Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Erma kesayangan TV3?


MELIHAT kepada kekerapan drama-drama arahannya disiarkan di TV3 membuatkan ramai yang bertanya apakah benar kini Erma Fatima menjadi kesayangan TV3?

Lebih-lebih lagi selepas drama arahannya, Air Mata Nur Salina yang ditayangkan pada musim Aidilfitri lalu telah mencatatkan rating yang cukup membanggakan iaitu hampir mencecah tiga juta orang.

Bertemu dengan pengarah tersohor ini di lokasi penggambaran Karma Salina di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini, Erma hanya mampu tersenyum kecil saat diajukan pertanyaan itu.

Hakikat sebenarnya kata Erma, isu kesayangan mahupun anak emas tidak benar sama sekali.

“Apabila diberi kepercayaan oleh mereka, saya tidak mampu menolaknya dan saya juga menganggap ini semua rezeki buat saya.

“Alhamdulillah, mereka kini mula membuka mata terhadap karya-karya saya biarpun sebelum ini saya pernah berjauh hati dengan mereka,” kata Erma dengan maksud yang tersirat.

Rupa-rupanya di sebalik kecekalan seorang yang bernama Erma Fatima ini, hati wanitanya pernah terusik dengan TV3 gara-gara stesen popular itu menolak karyanya berjudul Tersasar Di Jalanmu.

Sehinggakan dia mengambil keputusan untuk tidak lagi menerbitkan drama untuk TV3 gara-gara mereka memandang sebelah mata dengan karyanya itu.

Namun, selepas drama yang ditayangkan di RTM itu membolot enam anugerah pada Anugerah Skrin 2009 termasuk Drama Terbaik, barulah mereka kembali menaruh kepercayaan terhadapnya.

“Tetapi, apa yang membuka hati saya kembali berkarya untuk TV3 adalah kerana orang kuatnya sendiri iaitu Datuk Seri Farid Ridzuan.

“Saya sendiri tidak menyangka beliau sanggup menghadiri majlis kesyukuran drama tersebut yang saya lakukan di Lorong Haji Taib yang merupakan lokasi drama tersebut

“Apabila melihat keikhlasan dia datang ke lokasi itu, hati saya kembali lembut dan bersedia untuk menghasilkan drama untuk TV3,” kata Erma yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik untuk drama tersebut.

Drama Tersasar Di Jalanmu yang diterbitkan oleh syarikat produksi milik Erma, Rumah Karya Cipta Sdn. Bhd., itu turut memenangi Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad ini benar-benar bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh TV3 dan kini sedang merancang beberapa projek termasuk drama bersiri untuk stesen itu.

Tetapi kata Erma, itu bukan bermakna dia adalah hak milik eksklusif TV3 kerana dia juga aktif menerbitkan drama untuk stesen televisyen lain termasuk TV Al-Hijrah dan TV9.

Bicara pada tengah hari itu diteruskan saat Erma ditanya tentang ideanya menerbitkan Karma Salina yang akan ditayangkan menerusi slot Cerekarama malam esok (20 Disember).

Kata Erma, dia mahu meleraikan kekusutan penonton yang telah menimbulkan pelbagai tanda tanya menerusi drama sekuel ini.

“Setiap apa yang berlaku ada jawapannya dan inilah yang cuba saya kupas dalam drama ini dan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh penonton.

“Bukan itu sahaja, saya memilih judul Karma Salina adalah kerana mahu menjelaskan kepada audiens bahawa setiap apa yang kita lakukan, pasti ada balasannya.

“Mungkin bukan kepada diri kita sendiri tetapi orang-orang terdekat yang berada di sekeliling kita. Cuma, masa sahaja yang menentukan cepat atau lambat ia datang kepada kita,” ujar Erma yang mendapat idea untuk Karma Salina beberapa hari selepas Air Mata Nur Salina ditayangkan tempoh hari.

Karma Salina membariskan pelakon handalan negara seperti Datin Sofia Jane, Sharifah Amani, Ady Putra, Aaron Aziz, Norish Karman serta Datuk Rahim Razali dan Datuk Jalaluddin Hassan sebagai pelakon undangan.

Hanya Umie Aida sahaja pelakon asal Air Mata Nur Salina kembali dalam drama sekuel ini tetapi hanya untuk beberapa babak imbasan sahaja.

Sutradara berusia 42 tahun ini juga melahirkan rasa bangga dan gembiranya apabila buat pertama kali dia berjaya mendapatkan Sharifah Amani untuk berlakon di bawah arahannya.

Jelas Erma, memang sudah lama dia kepingin melihat aktres genit itu berlakon dalam dramanya namun, tidak pernah kesampaian lantaran kesibukan Sharifah Amani.

“Selepas melihat lakonannya dalam drama ini, barulah saya sedar mengapa Allahyarham Yasmin Ahmad begitu sayang kepadanya.

“Tidak pernah saya melihat seorang aktres muda yang jiwa seninya begitu kental dan apa yang ada pada Sharifah Amani, saya akui, tidak ada pada pelakon muda yang lain.

“Semangat dan komitmennya begitu tinggi sehinggakan semua arahan saya dipatuhi dan dia melakukannya seperti mana yang saya mahukan.

“Sedikit pun dia tidak merungut dan saya bertuah kerana dapat bekerja dengannya. Saya memang mahu terus dia berlakon dengan saya selepas ini termasuk ibunya, Fatimah Abu Bakar,” puji Erma terhadap Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 itu lagi.

Ditanya tentang harapannya terhadap Karma Salina dan potensi drama itu mencatatkan rating setinggi Air Mata Nur Salina, Erma mengambil sikap positif dan percaya penonton akan mendapat sesuatu daripadanya.

“Saya sendiri tidak mengimpikan Air Mata Nur Salina untuk mencatatkan rating hampir 3 juta tetapi saya berharap untuk drama itu mencetus fenomena baru dalam pembikinan drama tempatan.

“Drama itu bukan sebuah drama tipikal kerana pendekatan dan sentuhannya saya lakukan seperti mana mengarahkan sebuah filem. Malah, ia juga diterbitkan dalam definisi tinggi (HD).

“Penonton pun memang sukakan drama berunsur berat seperti ini dan Alhamdulillah, saya bersyukur dengan respons positif yang diberikan.

“Apa yang saya harapkan impak besar itu juga akan terhasil menerusi Karma Salina,” katanya yang membintangi drama Aku Bukan Andalusia yang ditayangkan di slot Cerekarama baru-baru ini.

Karma Salina telah menjalani penggambaran selama 14 hari bermula dari 20 Oktober yang lalu. Pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton drama hebat ini di TV3 malam esok pukul 10 malam.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails