Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Debaran menanti hari besar-Ayu Raudhah


Ayu Raudhah memilih 21 Januari 2011 untuk dinikahkan dengan Zaquan Adha

RONA bahagia jelas terpancar di wajah pelakon ini. Senyuman manis yang sentiasa terukir dari bibir seulas limaunya itu cukup untuk menggambarkan bahawa Ayu Raudhah ini sedang enak mengulit bahagia.

Sejak mengikat tali pertunangan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha pada 17 Oktober lalu, hati wanitanya subur dan mekar dengan bunga-bunga cinta. Siapa sangka, majlis yang sepatutnya acara merisik bertukar menjadi majlis pertunangan. Ketika ditemui pada majlis pelancaran program baru untuk sebuah stesen TV baru-baru ini, adik kepada pelakon Rozita Che Wan ini cukup ceria bercerita menjelang detik-detik hari bahagianya itu. Sekadar berkongsi kegembiraan, pelakon yang cukup terkenal dalam drama bersiri Nur Kasih ini berkata, dia kini sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada Zaguan.

“Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka yang majlis merisik itu akhirnya menjadi majlis pertunangan. Lagipun sewaktu pihak lelaki memberitahu yang mereka hanya ingin datang ke rumah untuk merisik, saya pun tak adalah buat persiapan rapi sebab mereka yang meminta kami supaya tidak menyediakan apa-apa. Apapun, saya rasa bersyukur kerana majlis itu berlangsung dengan lancar dan sempurna,” katanya.

Selepas janji diikat, Ayu berkata dia sepakat memilih tarikh 21 Januari 2011 untuk menamatkan zaman anak daranya bersama jejaka pilihan hatinya itu.

“Mula-mula kami ingin memilih tarikh 11 Januari 2011, malangnya harinya tidak bersesuaian kerana jatuh pada hari Selasa dan bukannya hari cuti. Tarikh 21 Januari dipilih kerana ia jatuh pada hari Jumaat dan mahu mengambil keberkatan penghulu segala hari itu. Ia tak ada kena mengena dengan tarikh lahir atau sebagainya.
“Manakala majlis sambut menantu pula akan diadakan pada 29 Januari. Untuk majlis persandingan di kampung saya, di Alor Star, memang saya mahu menggunakan konsep dongeng. Tapi selepas memikirkan apakah konsep itu akan berjaya jika kami saja yang beriya sedangkan tetamu datang tidak menepati konsep, jadi saya perlu ada rancangan lain.

“Buat masa ini, saya tak terfikir lagi apakah konsep majlis itu nanti. Untuk majlis di rumah lelaki, saya serahkan saja pada Zaquan. Bagi pihak Zaquan, dia tak kisah dan setuju saja apa yang saya mahukan,” katanya.

Adat orang popular, majlis lama lagi berlangsung, sudah ada pihak yang sudi ingin menaja pakaian pengantin. “Mereka ini adalah antara pereka yang sudah bersetuju menaja busana saya pada majlis itu nanti,” katanya.

Berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda darinya bagi setengah orang adalah perkara yang cukup membimbangkan. Namun perkara itu tidak berlaku kepada Ayu. Baginya perbezaan usia sebanyak tiga tahun bukanlah halangan besar untuk sehidup semati dengan Zaquan.

“Saya tak anggap usia satu halangan buat kami untuk hidup bersama. Dia sebenarnya jauh lebih matang dari usianya yang sebenar,”tutur gadis berusia 26 tahun ini.

Apabila kedua-duanya berada dalam dunia glamor, pastinya banyak dugaan yang menanti. Tidakkah timbul kebimbangan di hati gadis ini jika suatu hari nanti badai menerjah rumah tangga mereka.

“Sebagai manusia, kita hanya berserah pada Tuhan. Apa yang penting, saya dan dia harus sama-sama menghadapi apa saja dugaan yang melanda dan saling menjaga hati antara satu sama lain. Dan sekiranya Zaquan meminta saya supaya mengundurkan diri dalam bidang lakonan atas sebab mahu menjaga keharmonian rumah tangga, saya sedia berbuat demikian,”katanya.

Tidak pernah campur urusan Rita Rudaini

SEBOLEH mungkin dia cuba mengelak untuk ditanyakan soalan mengenai kontroversi yang menimpa birasnya, pelakon Rita Rudaini.

Kata Ayu, dia tidak mahu mengulas perkara itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Sebelum ini, Ayu didakwa turut mencampuri urusan Rita apabila dikatakan menyebarkan fitnah terhadap Rita kepada ibu mertuanya sehingga memburukkan lagi keadaan.

“Apa yang saya boleh katakan, saya tidak buat seperti yang didakwa Rita. Katanya, saya berkata begitu dalam satu majlis yang diadakan oleh sebuah portal hiburan.

“Bagaimana saya boleh didakwa mengeluarkan kenyataan itu sedangkan saya tidak menghadiri acara itu? Jadi, untuk tidak memanjangkan perkara ini, adalah lebih baik saya diamkan diri dan tidak mengulas lanjut perkara ini,” katanya mengharapkan pengertian.

Kehadiran Ayu pada majlis itu adalah untuk mempromosikan drama Anak Mami Mek Ani dan dia memegang watak sebagai Suzy yang juga anak mami.

Mengulas wataknya itu, Ayu berkata dia puas hati dengan watak Suzy kerana pengarahnya memberi peluang kepadanya untuk memegang watak sebagai antagonis iaitu gadis yang mengada-ngada.

“Watak ini berbeza dengan watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Sebelum ini sering memegang watak gadis lemah lembut, tapi kali ini saya jadi perempuan jahat dan mengada-ngada. Nada suara saya dalam cerita itu buat orang yang mendengarnya meluat,” cerita Ayu lagi.

Turut membintangi drama itu ialah Eira Syazira, Isaac dan Sheila Mambo.Ia akan ditayangkan di Astro Warna mulai 30 November depan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails