Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Makin lama, makin tak berharga! - Amyza


INILAH nasib menjadi artis Malaysia, semakin lama duduk dalam industri semakin murah harganya. Kalau dipandang pun tak mengapa, tapi ramai juga yang langsung diketepikan.

Bukan satu dua orang mengeluh hal yang sama. Kalau kita lihat kembali sesetengah artis lama yang menghadapi zaman yang sukar. Sudahlah tidak bekerja, hidup pula melarat tanpa sebarang pendapatan.

Mungkin ada yang mengatakan tidak tapi pada yang pernah mengalaminya pengalaman sebegitu, semuanya semakin jelas ketara.

Pelakon dan pengacara Amyza Aznan pun turut terkena tempiasnya. Baru-baru ini dia dikatakan ‘naik hantu’ dengan bayaran yang ditawarkan kepadanya untuk membintangi sebuah filem.

Ketika ditanya kebenaran cerita tersebut, Amyza tidak menafikan hal tersebut. Cukup terkilan dengan apa yang telah berlaku, pemenang tempat kedua pertandingan Sehati Berdansa musim kedua itu cukup kecewa dengan apa yang telah terjadi.

“Kali terakhir saya membintangi filem pada tahun lepas. Sudah pasti saya cukup rindu untuk membuat kemunculan semula di layar perak.

“Bila ada yang offer untuk berlakon sebuah filem baru, memang saya gembira. Saya hanya ditawarkan lapan babak yang mengambil masa empat hari di luar Kuala Lumpur.

“Kalau ikut cerita pihak produksi nak bayar RM3,000. Memang jumlah tu kecil kalau nak dibandingkan dengan pengalaman saya. Saya tetap terima sebab nak buat kemunculan semula.

“Tapi apa yang membuatkan saya ‘naik hantu’ apabila bayaran yang ditawarkan dah makin kurang. Dia nak bayar RM1,500 pula. Apa cerita beb?

“Dahlah lokasi luar Kuala Lumpur, daripada berlakon sampai ke buat dubbing. Itu saja bayaran yang saya dapat? Apa lagi yang tinggal?

“Itulah duit minyak, duit tol, duit lakonan, duit dubbing dan segala-galanya. Habis berapa sen saja kalau nak ikutkan? Jangan buat senior macam saya sampah okey,” tegas Amyza lagi.

Enggan meletakkan maruah di bawah tapak kaki mana-mana pihak, Amyza enggan meneruskan penggambaran memandangkan tidak ada perjanjian hitam putih yang telah ditandatangani.

Tapi dalam hatinya cukup terasa dengan perbuatan pihak yang tak bertanggungjawab yang sanggup meletakkan harga sebegitu rendah kepada insan seni sepertinya.

Bukan satu dua orang dia bertanyakan kewajaran dirinya menolak tawaran yang tak masuk akal itu, rata-rata menasihatkan pelakon yang cukup popular dengan watak kelakar itu untuk menolak mentah-mentah.

Kata Amyza, penolakan tawaran berlakon filem itu bukan satu kerugian buat dirinya memandangkan selepas itu dia banyak menerima tawaran berlakon drama yang cukup sebati dalam jiwanya.

“Berlakon drama pun lagi banyak bayaran daripada berlakon filem. Mungkin orang-orang yang terlibat dalam bidang drama ini faham harga yang perlu dibayar pada artis macam saya.

“Bukan tak kecil hati dengan apa yang dah berlaku. Saya masih ada lagi peminat dan pengikut. Mereka masih lagi mahu melihat saya dan rakan-rakan yang lain di kaca televisyen.

“Kadang-kadang saya terfikir, kenapa mereka (pihak produksi) tak meletakkan diri di tempat saya. Kalau dia letakkan diri baru dia tahu apa yang saya rasakan.

“Kalau nak tahu masih ramai lagi pelakon lain yang menerima nasib yang sama. Ditawarkan harga yang tak masuk akal. Bukan kami minta harga yang bukan-bukan tapi biarlah berbaloi.

“Tapi kalau dedahkan apa yang dah berlaku, tak mengubah apa-apa pun. Apa yang orang lain boleh buat. Sekadar membaca dan merasa kasihan sahaja.

“Lainlah kalau perkara ini terjadi kepada nama-nama besar yang lain. Agaknya baru orang akan buka mata kot,” kata Amyza penuh makna.

Dilanyak Rosyam Nor

KALAU dihitung hampir 14 tahun nama Amyza Aznan menghiasi atmosfera dunia hiburan tempatan. Beratus drama telah dilakonkan sehingga melayakkan dia diangkat sebagai antara lima artis komedi wanita dalam satu anugerah tahun lalu.

Ramai yang mengenalinya sebagai pelakon yang berbakat. Berilah apa sahaja watak, pasti akan dilunaskan oleh Amyza dengan baik terutama watak komedi.

Dalam pada itu dia mendedahkan kepada Pancaindera kepuasan berlakon seakan memuncak apabila dipertemukan dalam drama bersiri Trilogi Cinta yang menggandingkan dirinya bersama pelakon Rosyam Nor.

“Bayangkan empat bulan penggambaran, saya sangat stress. Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Memang serba serbi tak kena dengan Rosyam.

“Sampaikan saya lupa hari jadi suami. Itupun selepas dua hari baru saya ingat. Tidur malam jadi tak lena semuanya gara-gara ‘dilanyak’ Rosyam.

“Alhamdulillah, setelah ‘menderita’ selama empat bulan, akhirnya saya selesai juga. Memang saya puas dapat bergandingan dengan Rosyam. Banyak kali kena marah tapi semuanya untuk kebaikan saya.

“Bukan saya seorang yang kena. Habis semua rasanya kena marah kalau buat salah. Saya tak menyesal jauh sekali kecil hati dengan apa yang dah jadi.

“Kalau ada tawaran lain selepas ini memang saya tak tolak. Kesakitan yang saya alami bertukar menjadi puas setelah melihat hasilnya bagus,” katanya lagi.

Selain terlibat dalam dunia lakonan, Amyza juga kini berbangga apabila dilantik menjadi duta minyak wangi jenama Karisma Perfume.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails