Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mula seronok bergelar pelajar IPT-Vanidah


Keputusan Vanidah Imran sambung belajar suatu cabaran

BENAR kemanisan sebuah kejayaan itu hanya akan dinikmati selepas segala perit dan jerih pengorbanan berjaya diatasi tatkala menuju destinasi impian. Kemanisan itu pastinya tidak datang bergolek. Ada kala menuntut pergelutan waktu dan diri, bahkan sesekali akan diuji apakah seseorang itu mampu bertahan merempuh gelombang dugaan itu.

Aktres berkaliber, Vanidah Imran, 37, juga sedang melalui situasi yang menduga apabila mengambil keputusan untuk kembali bergelar penuntut.

Kata Vanidah atau mesra disapa Vee, tuntutan sebagai pelajar bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan apatah lagi selepas sekian lama meninggalkan alam pembelajaran formal. Akuinya, pada permulaan dia sendiri terpaksa bergelut dengan perubahan hidup yang sedang dilaluinya itu. Bagaimanapun, selepas menyelesaikan satu semester, Vanidah sudah mula selesa menyesuaikan diri dengan dunia barunya.

Dia pada mulanya enggan berkongsi perkara itu kerana bimbang jika usahanya itu terkandas separuh jalan. Masih cuba berahsia, Vanidah cuma memberitahu dia sedang mengikuti pengajian yang mempunyai kaitan dengan sastera kanak-kanak dan bahasa Inggeris.

“Masih terlalu awal untuk saya berkongsi segala-galanya. Pengajian pun baru dua semester dilalui, belum masanya untuk saya bercerita mengenai segala perancangan.

“Apa juga akan berlaku, saya terlebih dulu mahu menamatkan pengajian yang berjalan selama tiga setengah tahun. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, membuatkan saya semakin selektif sebelum menerima tawaran baru.
“Jujurnya saya tidak boleh menerima hakikat jika gagal dalam peperiksaan.

Disebabkan itu saya menetapkan disiplin yang tinggi supaya pengajian selesai tepat pada masanya,” kata Vanidah enggan memberitahu lokasi pengajiannya.

Akuinya, status sebagai selebriti turut menyumbang tekanan kerana masyarakat pasti akan menilai sejauh mana kesungguhannya dalam melunaskan pengajian.

Bahkan suaminya sendiri, Rashidi Ishak yang bakal menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) sering memberitahu, tanggungjawab itu tidak mudah untuk disempurnakan.

Tetapi Vanidah sentiasa positif mendepani cabaran yang mendatang kerana baginya, semua dugaan akan mampu diatasi jika dialas kemahuan yang tinggi.
“Melihat adik menamatkan pengajian di Amerika Syarikat, saya juga menyimpan impian untuk memiliki ijazah sepertinya.

“Saya mahu kejayaan kami suami isteri menjadi motivasi kepada dua anak kami untuk bersungguh-sungguh dalam pelajaran mereka,” katanya.

Kongsi pelakon yang bakal muncul dengan drama, Dendam Maya itu, dia pernah muntah ketika sedang menduduki peperiksaan gara-gara kurang tidur.

Bagaimanapun, Vanidah tekad untuk tidak menjadikan isu itu sebagai halangan kerana baginya, setiap keinginan bertitik tolak daripada kekuatan disiplin.

“Saya cuba bertahan, malah sentiasa mengingatkan diri itu hanya berlaku pada permulaan. Alhamdulillah, apabila sudah dapat menyesuaikan diri semuanya akan menjadi mudah. Saya bertuah kerana dikelilingi teman yang sentiasa memberi sokongan untuk memajukan diri. Jika tidak mencuba, saya tidak akan tahu bagaimana hasilnya.

“Shidi selalu pesan untuk menjadi pelajar kena kuat. Itu menjadi pegangan saya. Saya tidak boleh menerima hakikat jika gagal walaupun satu kertas,” katanya yang mengambil tiga subjek setiap semester.

Tidak lokek kongsi pengalaman berlakon

SEIRING usia yang mendaki dia turut menyimpan niat untuk memanfaatkan segala pengalaman selama berada dalam bidang lakonan bersama mereka yang dahagakan ilmu. Impian yang tidak pernah bermain di sudut fikirannya tetapi keinginan itu berubah apabila dia diundang menjayakan satu bengkel lakonan tidak lama dulu.

Disebabkan tidak mempunyai pengetahuan lakonan formal, Vanidah mendapatkan bantuan daripada Aminah Rhapor untuk membantunya dari segi teori.

“Awalnya saya tidak yakin kerana saya seorang yang mementingkan kesempurnaan. Kalau mahu menjadi tenaga pengajar, saya wajar sekurang-kurangnya memiliki sijil untuk membantu saya mendapatkan terma yang tepat.

“Saya pernah mengajar bengkel lakonan di Pantai Timur pada Januari lalu. Walaupun singkat, ia membawa banyak perubahan kepada diri saya.

“Daripada situ saya terfikir untuk terus mendalami ilmu lakonan dan menguasai teknik mengajar. FINAS ada menyediakan kursus singkat di luar negara dan saya sedang menimbang kemungkinan untuk mengikutinya,” katanya.

Kata Vanidah tertawa, pada mulanya dia berasa ‘geli’ mendengar peserta bengkel itu memanggilnya cikgu tetapi selepas beberapa hari bersama, keseronokan itu semakin dirasai.

Akui Vanidah, bengkel itu membawa banyak impak positif kepada pesertanya dan secara tidak langsung membantu remaja membina keyakinan diri.

“Saya pernah terjumpa seorang peserta yang agak pasif. Dia banyak memendam masalah sendirian tetapi selepas sesi perkenalan, perlahan-lahan dia mula membuka dirinya.

“Bengkel yang disertai itu bukan semata-mata untuk menjadi pelakon, sebaliknya saya mahu mereka berani dan menjadi diri sendiri.

“Sebelum ini ada yang kekok berbahasa Inggeris tetapi selesai latihan, mereka sudah mula berani bertutur dalam bahasa asing.

“Itu satu pencapaian dan sampai sekarang kami masih berhubung. Insya-Allah, saya akan terbabit lagi dalam aktiviti seperti itu tahun depan,” katanya.

Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20 menerusi The Red Kebaya itu turut gembira kerana industri perfileman kini mempunyai pelapis yang mampu membuat negara berbangga dengan bakat mereka.

Katanya, keberkesanan kepada lakonan bukan hanya pada penghayatan luaran tetapi juga dalaman kerana konsistensi persembahan akan jelas kelihatan di mata penonton.

Selain itu, tonasi dialog juga membantu menghidupkan sesuatu watak dan akui Vanidah, lakonan natural tetapi meyakinkan paling sukar untuk dibuat.

“Negara mempunyai ramai pelapis yang bagus seperti Nur Fazura. Dia boleh pergi jauh cuma belum diberi kepercayaan untuk memainkan watak yang menguji kekuatan lakonannya.

“Liyana Jasmay juga mempunyai potensi besar dan saya sedang menanti pengarah yang berani membawanya lari daripada watak keanak-anakan.

“Sharifah Amani sedang berlari di atas trek yang betul. Melihat penampilannya dalam Appalam dan Magika, saya sudah dapat melihat sisi berbeza Amani dari segi lakonan,” katanya yang turut menjadi nadi kepada filem Misteri Jalan Lama.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails