Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hati masih luka


Tekad harung cabaran: Dua perkahwinan yang gagal membuatkan Natasya Liana Hudson begitu berhati-hati memilih calon suami

BIBIR yang awal tadi petah meluncurkan bicara bagaikan terhenti seketika tatkala perbualan cuba menjurus kepada sudut peribadi hidupnya. Seperti mencari titik permulaan sebelum membenarkan orang luar menyelami dasar hatinya yang terkunci kemas, Natasha Liana Hudson, 28, cuma menghadiahkan senyuman hambar.

“Tiada yang menarik untuk dikongsi. Hidup saya hanya untuk anak dan keluarga selebihnya karier yang saya cintai,” tutur Natasha ringkas, bagaikan memberi isyarat supaya bicara mengenai topik itu tidak lagi dilanjutkan.

Belum mahu mengalah, Natasha terus dipancing dengan beberapa soalan lain. Perlahan-lahan, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan, Nessa Helena membuka sedikit lapisan peribadinya untuk diintai khalayak. “Tidak salah jika saya berkawan tetapi cuma setakat itu. Belum lagi hingga membawa kepada sebuah perhubungan yang stabil.

“Tipu jika saya tidak berasa sepi tetapi saya tidak mahu terburu-buru,” kata Natasha tulus, tanpa sesekali menyalahkan takdir yang tertulis untuknya.
Akuinya, dua perkahwinan yang diakhiri dengan perpisahan membuatkan dia semakin berhati-hati sebelum menyerahkan kembali jiwa dan raga kepada insan bernama lelaki.

Bukan serik namun luka perpisahan dengan Datuk Shahrin Zahari setahun lalu masih bersisa membuatkan Natasha enggan segera memikirkan soal mencari pengganti.
Kekecewaan yang dilalui kata Natasha, mematangkan dirinya menjadikan dia semakin berani untuk membuat keputusan dan menyatakan pendirian.

“Jika ada yang datang tetapi saya kurang berkenan, saya tidak teragak-agak untuk melangkah pergi. Saya seorang yang berterus terang.

“Bukan enggan memberi peluang atau terlalu memilih, cuma saya lebih berhati-hati. Jika lelaki itu serius mahu mendekati, dia perlu berani untuk membuka satu demi satu lapisan hati saya.

“Andai dia bersabar melalui ujian itu, saya tidak akan menolak jodoh yang tertulis. Siapa saya untuk menilai peribadi orang lain tetapi saya tidak hidup sendirian.

“Saya mempunyai seorang anak yang memerlukan perhatian, justeru saya mendoakan jodoh terbaik untuk membimbing saya dan anak nanti,” katanya.

Mengimbas dua perkahwinan yang gagal dipertahankan, Natasha berkata, dia menerima ketentuan Tuhan tanpa kesal.

Alur hidup baginya, adalah misteri Ilahi kerana cuma Dia yang menyimpan jawapan kepada setiap apa yang dilalui hamba-Nya.

“Jika Tuhan membentangkan laluan hidup yang mudah, barangkali saya tidak akan menghargai segala apa yang dikurniakan.

“Setiap kesulitan mendidik saya menjadi matang, bahkan memimpin saya mengendali emosi dengan rasional tanpa perlu pantas melatah apabila dicabar ujian.
“Jadi saya terima ujian itu sebagai satu proses pembelajaran. Berat atau tidak, saya tekadkan diri untuk mengharunginya kerana percaya akan ada kemanisan yang menanti di depan,” katanya.

Impian bergelar penyanyi

WANITA kacukan Melayu-Australia ini dilahirkan dengan jiwa kental dan tahan diuji. Buktinya, biar bertubi diasak dugaan, Natasha tegar melaluinya tanpa sesekali menoleh kembali laluan perit yang pernah dijalaninya.

Bagi Natasha, khalayak bebas berkata apa saja namun segala cemuhan tidak akan sesekali membuatkan jiwanya lemah dan tunduk mengalah.

Dia berdiri gagah bagaikan srikandi yang akan terus berjuang untuk membebaskan minda dan pegangannya daripada ditakluk kerana prinsipnya, hidup adalah satu perjuangan.

Atas alasan itu, Natasha yang terlebih dulu mengukir nama sebagai model dan pelakon masih meneruskan impiannya yang pernah tertunda.

Bergelar penyanyi adalah cita-cita yang masih ingin direalisasikan Natasha saat ini selepas percubaan pertama hampir meranapkan maruah dan reputasinya.

Kata Natasha, tiga lagu sudah dirakamkan dan satu daripadanya memuatkan lirik ilhamnya sendiri. Untuk permulaan, kolaborasi bersama kumpulan hip-hop, Phlowtron menjadi taruhan.

Merealisasikan impian sebagai penyanyi katanya, bukan untuk bermegah sebaliknya usaha itu didorong gejolak minat yang bagaikan tidak mampu dikekang.

“Saya bukan seorang yang pantas mengalah. Apa juga berlaku adalah dugaan. Perit bagaimanapun, saya harus berjuang untuk kembali bangkit dan meneruskan perjalanan.

“Selagi terdaya saya tidak akan mengalah. Tiada siapa mampu menghalang saya daripada meneruskan hasrat ini,” katanya.

Mengambil iktibar daripada pertikaian lalu, Natasha melihat semua itu sebagai satu proses pembelajaran untuk dia mengenali warna sebenar industri muzik.
Katanya, dugaan yang bertalu datang memberikan kekuatan supaya dia berani mempertahankan diri atas tiket kebenaran.

Untuk apa berasa takut jika tidak bersalah dan ujar Natasha, dia tidak akan sesekali membiarkan maruah dirinya dipijak hanya kerana terlalu gusar memikirkan penerimaan khalayak.

“Semua itu bergantung kepada individu. Mungkin kerana saya sudah terbiasa berdikari membuatkan saya tidak takut untuk bersuara. Tetapi saya tidak melakukannya melulu.

“Setiap apa juga tindakan datang bersama fikiran yang rasional. Saya bukan seorang yang pantas melatah. Saya bersuara untuk merungkai segala keraguan tetapi tidak hingga sampai bertelagah.

“Masyarakat perlu memberi peluang. Saya alaskan ketidakpuasan hati saya dengan alasan logik. Apakah perbuatan saya itu salah?” soal Natasha.
Katanya sebelum berlalu untuk meneruskan penggambaran, biarpun nanti percubaan itu tidak membawanya ke puncak populariti dia tidak akan sesekali kesal.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails