Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nekad bersara-Que Haidar


APABILA pemegang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dan 2009, Que Haidar, memaklumkan hasratnya untuk berhenti berlakon, ramai di kalangan peminat dan penggiat filem yang berasakan betapa ‘persaraannya’ itu satu kerugian besar pada dunia perfileman negara.

Que dilihat antara bintang muda yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia lakonan tempatan, kerana bakat hebat yang ada dalam dirinya. Daripada filem Rock hingga Lagenda Budak Setan, dia sentiasa memberikan persembahan terbaik apabila beraksi di layar lebar, mahupun drama TV. Daripada usahanya itu, pelakon lelaki berusia 31 tahun ini selayaknya digelar sebagai anak wayang sejati. "Saya tidak terkilan dengan keputusan yang dibuat, cuma suatu hari nanti mungkin saya akan rindu untuk berlakon semula"

Que Haidar
Pelakon Produser dan pengarah, Datuk Yusof Haslam dan pelakon Rosyam Nor pernah melahirkan rasa terkilan apabila pelakon berbakat besar dan pada usia semuda Que menyuarakan hasrat mengundurkan diri dari dunia lakonan.

Mereka berasakan, masih banyak peluang hebat yang mampu digapai pelakon lelaki ini sekiranya dia terus aktif sebagai bintang filem.

Namun, Que mempunyai perancangannya tersendiri untuk masa depan lebih baik, buat dirinya dan keluarga. Bukan menganggap lakonan tidak memberikan rezeki, tetapi dia melihat keutamaan diri sudah berubah sejak mendirikan rumah tangga dan kini mempunyai anak.

“Jika dulu, saya berlakon untuk kepuasan dan diri saya seorang, tetapi kini tidak lagi boleh berfikiran sedemikian. Saya sudah ada keluarga yang perlu diberikan perhatian. Saya harus bekerja lebih keras untuk memastikan keperluan mereka ditunaikan.
“Berlakon ada pasang surutnya. Sewaktu kita popular, mungkin tawaran berlakon tidak menjadi masalah. Tetapi bagaimana setelah kita kurang masyhur? Jadi, saya memerlukan pelan sokongan bagi menjamin masa depan lebih baik untuk diri dan keluarga,” katanya.

Mengaku sedang merangka perniagaan yang tiada kena- mengena dengan dunia seni, bagaimanapun Que enggan mendedahkan dulu bentuk bidang yang diceburinya. Perniagaan yang pada awalnya ingin dilakukan itu juga menarik minat si isteri, Linda Jasmine, untuk terbabit sama.

Ketika ini, Que turut menumpukan perhatian kepada pengurusan Studio Linda Jasmine, selain mengendalikan beberapa kelas lakonan yang diadakan di studio terbabit, serta beberapa lokasi lain.

“Jika dilihat kepada pelakon berjaya yang lain, mereka mempunyai sokongan. Contohnya Rosyam. Dia berlakon dan turut menerbitkan drama mahupun program televisyen. Farid (Farid Kamil) pula boleh mengarah dan menulis skrip, begitu juga Zul Huzaimi. Pierre Andre juga menulis skrip dan mengarah, selain bergelar pelakon. Saya pula hanya berlakon semata-mata.

“Saya pernah ditawarkan mengarahkan filem, tetapi saya tolak. Saya tidak mahu melakukan sesuatu perkara yang ‘cuba’ mengarah dan akhirnya menjadi sampah. Saya ialah seorang pelakon,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Begitupun, katanya, ‘persaraannya’ daripada lakonan bukanlah bersifat mutlak. Dia tidak menolak kemungkinan kembali beraksi di depan kamera sekiranya tiba-tiba ditawarkan watak yang benar-benar menarik, serta datang kepadanya pada waktu yang sesuai.

“Jika masih ada produser yang sudi memanggil saya berlakon, dan tawarkan pula watak yang betul-betul menarik minat saya, sudah tentu saya akan melakukan pertimbangan sewajarnya. Saya tidak berkata yang saya akan berhenti berlakon untuk selama-lamanya.

“Saya tidak terkilan dengan keputusan yang dibuat, cuma suatu hari nanti mungkin saya akan rindu untuk berlakon semula.

“Semua orang tahu, sejak kecil saya berangan ingin menjadi seorang pelakon. Kini saya berjaya menunaikan impian itu. Cuma saya sedar, berlakon di Malaysia bukanlah seperti berlakon di Hollywood. Kita tidak dapat menjadi kaya dengan hanya berlakon, di sini,” katanya.

Kata Que, industri perfileman negara sedikit pun tidak akan terjejas dengan ketiadaannya kerana masih ramai pelakon berbakat, sama ada baru ataupun lama, yang mampu melaksanakan tugas mereka.


Profil


•Nama sebenar Que Haidar ialah Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar.


•Dilahirkan pada 30 Mei 1979 di Felda Taib Andak, Kulai, Johor.


•Menceburi bidang lakonan sekitar 2005. Filem pertama yang dibintanginya ialah KL Menjerit 1 arahan Bade Azmi. Que juga pelakon untuk filem Rock, Zombie Kampung Pisang, Castello, Maut, Syaitan, Haru Biru, Duhai Si Pari Pari dan Papadom.


•Sepanjang pembabitannya, Que pernah memenangi Anugerah Pelakon Harapan Lelaki pada Festival Filem ke 19.


•Bekas pelajar Akademi Seni Warisan dan Budaya (ASWARA) ini juga pernah memenangi Anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak dua kali iaitu pada 2008 dan 2009.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails