Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Suami mahu Sasha patuh syarat kahwin?


LEBIH tiga tahun bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin ini menyepi diri. Terus tenggelam tanpa cerita kerjaya sama ada dalam bidang lakonan, nyanyian atau peragaan. Berbanding rakan-rakan seangkatannya seperti Azza dan Watie yang kerap muncul di media, anak kacukan Melayu-Inggeris ini dilihat terkebelakang.

Lantaran itu, kedengaran khabar angin mengatakan kerjaya lulusan Sistem Maklumat Perniagaan dari University of East Anglia, United Kingdom (UK) ini sebenarnya dihalang oleh suami, Salyo Priyanto.

Salyo dikatakan sudah membuat perjanjian bersama isterinya sejurus selepas saat mereka dinikahkan di Masjid Baitussalam, Duren Tiga, Jakarta Selatan pada 10 November 2007. Antara inti pati perjanjian itu adalah Sasha diminta mengurangkan aktiviti seninya selepas perkahwinan mereka nanti.

Tambahan pula selepas kelahiran putera sulung, Adam Aryasenna Notoemarsono memberi makna 'putera bangsawan yang membawa senjata perisai sakti' pada 28 Ogos 2009.

Justeru, kaki anak kedua dari tiga beradik ini terus dirantai. Dunianya hanya di rumah, tumpuan hanya pada anak dan hanya dibenarkan keluar hanya untuk urusan penting, bukan kerjaya.

''Saya tidak pernah dikongkong oleh suami seperti yang didakwa oleh gosip liar itu. Salyo tidak menghalang atau menyuruh saya menjaga anak di rumah sahaja. Mengarutlah.

''Bahkan, dia memberi keizinan untuk melakukan apa sahaja aktiviti seni yang pernah dilakukan sebelum menikahi dia. Cuma saya yang memilih untuk berehat di rumah. Kehendak saya sendiri dan bukan atas paksaan sesiapa,'' bidas wanita ini bersungguh-sungguh.

Menanyakan aktiviti hariannya, pemilik album solo berjudul Kerana Cinta itu menjelaskan bahawa tumpuannya kini hanya pada Arya yang kini berusia setahun tiga bulan. Sebagai ibu, dia tidak sanggup untuk berpisah lama dengan anak tersayang walaupun seminit jua.

Tegasnya: ''Arya adalah segala-galanya buat saya selama ini. Sebagai wanita biasa, sudah tentu saya nantikan saat-saat dikurniakan cahaya mata sendiri selepas tiada rezeki pada perkahwinan pertama.

''Saya cukup bersabar menanti kelahiran Arya, kira-kira setahun selepas perkahwinan kami. Selepas dikhabarkan berita gembira daripada doktor tentang kehamilan, saya terus menanam azam untuk menjaga sendiri Arya.

''Semua keperluan Arya adalah keutamaan saya. Makan, minum, pakaian, kesihatan dan apa sahaja melibatkan anak, saya mahu jaga semua. Sebab itu, saya tiada pembantu rumah kerana saya mahu lihat sendiri Arya membesar di depan mata."

Wanita berusia 34 tahun ini juga mengakui bahawa kerinduan untuk beraksi di pentas masih memuncak walaupun sibuk dengan 'jawatan' barunya itu, suri rumah.

Apatah lagi, selepas menceburi bidang seni sejak 15 tahun lalu. Sedikit sebanyak keinginan untuk aktif itu masih membara. Sambil menghela nafas panjang, Sasha berbicara: ''Dalam fikiran saya ini wujud macam-macam rancangan untuk masa depan. Tapi saya perlu lakukan secara bijak, sedikit demi sedikit.''

''Bukan mudah untuk mengimbangi antara kehendak dan keperluan diri serta keluarga. Lagi pun, saya sudah melalui zaman kegemilangan sekitar tahun 90-an lalu. Biarlah generasi artis baru mengambil tempat di hadapan. Itu lebih baik,'' katanya jujur.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails