Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Embun seri hidup Qazem

PASANGAN mana yang tidak gembira apabila hari bahagia yang dirancang selama ini bakal ditaja oleh pihak yang dilihat begitu berwibawa. Walaupun tidak meminta, pelawaan pihak Malaysia Wedding Expo 2012 (Mawex) untuk menaja perkahwinannya membuatkan pelakon Qazem Nor, 39, tidak ragu-ragu menerima tawaran tersebut. Qazem dan pasangan, Nor Azuriana Amirudin atau mesra dipanggil Embun, 28, sepatutnya dirai dalam satu majlis resepsi gilang gemilang di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Seri Kembangan, Selangor pada 20 Oktober ini. Ia sempena ekspo dan pameran perkahwinan anjuran Mawex Sdn. Bhd., yang berlangsung pada 19 hingga 21 Oktober ini di Pusat Pameran Mines, Seri Kembangan, Selangor. Majlis pernikahan mereka pula berlangsung pada pukul 9 pagi di Masjid As-Sabirin, AU4, Keramat, Kuala Lumpur. Namun impian bersanding di pelamin berkonsepkan syurga cinta itu tidak kesampaian. Pada 12 Oktober lalu, pasangan ini mendapat panggilan telefon mengatakan pihak penaja tidak mampu meneruskan perancangan kerana masalah kewangan. "Sebaik mendapat panggilan telefon daripada Izwan (wakil Mawex) dia tanya saya, macam mana ya Qazem...Kami tidak dapat meneruskan perancangan kerana masalah kewangan, majlis resepsi awak terpaksa dibatalkan. "Mudah sahaja saya jawab. Kalau macam itu saya terpaksa ambil tindakan undang-undang terhadap pihak Mawex kerana telah memalukan saya sekeluarga. Pada 14 Oktober lalu, saya buat laporan polis di Balai Polis Jalan Pudu tentang kes itu," katanya kepada Hits pada Selasa lalu. Jelas Qazem, dia tidaklah berasa terlalu sedih sekalipun pembatalan itu menyebabkan keluarganya terpaksa mencari lokasi lain untuk majlis resepsi. "Biar apa pun terjadi, saya tetap akan bernikah Sabtu ini. Cuma majlis resepsi sahaja perlu ditunda awal November nanti. Saya sudah bertanya beberapa tempat untuk meneruskan majlis resepsi pada hari Sabtu ini tapi tidak ada kekosongan dan sebab itulah perlu ditunda. "Bagi saya apa yang terjadi ini ada hikmahnya yang mungkin tidak nampak lagi sekarang ini. Sekarang ini kami sekeluarga terpaksa menelefon semula para jemputan untuk memberitahu yang majlis tersebut ditunda," kata pelakon drama Skuad D6 Putrajaya itu. Selepas kejadian ini nama Qazem yang sebelum ini jarang diingati peminat, mungkin akan terus terpaku di minda mereka. Selama ini Qazem menganggap dirinya tidak popular kerana jarang mendapat publisiti seperti mana artis lain lantaran sikapnya yang tidak mudah terjebak dengan gossip liar sebab tumpuan utamanya dalam bidang seni adalah untuk bekerja. Jelas Qazem, selama membabitkan diri dalam bidang seni, dia tidak pernah bermimpi untuk mencari calon isteri di kalangan artis kerana baginya, tempat seorang isteri adalah di sisi suami. "Nama saja artis tapi saya tidak mempunyai ramai kawan di kalangan artis yang rapat sebab habis kerja saya balik rumah. Kawan artis yang rapat dengan saya adalah seorang dua sahaja. "Susah kalau berpasangan dengan artis kerana masing-masing sibuk. Sebab itulah saya lebih selesa memilih pasangan di luar golongan kerjaya saya," katanya. Jelas Qazem, dia telah berkenalan dengan Embun sejak 2009 melalui seorang rakan. Pada mulanya hubungan mereka sekadar rakan dan selepas setahun barulah mereka menjadi pasangan kekasih. "Saya senang berkawan dengan Embun sebab dia seorang wanita yang matang, rasional dan tidak mudah marah. Kelakarnya, mula-mula kenal dia tidak tahu pun saya ini pelakon. "Sikapnya yang tidak mudah putus asa itu ada persamaan dengan saya sewaktu mula-mula menceburi bidang ini sebab saya bermula dari bawah. "Lagi satu sikapnya yang cepat mesra dengan kanak-kanak, memikat hati saya dan kami mempunyai pengalaman hidup yang hampir sama," akui Qazem tentang calon isterinya. Pada awalnya pasangan tersebut merancang untuk bernikah pada Disember ini tetapi dipercepatkan tarikh mengikut kehendak penaja Mawex. Namun sebagai manusia, kita hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Biarpun terasa sedikit kesal dengan kejadian tersebut, Qazem dan Embun yang bercadang untuk berbulan madu di Bali, Indonesia menganggap apa yang terjadi tetap ada hikmah di sebaliknya. Nak kembangkan ilmu silat Qazem yang sudah sembilan tahun membabitkan diri dalam bidang lakonan berkata, tempoh tersebut belum dapat memberi kepuasan kepadanya. Ujarnya, masih banyak perkara yang ingin dilakukan selain berlakon terutamanya kerja-kerja di belakang tabir. "Saya bermula sebagai pelakon pembantu. Atas nasihat pelakon Esma Daniel, saya cuba 'jual' diri kepada pengarah. Awal-awal dulu bila jumpa pengarah saya akan memperkenalkan diri sebagai pelakon baru dan tidak segan silu bertanya kalau ada peluang berlakon. "Dari situ saya mula diberi peluang menjadi pelakon berkarakter dan sedikit demi sedikit saya berjaya membentuk diri hingga keadaan sekarang. Semua itu saya lakukan dengan usaha sendiri kerana saya percaya kalau kita baik dengan semua orang, insya-Allah rezeki mesti ada," katanya tanpa berselindung. Jelas Qazem, setakat ini pelbagai watak sudah dilakonkan namun pada awal kemunculan dia kerap diberi watak antagonis bermula drama Misi XX Ray. "Kalau dulu sering diberi watak jahat, sekarang ini orang nampak saya lebih kepada komedi pula. Sebenarnya saya tidak pernah membataskan watak apa yang hendak dilakonkan. "Setiap watak yang diberi ada perbezaan dan menjadi tugas saya untuk mewarnakan watak tersebut mengikut jalan cerita. Kalau jadi jahat pun ada pelbagai gaya. Begitu juga komedi, setiap karakter berbeza," katanya. Dia yang bercita-cita menjadi pengarah suatu hari nanti berharap lebih banyak filem atau drama tempatan yang memberi penekanan kepada aksi silat kerana kebanyakan aksi pertarungan yang dipamerkan sekarang lebih terdorong gaya tae kwan do. "Saya memang suka cerita aksi, sebab ketika bertarung saya berpeluang untuk menunjukkan langkah silat. Siapa kata ilmu silat tidak boleh dikomersialkan. "Orang yang belajar ilmu mempertahankan diri tahu mana satu gaya silat atau tae kwan do. Sebenarnya bunga-bunga silat ini cantik kalau dipraktikkan untuk drama atau filem tempatan. Sekurang-kurangnya kita boleh menunjukkan budaya Melayu kepada orang luar," katanya penuh harapan. Malahan dia juga tidak menolak jika dipanggil untuk mengajar pelakon cara-cara bertarung kerana Qazem memang mempelajari ilmu seni silat sendeng. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121018/hi_01/Embun-seri-hidup-Qazem#ixzz29iMvFm5L © Utusan Melayu (M) Bhd
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails