dalam usaha untuk mengurangkan berat badan sebanyak mungkin,” katanya sambil menunjukkan gambar pada kad pengenalan lama dan terbaharu dirinya. Selain saiz badan yang berubah jelas, Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim selepas dibebaskan dari penjara masih sama seperti dahulu, bahkan keyakinan dirinya cukup tinggi meskipun terpaksa berdepan dengan gelaran bekas banduan. “Keyakinan diri saya seperti biasa, saya tidak disabitkan kesalahan dan dibebaskan tanpa syarat. Maknanya, saya tidak bersalah. Mungkin disebabkan saya pernah tinggal di penjara buat sementara waktu, orang tetap akan label saya sebagai bekas banduan. “Berjaya mengharungi segala kesusahan ketika di penjara bermakna saya boleh harungi segala kesukaran hidup di luar penjara. “Saya tidak boleh elak persepsi masyarakat. Bukannya saya boleh tutup mulut orang. Itu hak masing-masing dan bagi saya persepsi negatif itu bukan satu masalah yang besar,” balasnya. Menurut Benjy, terlalu banyak hikmah daripada apa yang berlaku terhadap dirinya. Selepas dirinya ditahan pihak berkuasa dan hidupnya hanya bertemankan jeriji besi serta tembok batu, dia mengaku bagai baru tersedar daripada lamunan hidup glamor. “Selepas saya ditahan, saya dapat kenal pasti mana kawan yang benar-benar ikhlas dan mana kawan yang hanya temankan saya untuk berseronok sahaja. Saya akui, sebelum ini saya tersalah pilih kawan. “Sekarang saya amat berhati-hati dalam berkawan. Syukur, kawan-kawan yang ikhlas masih setia di belakang saya sehingga hari ini. Kini saya juga tahu apa yang saya mahukan dalam hidup dan tidak akan sia-siakan orang yang selalu menyokong saya terutamanya keluarga,” ucapnya. Apabila ditebak soalan apakah yang berada dalam fikirannya apabila berada dalam penjara, dia terdiam dan berfikir sejenak. Air matanya tiba-tiba jatuh tanpa kawalan mengenang pengalaman di penjara. Kata Benjy, anak lelaki tunggalnya, Fridauz Juan Benjamin yang kini berusia enam tahun tidak terlepas daripada fikirannya walaupun sesaat. “Selama tiga tahun anak saya sudah biasa tidur di atas dada saya setiap malam, jadi apabila saya berada dalam penjara saya sering tertanya-tanya, bagaimana keadaan dirinya, rindukah dia pada saya dan apabila saya keluar nanti, masih ingatkah dia pada papanya ini. “Alhamdulillah, selepas saya dibebaskan, anak saya masih mengenali saya dan sekarang masa saya hanya untuk mencari rezeki selebihnya diperuntukkan untuk anak serta keluarga terutamanya ibu (Azean Irdawaty) yang sedang bertarung dengan penyakit kanser,” ujarnya. Hak penjagaan anak Bercakap tentang status dirinya, Benjy tanpa berselindung memberitahu dia sudah bercerai dengan Safiya Stephanie yang merupakan seorang mualaf, tetapi ia masih dalam proses mencari jalan penyelesaian di mahkamah syariah. Soal penjagaan anak pula jelas Benjy, dia dan bekas isterinya itu bersetuju untuk hak penjagaan bersama. “Hubungan saya dan bekas isteri masih baik, kami tidak berdendam. Bagi saya, bekas isteri sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cukup baik, anak juga dijaga bersama. Lima hari seminggu anak dijaga oleh dia, manakala saya pada hujung minggu. “Saya amat berharap apa yang berlaku antara kami tidak menjejaskan emosi Fridauz, sebab itu saya banyak menghabiskan masa bersamanya seperti keluar beriadah atau membawanya berjalan-jalan,” katanya. Diaju persoalan tidak tertekankah dengan segala dugaan yang datang kepadanya dan terpaksa menghadapinya seorang diri tanpa seorang isteri di sisi, Benjy lalu menyusun jawapannya.
Kata Benjy: “Rasanya kehidupan saya hari ini sudah cukup bahagia dengan kerja, keluarga dan anak. Mungkin pada peringkat awal saya berasa sedikit tertekan dan sedih. Tipulah kalau saya tidak sedih dengan semua perkara yang berlaku. “Namun, sebagai anak sulung dalam keluarga saya harus kuat. Melihat ibu saya kuat dan sentiasa berfikiran positif melawan penyakit kanser, automatik menjadikan saya lebih kuat dan tabah. Dugaan Allah saya harus terima, apa yang boleh saya lakukan ialah berusaha dan berdoa,” bicaranya serius. Jika sudah bergelar bapa tunggal tidak terfikirkah Benjy untuk mencari pengganti suri hatinya? Bagai ada yang dirahsiakan, Benjy hanya tertawa lantas berkata dirinya masih belum bersedia dan hanya ingin memberi fokus kepada anaknya. Luah Benjy, jika sebelum ini keadaan dirinya tidak stabil disebabkan tiada sumber pendapatan, tetapi kini selepas memegang jawatan Pengarah Jualan dan Pemasaran Destini Ringgit Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang membekalkan mesin ais ke beberapa buah negara, selain kembali berlakon, masa depannya kelihatan lebih meyakinkan. “Kalau sebelum ini saya tidak boleh menjaga anak sebab diri sendiri belum stabil, sekarang saya berusaha untuk memberi yang terbaik dan menebus masa yang terlepas bersama anak,” tuturnya. Pengawal penjara Benjy yang cukup terkenal dengan watak Jibek menerusi drama Kerana Cintaku Saerah kini sedang mempersiapkan diri untuk kembali aktif di pentas lakonan. Lakonan pertamanya selepas di bebaskan dari penjara adalah teater Tatto Gestapo yang akan dipentaskan di Black Box Kaki Seni, SS2 Mall Petaling Jaya, Selangor pada 22 hingga 25 November ini. Menariknya dalam teater tersebut, Benjy bakal memainkan watak Lokman, seorang pengawal penjara yang ditugaskan melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah. “Tugas Lokman menghukum orang mati tetapi selepas itu, dia pula yang berada di kedudukan tali gantung atas satu kesalahan. Bagi saya, teater ini amat berat dan bermain dengan emosi dalaman. “Apa yang ingin diketengahkan dalam teater ini adalah pentingnya untuk seseorang mengakui kesalahan, minta maaf dan berdoa memohon keampunan,” ujarnya yang berbesar hati ditawarkan watak tersebut. Melakonkan situasi di penjara, rasanya tidak ada pelakon lain yang lebih sesuai daripada dirinya meskipun pada peringkat awal watak Lokman tersebut diciptakan buat aktor Zahiril Adzim. “Saya sungguh seronok dapat tawaran teater ini kerana isi kandungannya agak berat. Pengalaman di penjara saya gunakan sepenuhnya dalam teater ini kerana orang yang sudah masuk ke penjara sahaja yang benar-benar memahami situasi sebenar. “Pengarah dan penulis skrip juga ada meminta pendapat saya untuk menjadikan teater ini lebih hidup. Saya ada menambah beberapa perkara terutamanya dari segi bahasa, jadi jangan lupa datang beramai-ramai,” katanya mengenai teater yang mengenakan bayaran RM20 bagi seorang penonton itu. Selain Benjy, aktor lain yang turut terlibat dalam karya Hariry Jalil itu ialah Pekin Ibrahim yang memegang watak Mustapa, Shariffuddin Md. Jais (Dan), Azman Hassan (Algojo) serta aktor Namron pula bertindak selaku pengarah artistik.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails