Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sama tapi tak serupa - Nora Danish

FILEM Aku Terima Nikahnya lakonan Adi Putra dan Nora Danish kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. Sebaik ia ditayangkan, ada beberapa perkara yang dibangkitkan pihak media serta audiens. Ia adalah tentang persamaan filem tersebut dengan sebuah filem Hollywood berjudul, The Vow serta adegan yang agak intim antara Adi dan Nora. Aku Terima Nikahnya mengisahkan Johan (lakonan Adi Putra) dan Arlisa (Nora Danish) yang baru sahaja mendirikan rumah tangga telah berhadapan dugaan terbesar apabila Johan mengalami kemalangan. Akibat kemalangan tersebut, Johan telah hilang ingatan dan disahkan mengalami sejenis penyakit yang dikenali sebagai Selective Amnesia. Ia menyebabkan Johan sekadar mengingati perkara yang berlaku sehingga usianya 31 tahun, iaitu dua tahun sebelum dia mengenali isterinya itu. Jalan cerita tersebut didakwa mempunyai persamaan yang begitu ketara dengan filem The Vow lakonan Rachel McAdams dan Channing Tatum. Perbezaannya, dalam The Vow yang ditayangkan pada Februari tahun ini, bukan watak suami (lakonan Tatum) tetapi sebaliknya karakter si isteri (McAdams) yang hilang ingatan. Menjawab persoalan tersebut, pengarah Aku Terima Nikahnya, Eyra Rahman dengan tegas berkata, jalan cerita kedua-dua filem berkenaan jauh berbeza. Bagaimanapun, dia mengakui persamaan yang wujud adalah dari segi konsep cerita. "Saya tahu mereka yang menonton filem ini pastinya akan membandingkan dengan filem The Vow. Saya akui konsep cerita memang sama, tetapi bukanlah meniru keseluruhan jalan ceritanya. "Menerusi The Vow, yang hilang ingatan ialah watak isteri. Dalam Aku Terima Nikahnya pula, si suami yang mengalami hilang ingatan. Namun, jalan cerita yang dipaparkan memang jauh berbeza," jelasnya tentang filem yang menjalani penggambaran selama 18 hari dengan kos sekitar RM1.8 juta di beberapa buah lokasi seperti Kuala Lumpur, Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan itu. Gandingan mantap Menurut Eyra lagi, biar apa sahaja pandangan khalayak, dia menerima dengan hati terbuka kerana ia merupakan buah tangan sulungnya di layar perak. Malah, dia sangat berpuas hati dengan hasil cerita tersebut selain yakin mampu menambat hati penonton dengan lakonan para pelakon yang memberangsangkan. Ditanya tentang pemilihan Adi dan Nora sebagai teraju utama filem tersebut, Eyra menjelaskan ia dibuat berdasarkan perbincangan yang telah dilakukan dan menganggap ia merupakan gandingan yang cukup mantap. "Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan lakonan yang ditampilkan memandangkan kedua-duanya telah membawakan watak yang diberikan dengan baik," ujarnya yang pernah menjadi penolong pengarah beberapa buah filem seperti Rempit V3, Sekali Lagi dan Senario Beach Boy. Sementara itu, Adi dengan penuh terbuka menjawab persoalan tentang adegan intim dan romantik antara dirinya dengan Nora. Menganggap sudah begitu serasi dengan pelakon jelita tersebut, termasuk untuk adegan romantik kerana mereka pernah membawa watak sebagai suami isteri dalam drama rantaian Tentang Dhia, kata Adi, dia melihat adegan romantik mereka itu sekadar satu lakonan. "Saya melihat ia (adegan romantik) sebagai satu keperluan cerita dan sudah menjadi tanggungjawab buat saya melaksanakannya dengan baik. "Malah, salah satu sebab saya menerima tawaran berlakon dalam filem ini juga adalah kerana jalan cerita romantiknya yang lain daripada lain," ujar Adi yang mengaku pada awalnya tidak tahu siapa heroin filem tersebut. Tambahnya, selain menganggap ia sebagai satu tanggungjawab pelakon, paling utama, isterinya, Aida, faham dengan tanggungjawabnya sebagai pelakon yang perlu terbabit dengan adegan romantik dalam filem ke-66 terbitan Metrowealth Sdn. Bhd. itu. "Apabila berlakon dalam filem ini semua pihak terutamanya isteri faham dengan watak yang dibawakan dan saya sekadar menjalankan tugas sebagai pelakon. Jadi, tidak timbul sebarang isu termasuk membabitkan cinta di lokasi," jelasnya yang sebelum ini didakwa hampir bercerai dengan isterinya kerana Nora.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails