Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Belum masanya - Yusof Haslam


PENCAPAIAN Syamsul Yusof dalam bidang seni boleh dianggap cukup cemerlang kerana pada usia muda dia sudah menerima banyak pengiktirafan termasuklah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), tahun lalu.

Filem arahannya juga mencatatkan kejayaan besar. Filem arahannya seperti KL Drift 2 mencatatkan kutipan kasar RM6 juta, manakala Khurafat pula menghasilkan RM8.2 juta. Sememangnya melihat kepada pengiktirafan dan pencapaian ini, dia lebih jauh mengatasi bapanya yang juga seorang pelakon, pengarah dan produser selain pengasas syarikat penerbitan Skop Productions (Skop), Datuk Yusof Haslam. Malahan sebagai bapa dan juga untuk memberi semangat dan galakan, Yusof sanggup mengorbankan jutaan ringgit demi memenuhi impian anaknya untuk menghasilkan filem mengikut cita rasa yang dikehendaki.

Bagaimanapun, ia setakat itu sahaja. Deretan pencapaian yang diraih oleh Syamsul masih belum lagi cukup meyakinkan bapanya untuk menerajui Skop.
“Kreativiti Syamsul lebih diperlukan untuk bidang pengarahan dan penerbitan, bukan untuk pengurusan syarikat. Memang saya belum bersedia untuk memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Syamsul untuk mengurus dan mentadbir Skop,” tegas Yusof.

Menurutnya, ketika usia masih muda, biarlah Syamsul memberi tumpuan kepada bidang pengarahan terlebih dahulu kerana apabila tiba masa yang sesuai beliau tidak teragak-agak untuk menyerahkan Skop Production kepada anaknya itu.

“Walaupun Syamsul sudah membuktikan filem seram pertamanya mampu mengutip kutipan sebanyak RM8.2 juta dalam masa enam minggu tayangan, namun masih banyak lagi yang perlu dia pelajari untuk mentadbir sesebuah syarikat.
“Dia masih muda dan kreativitinya di dalam pengarahan masih diperlukan oleh syarikat. Dia sebagai pengarah harus dibimbing lagi untuk mengetahui selok-belok menguruskan produksi, lagipun saya masih ada tenaga kerja yang profesional di belakang membantu saya.

“Dalam usia 56 tahun ini saya rasa saya masih kuat untuk bekerja dan sebaik dia mencecah usia 30 tahun ke atas dan dilihat semakin matang barulah saya berani untuk mendedahkan dia sikit demi sedikit selok-belok produksi filem,” katanya yang yakin dengan bakat dan kemampuan yang dimiliki anaknya mampu menaikkan imej Skop Production.

Sepanjang 27 tahun Skop ditubuhkan iaitu pada 1984, Yusof gigih menaikkan nama syarikat bermula dari bawah dan pengalaman itu tidak sama sekali dapat dirasai anaknya.

“Saya sudah merasai susah payah untuk membangunkan Skop Production. Untuk mentadbir sebuah syarikat, kita harus ada bajet, pandai mengawal kos. Nak berkarya tidak boleh mengikut nafsu. Jika di awal pengarahan pertama dulu, saya sering bergaduh terutama membabitkan kos penerbitan, namun sejak akhir-akhir ini saya lihat dia semakin faham dan lebih menghargai apa yang dia buat,” katanya.

Yusof turut memberikan contoh filem KL Drift 2 (2010) yang membelanjakan RM2.7 juta berjaya meraih RM6 juta berbanding filem Khurafat yang memperuntukkan RM1.8 juta tetapi berjaya meraih RM8.2 juta dalam masa enam minggu ditayangkan.

“Dari situ secara tidak langsung ia sudah menyedarkan Syamsul bahawa kos penerbitan bukan ukuran menjadikan filem itu disukai ramai. Dia pun tidak menyangka dengan bajet yang rendah mampu meraih pulangan tinggi sekiranya kerja produksi itu dikawal secara profesional,” katanya yang mengakui kutipan kasar filem Khurafat memecah rekod filem Sembilu 2 yang pernah dipegang 16 tahun lalu.

Tetap ada kebimbangan

DI SEBALIK pelbagai kejayaan yang diraih oleh Syamsul, sebagai bapa ternyata, Yusof tetap menyimpan kebimbangan terhadap anaknya yang harus melalui jauh lagi perjalanan dalam industri seni ini.

“Saya tetap menyimpan rasa kebimbangan terhadap Syamsul selepas dia berjaya meraih pelbagai kemenangan dan pengiktirafan sejak akhir ini. Saya tahu masyarakat sudah tentu mengharapkan sesuatu yang lebih tinggi daripada Syamsul. Ia tentu memberikan tekanan kepadanya.

“Saya berharap dia mampu bekerja di dalam keadaan yang tertekan, menjaga kesihatan serta mental dan fizikal selepas ini,” katanya yang turut menantikan dua filem lagi yang bakal ditayangkan tidak lama lagi iaitu KL Gangster dan Aku Bukan Tomboy.

Yusof juga akan memberikan sokongan kepada Syamsul untuk mengarahkan filem Bukit Kepong yang diimpikan sebelum ini.

“Saya tetap menyokong jika niatnya itu betul, dan sedar filem seperti Bukit Kepong itu bukan filem komersial yang mampu meraih keuntungan besar. Namun saya seharusnya bertanggungjawab kepada industri untuk menyumbang sesuatu dengan menerbitkan seperti filem Bukit Kepong.

“Kita juga akan berbincang dengan kerajaan dan memohon dana sebagai bantuan untuk menerbitkan filem Bukit Kepong dalam jangka masa yang belum ditentukan lagi,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails