Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tak mahu gadai maruah-Reza Hasbi


ADAT sebagai orang baru dalam sesuatu bidang, perjalanan yang dilalui tak semudah yang disangka. Kadangkala terdetik juga rasa sangsi apakah benar perjalanan yang bakal diteruskan ini berada pada landasan yang benar.

Apatah lagi bagi pendatang baru seperti Reza Hasbi ini, cabaran besar sudah dirasakan tatkala baru sahaja menapak dalam industri hiburan tanah air.

Banyak sangat onar yang dia sendiri tak pernah terjangka tiba di depan mata. Kalau dulu dia hanya membaca kisah orang lain, kini dia sedar sebagai orang baru semua itu harus ditempuhi demi mengejar cita-cita.

Dicungkil bakatnya daripada rancangan realiti Pilih Kasih, anak muda yang berusia 21 tahun ini cukup gementar memulakan bicara lewat pertemuan baru-baru ini.

Tidak tahu yang mana satu

harus dimulakan, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini cukup teruja apabila bercerita tentang perasaannya menjejakkan kaki ke dunia seni.

Katanya, banyak perkara yang bermain dalam fikirannya di kala ini, tambahan pula dirinya sedang mencorak laluan untuk berjaya seperti mana yang pernah dikecapi oleh Rosyam Nor selaku ikon pujaan hatinya.

Namun di sebalik kegembiraan itu, Reza membuka rahsia yang dirinya juga pernah melalui ‘peristiwa seram’ yang cukup memberikan kejutan.

“Saya pernah dapat SMS daripada beberapa individu berpengaruh yang cukup mengejutkan. Ada yang sanggup memberikan apa sahaja asalkan saya menyerahkan diri pada mereka.

“Sudah pasti perkara tersebut memang cukup mengejutkan saya. Tapi ini bukan cara saya. Biarlah saya menapak setapak demi setapak tanpa perlu menggadaikan maruah diri.

“Cukup tersentak dengan apa yang berlaku, saya gembira kerana masih ada lagi orang sekeliling yang membantu untuk menunjukkan jalan yang benar. Jangan ingat semua orang baru senang untuk diperlakukan sebegitu,” tegasnya lagi.

Kalau dilihat atmosfera dunia hiburan tempatan, pasti ada yang menggeleng-geleng kepala dek melihatkan senarai bakat baru yang ada. Masing-masing tampil dengan pelbagai faktor untuk ‘menjual’ bakat yang ada.

Bagi Reza, hampir setahun juga dia menyepikan diri setelah keluar sebagai naib juara Pilih Kasih pada tahun lalu semata-mata mahu menumpukan pelajaran dalam yang tertangguh.

“Memang saya sedikit terlewat selepas keluar rancangan realiti tersebut memandangkan saya kembali mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tertangguh.

“Dan apabila semuanya telah selesai barulah saya mahu menumpukan secara serius bidang seni yang memang cukup saya minati sejak kecil lagi. Tapi pelajaran pun penting untuk menjamin masa depan kita.

“Kalau rakan-rakan yang lain boleh berbangga kerana sudahpun membintangi beberapa buah drama, saya pula tak menyesal dengan terlewat.

“Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki terutama dari segi lakonan yang masih terlalu muda,” jelas pelakon drama bersiri Trilogi Cinta ini lagi.

Masih baru dan masih belum sepopular mana sudah pasti kebanyakan bintang baru seperti Reza mendambakan publisiti meluas.

Sambil mengakui dirinya masih belum dikenali ramai, Reza menjelaskan populariti itu sangat penting bagi pendatang baru sepertinya untuk dikenali ramai di Malaysia.

“Kadang kala wujud juga rasa kecil hati apabila orang langsung tak mengenali siapa saya. Yalah, artis kan ramai, jadi sudah pasti persaingan untuk popular itu cukup mencabar.

“Kalau ada yang tanya, populariti amat penting bagi orang baru seperti saya. Tapi biarlah ia seiring dengan bakat yang ada. Kalau boleh biarlah ia bergerak seiring.

“Kalau boleh impian saya nak jadi pelakon yang hebat. Nak memang anugerah dan nak bawa balik trofi pelakon terbaik. Bila masanya, saya pun tak tahu. Apa yang penting saya berusaha untuk menjadi yang terbaik,” jelasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails