Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya belum bagus - Syafie


PANJANG celoteh si Mohd. Syafie Naswip ini. Walhal pada mulanya, dia kelihatan begitu segan orangnya. Anak muda ini lebih selesa mendiamkan diri dan sesekali tersengih menampakkan dua batang gigi kapaknya yang jarang.

Bila ditanya satu soalan, dijawabnya satu kembali. Tetapi semakin lama, karakter ramahnya mula terserlah. Syafie pula yang rancak bersembang sampai saya leka mendengarnya.

Semuanya dia jujur bercerita. Bermula dengan perasaannya yang tidak pernah malu apabila bapanya masih menjadi buruh kasar.

Beralih pula cerita tentang dirinya yang dihantar ke sekolah setiap pagi oleh bapa tersayang menaiki motosikal walaupun dia sudah berusia 18 tahun dan bergelar pelajar tingkatan enam bawah.

Dia juga penuh semangat memberitahu memiliki impian untuk membeli sebuah kereta namun belum berkemampuan. Katanya, hanya motosikal jenis Honda 5x5 yang mampu dibeli dan ia digunakan oleh bapanya.

Malah tanpa segan silu, dia mengaku tidak lulus ujian bertulis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), baru-baru ini.

"Lagi satu jawapan betul nak lulus. Kenalah ambil lagi sekali," katanya.

Ketika bercerita pasal rumah, raut wajahnya cukup ceria kerana telah berpindah ke rumah baru dua tingkat walaupun hanya menyewa di tingkat bawah manakala tingkat atas disewa oleh keluarga lain.

Mendengar Syafie yang mesra disapa Pie jujur bercerita, saya bertanya sama ada dia merokok atau tidak.

"Saya tidak merokok," cepat jawabnya penuh selamba. Dan kerana jujur pada kerjayanya, pelakon kurus keding itu bermati-matian enggan memberitahu nama dua filem terbarunya.

Satu filem baru tamat penggambaran dan satu lagi filem baru memulakan sesi penggambaran.

"Memang tak boleh beritahu. Kena tunggu sidang akhbar oleh penerbit. Dalam kontrak tulis macam tu," terangnya berkali-kali sambil memohon maaf.

Namun apa yang mengejutkan, Syafie buat pengakuan terbuka apabila dia terlalu taksub mempercayai petua-petua tradisional untuk penjagaan diri.

"Saya sanggup tumbuk bedak sejuk dan lepas tu campur dengan perahan limau nipis setiap malam untuk elak jerawat tumbuh di muka.

"Kalau nak hilang kedut, saya sagat lobak merah campur telur kuning dan tepung jagung serta letak di muka. Lagi satu kalau nak bagi muka tegang, saya pakai putih telur selama setengah jam dan lepas itu bilas dengan air biasa," ceritanya bersungguh-sungguh sambil tersenyum.

Begitulah gelagat hero filem Mukhsin ini. Penuh jujur apabila bercerita. Lantas, tidak mustahil apabila setiap watak dalam lakonannya nampak semulajadi dan tidak kaku.

Cari watak berbeza

Baru empat tahun dalam industri, kehebatan luar biasa Syafie cukup terserlah. Segalanya bermula dengan anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM-20) menerusi filem 'berhantunya', Mukhsin.

Seterusnya, dia dijulang sebagai Aktor Drama Terbaik di Anugerah Skrin Ke-9 menerusi Ilham Suci sebelum bergelar Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM22 pada tahun lalu menerusi Talentime.

Apa yang membanggakan, kejayaan Syafie cukup bermakna apabila dia menewaskan nama-nama besar seperti Rosyam Noor dan Rusdi Ramli.

Dan paling penting kemenangannya tidak menimbulkan kontroversi untuk mana-mana pihak dan ia bagai mendapat restu oleh anak seni lain.

Diminta mencerita rahsia kehebatannya menampilkan lakonan semula jadi di layar perak dan layar kaca, dia yang turut dimesra dipanggil Mukhsin itu tetap merendah diri.

Katanya malu-malu, dirinya tetap seorang yang kepala angin, masih gabra sebelum memulakan sesi penggambaran dan merasakan penghayatan dalam setiap lakonan tidak pernah sampai.

"Saya masih belum bagus lagi dan semua anugerah yang saya perolehi memang di luar jangkaan. Saya anggap diri ini masih kosong dengan ilmu dan ingin menerokai banyak benda lagi dari segi lakonan.

"Saya memang tidak ada jawapan kalau orang tanya macam mana lakonan boleh nampak semula jadi. Cuma, saya sering berlatih depan cermin dan menonton banyak filem tempatan dan antarabangsa sebagai rujukan," katanya berterus-terang.

Namun Syafie mengakui dia membaca skrip secara keseluruhan sehingga faham sebelum membuat kajian dengan mengolah wataknya mengikut kesesuaian tempat dan waktu dalam sesuatu skrip itu.

Malah jelasnya, sudah menjadi perkara biasa apabila dia terbawa watak-watak lakonannya sebagai mainan dalam tidur.

Ditanya watak idamannya supaya tidak stereotype seperti anak keluarga malang, anak tunggal kepada pasangan Naswip Abu Nawas, 47, dan Noorsiah Ahmad, 44, mengimpikan watak yang bermain dengan psikologi.

"Saya nak watak psiko tetapi penonton tidak tahu. Contohnya watak lelaki baik tetapi sebenarnya jahat atau pun nampak muda tetapi karakter tua.

"Selain itu, kalau boleh saya hendak berlakon bersama pelakon-pelakon hebat tanah air seperti abang Rosyam, Saheizy Sam, Umie Aida dan Liyana Jasmay," katanya gembira kerana pernah bergandingan aktor dan aktres hebat, Eman Manan dan Vanida Imran.

Sambung Tingkatan Enam

Kata Syafie, dia tidak percaya pada tanggapan kononnya tingkatan enam sebagai pilihan terakhir selepas gagal memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Menurut pelakon drama Jidin di TV3 itu, tawaran menyambung pelajaran di IPT terutama kolej universiti banyak diterima tetapi terpaksa menolaknya.

Bagaimanapun, jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia itu, pada mulanya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menjadi pilihan utamanya untuk mempelajari bidang seni lakonan lebih mendalam.

"Namun selepas mendapat pendapat beberapa pelakon senior dan penggiat teater, mereka menyaran saya menyambung pelajaran dalam bidang yang bukan berkaitan dengan seni lakonan.

"Mereka menggalakkan saya menumpukan kepada bidang akademi kerana saya sudah memiliki bakat lakonan dan ASWARA mungkin sesuai untuk anak muda baru yang ingin menceburi bidang lakonan.

"Saya memang hendak masuk universiti satu hari nanti dan berminat mengambil jurusan di belakang tadbir walaupun saya berminat melukis dan mengambil gambar," katanya yang memilih aliran Sastera bagi menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun depan.

Dalam lama duduk berbual dengan Syafie ini, tiba-tiba raut wajah terus berubah apabila ditanya tentang pengarah tersohor Allahyarham Yasmin Ahmad yang kembali ke Rahmatullah pada 25 Julai tahun lalu.

Dia sempat berkongsi pengalaman dirinya yang pernah berhasrat untuk bersara daripada berlakon sebaik pemergian Allahyarham.

"Mula-mula memang saya nekad nak bersara sebab pencetus inspirasi saya sudah hilang tetapi ramai yang bagi sokongan terutama krew produksi dari filem Mukhsin dan Talentime.

"Dua minggu saya berkurung dalam bilik selepas Cik Min (panggilan untuk Yasmin) meninggal dunia. Pergi sekolah pun saya tidur dalam kelas. Semangat saya baru pulih bulan Februari lalu," katanya yang begitu merindui pengarah prolifik itu.

Ujarnya sebelum mengakhiri perbualan, mana mungkin dia boleh melupakan gurau senda Yasmin yang gemar membuat 'lawak bodoh' dan gaya pengarahan di set penggambaran yang mementingkan nilai-nilai kekeluargaan yang kuat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails