Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tali satukan Bea dan Asrul

MENDENGAR nama Bea Rameshan pasti ada yang beranggapan wanita itu bukan beragama Islam dan bertambah terkejut apabila mendengar dia bertutur dialek Kelantan dengan fasih. Cik Mek Molek ini berkata, namanya kelihatan 'ganjil' pada pandangan orang Melayu kerana bapanya berasal dari Kashmir, India. Pada sesi fotografi yang diatur di Studio Utusan, Hits menemukan Bea dengan Asrul Faizal Kamaruzaman kerana mereka turut berlakon bersama dalam drama Tali. Bea lega Secara berterus-terang, Bea Rameshan mengakui kini dia lega dan selesa apabila statusnya sebagai isteri diketahui umum. Pada awal kemunculannya pelbagai cerita tidak elok tentang Bea atau nama sebenarnya Rabiatul Balqis, 24, diperkatakan. Paling pedih apabila dia dituduh melahirkan anak tidak sah sedangkan Adellfea Raina Amini, 19 bulan, merupakan permata hasil cintanya dengan suami yang sah. Pelakon yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Pilih Kasih musim pertama pada 2009 itu berkata, status isteri yang disandang sebelum bergelar artis bukan penghalang untuknya berkarya. "Bea bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada suami dan keluarga. Sebelum ini Bea bukan sengaja menyembunyikan status, kalau orang tanya Bea cakaplah. "Pada yang pernah berprasangka buruk, Bea harap agar mereka lebih berhati-hati sebelum membuat kenyataan. Apa pun sekarang ini Bea lega kerana semua orang sudah tahu yang Bea adalah isteri orang dan mempunyai seorang anak," katanya yang tetap menjaga batasan sebagai isteri. Namanya mula mendapat perhatian kerana watak Zila yang dilakonkan dalam drama bersiri Bunga-Bunga Syurga, arahan Jet Lee yang skripnya dihasilkan oleh, Sharifah Abu Salem. Kata Bea, gara-gara drama terbitan Suhan Movies itu, ramai yang membencinya dan memberi komen yang pedih di laman sosial. "Rupa-rupanya watak Zila itu menimbulkan kemarahan orang ramai. Biarpun sedih membaca komen penonton di Internet tapi Bea puas hati kerana berjaya membawa watak tersebut dengan berkesan. "Sebenarnya sukar untuk Bea bawa watak antagonis kerana karakternya berbeza dengan peribadi. Kesukaran itulah cabaran untuk Bea dan alhamdulillah usaha Bea berjaya," katanya. Bea akui tidak mahu terikat pada satu watak sahaja kerana itu dia bersikap selektif dalam memilih watak bagi memastikan penampilannya sentiasa berbeza agar tidak jemu dipandang. Dia yang turut berlakon dalam drama Mak Yong, 13 episod arahan Jurey Latif amat teruja apabila diberi peranan dalam drama yang disiarkan di RTM itu. "Bea bukannya tahu tarian mak yong, belajar menari pun semasa di lokasi. Nasib baik nampak juga lenggok-lenggok mak yong. Untuk masa akan datang, kalau dapat watak yang lebih mencabar lagi bagus. "Kalau boleh Bea mahu dikenali dalam industri ini kerana bakat yang ditonjolkan dan bukan kerana cerita-cerita sensasi. Cukuplah apa yang Bea lalui pada peringkat awal. "Bea percaya peminat akan terus menyokong artis yang serius dalam berkarya tanpa mengira status," katanya yang sukakan cabaran itu. Suka Tali Bercerita mengenai watak Amylia dalam drama Tali, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia seronok berlakon dalam drama arahan Asri Alias itu. Drama terbitan KalamAriff Holding Sdn. Bhd., yang disiarkan di TV2, pukul 10.30 malam esok itu menggunakan dialek seratus peratus Kelantan. "Bea seronok sangat berlakon telefilem ini walaupun watak Amylia itu tidak seberapa. Sebab utama, penggambaran Tali dibuat di Kelantan, dapatlah Bea balik kampung. "Biar besar atau kecil watak yang diberi, Bea tetap gembira semua pelakon Tali adalah orang Kelantan. Bila di set itu, macam berkumpul adik-beradik. Tak kekok langsung biarpun baru pertama kali bergandingan dengan para pelakon," ceritanya. Untuk Tali, pemegang Diploma Kejuruteraan Sains Geometrik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu berpasangan dengan Syed Aiman yang berlakon sebagai Azhar, adik kepada Zaki, lakonan Asrul Faizal. Selaku anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang, Bea berharap lebih banyak syarikat menerbitkan drama atau telefilem yang menggunakan dialek Kelantan. "Bukan nak bersifat kenegerian tapi kalau banyak drama yang menggunakan dialek Kelantan, penduduk negeri lain pun boleh belajar bertutur dialek itu. "Macam drama yang menggunakan dialek utara atau Negeri Sembilan pun semakin banyak. Drama yang menggunakan dialek dilihat lebih dekat dengan penonton," katanya. Meskipun penampilannya dalam drama dilihat begitu terhad, bukan bermakna Bea tidak mendapat tawaran berlakon tetapi dia sendiri yang memutuskan untuk berbuat demikian. Katanya, dia tidak suka melakukan dua pekerjaan dalam satu masa dan kebanyakan tawaran yang mendatang sering bertindih dengan jadual kerja. "Selain memilih watak, Bea juga lihat lokasi. Kalau perlu berlakon di lokasi yang jauh dan lama, tidak dapatlah Bea terima kerana kasihan pada Adell (anak). Bagi Bea, lakonan dan keluarga sama penting dan sebab itulah perlu berhati-hati," katanya terus terang. Asrul kembali di layar kaca Watak Jaha Amerika lakonan Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman, 33, dalam filem Budak Kelantan memberi impak besar kepada penonton namun selepas itu namanya terus sepi. Bukan kerana lakonannya tidak mendapat perhatian para pengarah atau penerbit, cuma pelakon itu sahaja tidak dapat memenuhi jadual penggambaran yang diberi. Selaku Pegawai Kebudayaan di Universiti Malaya (UM), Asrul terikat dengan tanggungjawab membimbing penuntut di situ dan hanya akan berlakon jika kena pada masanya. "Nak berlakon kerap pun susah sebab cuti dah habis. Saya memang dapat banyak tawaran tapi tidak boleh terima, sebab itulah. Tak apalah mungkin bukan rezeki saya. "Kerana itulah bila saya muncul dalam sesebuah produksi, saya akan pastikan kemunculan itu dapat memberi kesan kepada penonton agar mereka ingat lakonan saya," katanya. Bercerita tentang watak Zaki, lakonannya dalam drama Tali, Asrul berkata, dia banyak berkorban untuk adiknya, Azhar. Katanya, Tali adalah drama serius kerana skrip tulisan Nazri Awang itu berkisar tentang hubungan antara adik beradik yang berbalah. "Kisah pengorbanan seorang abang dan adik yang cuba disatukan kembali sempena hari raya korban oleh bapa saudara mereka, Che Soh. Watak Zaki banyak bermain dengan perasaan dalaman kerana terpaksa berhadapan dengan adik yang ego. "Saya tidak ada masalah berlakon Tali kerana semua pelakon orang Kelantan dan mudah untuk kami berkomunikasi. Lagipun drama itu menggunakan dialek Kelantan," katanya tersenyum. Suami kepada Yana Othman dan bapa kepada tiga orang anak itu berkata, inilah kali pertama dia berlakon drama terbitan KalamAriff Sdn. Bhd. Buat album Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Drama dari UM itu bukan sekadar berlakon malah dia juga mempunyai album yang dihasilkan bersama para penuntut. Selaku tenaga pengajar yang amat menitik beratkan budaya tradisional, Asrul turut menghasilkan album Dikir Warriors yang berada di pasaran sejak Februari lalu. "Dalam album itu ada lapan lagu. Saya nyanyi dua lagu. Album ini sepenuhnya menggunakan dialek Kelantan. Nama pun Dikir Warriors dan ia ditujukan khas untuk pasukan bola sepak Kelantan. "Selain budak-budak UM, ada juga budak-budak UiTM. Apa yang saya buat ini relevan dengan tugas sebagai tenaga pengajar. Kalau kita lihat, anak-anak muda sekarang semakin kurang menghargai budaya tradisional. Saya harap bila ada album yang lagu-lagu berkaitan dengan sukan bola, mereka akan memberi tumpuan," katanya. Kata Asrul, album Dikir Warriors walaupun dijual secara online namun sambutan yang diterima amat menggalakkan. Selaku pencinta budaya, Asrul berharap generasi muda tidak akan melupai asal usul kerana negara kita kaya dengan budaya yang unik. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121024/hi_01/Tali-satukan-Bea-dan-Asrul#ixzz2AegL30Uq © Utusan Melayu (M) Bhd
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails