
PENONTON filem seram tempatan hari ini semakin ke depan apabila sering terdedah dengan banyak filem-filem genre seram dari luar. Secara tidak langsung, mereka akan mula bijak membandingkan filem tempatan yang menampilkan elemen filem seram luar yang pernah mereka tonton sebelum ini.
Ini kerana sebuah filem seram acap kali bersandarkan kepada penciptaan visual dan kesan bunyi yang mampu mengesankan penonton untuk menimbulkan kesan seram.
Justeru, apabila Syamsul Yusof pertama kali mengarah filem seram, cabaran besar menanti Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) itu untuk menghasilkan filem seram yang ada kelainan.
Filem arahan terbarunya berjudul Khurafat - Perjanjian Syaitan masih lagi tidak dapat lari dibangunkan dengan unsur-unsur aksi mencemaskan, seram dan penuh suspens.
Khurafat boleh dianggap percubaan berani Syamsul menerusi filem genre seram pertamanya dan merupakan karya seni yang boleh dibanggakan dari segi kualiti produk dan imej.
Kesan visual yang dihasilkan cukup berkesan selain filem itu dikuatkan dengan kesan bunyi yang baik untuk membentuk mood keseluruhan filem.
Filem keempat Syamsul itu mengisahkan mengisahkan perjanjian terlarang, iaitu persekongkolan antara manusia dan syaitan yang akhirnya membawa kepada bahana besar.
Khurafat bermula dengan kisah Johan lakonan Syamsul sendiri yang bekerja sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital kerajaan.
Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri, Aisyah yang pada awalnya hidup aman dan bahagia.
Namun tanpa disangka ujian datang melanda mereka di pertengahan jalan cerita apabila pasangan itu sering menerima gangguan misteri yang berterusan.
Namun kematian bekas teman wanita Johan, Anna yang cintanya ditolak berkali-kali berjaya membongkar misteri yang berlaku di dalam Khurafat. Khurafat dimulakan dengan adegan-adegan awal yang menarik, plotnya terkawal dan bergerak secara suspen.
Namun momentum Khurafat mula timbul apabila memasuki pertengahan jalan cerita dengan kemunculan misteri seorang perempuan tua yang tidak Johan kenali namun sering menyapa dan cuba mendekati Johan sewaktu di tempat kerja.
Kematian Anna dengan cara membunuh diri dan babak van jenazah jatuh ke dalam gaung serta usaha Johan menyelamatkan di dalam hutan pada waktu malam pula membawa kepada penamat Khurafat yang tidak disangka.
Adegan penamatnya yang membawa pada kematian dramatik jelas membuatkan adegan itu cukup penting sebagai kesimpulan pada keseluruhan filem ini.
Penonton akhirnya mendapat jawapan kenapa Johan mengiringi seorang jenazah bersama orang kampung ke tanah perkuburan sambil menitiskan air mata pada permulaan filem itu.
Siapakah jenazah yang diiringi itu dan apakah ia cuba memberikan isyarat tertentu antara hubungan dengan Johan? Semuanya bakal terjawab apabila Khurafat akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula Khamis ini.
Khurafat yang menelan kos termasuk promosi berjumlah RM1.7 juta itu turut dibintangi Liyana Jasmay yang melakonkan watak Aishah, Sabrina Ali (Anna), Fauziah Nawi (ibu Johan), Mariani (nenek) dan Latif Borgiba (bomoh).