Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tertarik wajah Melayu Ummi - Yusry


Yusry anggap kemesraan bukan bermakna pasangan kekasih

KEMESRAAN mereka begitu terserlah ketika digandingkan dalam sesi fotografi. Pelakon, penyanyi dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim, 38, dan Ummi Nazeera, 21, tidak kekok memberikan pose istimewa buat tatapan peminat. Pasti terdetik di dalam hati, adakah mereka dilamun cinta? Dari gaya, pertuturan dan lirikan mata, malah kemesraan yang ditunjukkan, Yusry dan Ummi nyata sememangnya rapat. Bagaikan punya `chemistry', mereka tidak menolak permintaan berposing manja bagaikan pasangan kekasih.

Bagaimanapun, pengarah filem epik yang bakal mencatat sejarah baru dalam industri perfileman Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa itu menafikan punya hubungan istimewa dengan Ummi, malah keakraban mereka tidak lebih daripada seorang teman.

Ummi turut dipilih sebagai watak penting sebagai Embok, isteri kepada Merong Mahawangsa lakonan Stephen Rahman Hughes dalam filem yang bakal menembusi pasaran 72 negara di seluruh dunia. Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios yang menjadi filem termahal di Malaysia dengan kosnya membabitkan RM8 juta akan menemui peminat di pawagam pada 10 Mac ini.

Yusry berkata, dia tertarik dengan raut wajah Melayu asli yang dimiliki Ummi. Baginya, sukar mencari gadis yang memiliki wajah Melayu asli, bagaimanapun Ummi hadir pada masa yang tepat.

"Seperti pelakon lain, Ummi melalui tiga uji bakat sebelum diterima menjayakan filem ini. Tiada apa yang istimewa, bagaimanapun kami mungkin mudah serasi dan selesa ketika bersama. Saya pula terpaksa turun padang melakukan promosi kerana watak utama filem ini, Stephen Rahman Hughes tiada di Malaysia.
"Sebelum ini, heboh mengatakan saya dan Maya Karin bercinta gara-gara kami menonton wayang bersama. Kini, timbul pula cerita dengan Ummi. Jujurnya, saya tiada apa-apa hubungan istimewa, baik dengan Maya mahupun Ummi. Saya sebenarnya tidak terfikir orang akan bercakap mengenainya.

"Saya kenal Maya dah lama, kami memang berkawan baik sejak dulu. Antara kami memang akan jadi kawan baik sampai bila-bila kerana saya meletakkan Maya sebagai teman baik, bukan kekasih. Dengan Ummi pula, saya pernah keluar melepak dengannya, tetapi tidak semestinya kami keluar bermakna kami ada hubungan istimewa. Ummi terlalu muda buat saya.

"Diakui, sebelum ini, saya mempunyai teman wanita selepas bercerai, tetapi bukanlah di kalangan selebriti, tetapi hubungan tidak berpanjangan. Saya tidak pasti, mungkin saya terlalu sibuk dan kebanyakan gadis yang ditemui tidak serasi dengan saya. Dan prinsip saya, selagi saya tidak membawa gadis pilihan bertemu keluarga bermakna itu bukanlah teman istimewa saya.

"Saya tidak meletakkan gadis pilihan perlu seorang yang popular, saya tidak kisah. Walaupun `janda' sekali pun, jika sesuai, saya tidak menolak. Saya tidak menafikan dalam usia mencecah 38 tahun, saya perlukan seorang isteri. Saya sudah bersedia, cuma tidak bertemu lagi dengan pilihan hati. Saya sebenarnya seorang yang simple, suka duduk di rumah sejak dulu lagi. Jadi, tentulah saya mahukan seorang gadis yang boleh menerima saya seadanya," katanya.

Hampir putus asa siapkan Merong

Bercerita mengenai filem epik pertama arahannya, Yusry berkata, banyak cabaran yang dilalui ketika penggambaran dijalankan selama hampir dua bulan. Malah, ada ketika dirinya hampir berputus asa untuk meneruskannya.

"Terlalu banyak cabaran dilalui. Bayangkan skrip pun sebanyak 16 kali dirombak. Saya tidak menafikan, filem epik dan lagenda sudah lama tidak dibuat, jadi kebanyakan kru tidak berpengalaman. Selain itu, saya berdepan pula beratus-ratus pelakon tambahan dan dalam babak perang, ia membabitkan 400 pelakon. Situasinya cukup memberi tekanan.

"Apabila bekerja pula dengan pelakon luar, mereka tidak biasa dengan cuaca di sini. Ada yang minta caravan, tetapi kami menyediakan bilik berhawa dingin buat mereka di setiap lokasi. Makanan mereka pula berbeza, mereka tidak makan nasi, ada yang minta pisang, salad dan macam-macam.

"Bagaimanapun, cabaran yang lebih besar apabila skrip perlu dirombak untuk menjaga sensitiviti masyarakat. Kalau ikutkan cerita sebenar yang dikaji daripada bahan bacaan dan internet, banyak cerita mitos yang tidak logik seperti puak lanun dari Geruda tidak puas hati dan bercakap dengan Nabi Sulaiman, Sheikh Abdullah datang dengan iblis dan banyak lagi, tetapi saya tidak mahu mencetuskan kontroversi, babak-babak itu tidak diwujudkan dalam filem ini," katanya.

Selain Stephen dan Ummi, filem Hikayat Merong Mahawangsa yang mempunyai dwi bahasa itu turut menampilkan Jing Lu, Gavin Rees StenHouse, Craig Robert Fong, Eric Karl Hendrik Norman, Keith Chong, Datuk Rahim Razali, Deborah Henry, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Vanidah Imran, Nell Ng, Kuswadinata, Mano Maniam, Ravi Sunderlingam, Jehan Miskin dan Maya Karin.



Berhenti berlakon habiskan pengajian

BAGI Ummi Nazeera, azamnya untuk mahu terbabit dalam filem epik dan disebabkan itu, dia tidak kisah melalui tiga ujian sebelum ditawarkan watak Embok. Bukan sesuatu yang mudah kerana Embok, luarannya nampak lembut tetapi mempunyai hati yang keras. Dialah wanita yang membuka mata hati Merong Mahawangsa untuk memahami erti kehidupan dan menjadi kekuatan pahlawan ulung itu.

"Saya seronok apabila dapat berlakon dalam karya epik ini. Selain bertukar pandangan dan pengalaman dengan kebanyakan pelakon termasuk dari luar negara, saya teruja dapat bekerja di bawah arahan Yusry. Tidak dinafikan, Yusry serius ketika bekerja, tetapi dia sebenarnya seorang teman yang baik dan mudah didekati.

"Bagaimanapun, saya tidak ada banyak masa di lokasi penggambaran kerana berulang-alik ke Kuala Lumpur. Ketika itu, saya terbabit dengan penggambaran filem Nur Kasih. Sehinggakan ada yang menegur saya. Bukan sombong dan tidak mahu bergaul, tetapi saya kesuntukan masa. Habis saja penggambaran, saya berkejar pulang ke Kuala Lumpur.

"Saya akui sesetengah babak memang sukar terutama ketika babak Merong mahu meninggalkan Embok dan babak pergaduhan sehingga saya terjatuh. Embok adalah seorang anak yatim piatu dan punya pengalaman silam yang menyedihkan. Embok benci pada lelaki, tetapi Merong berjaya membuka pintu hatinya," kata graduan bidang Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran di Royal Melbourne Institute of Technology di Australia itu.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia terpaksa melupakan bidang lakonan seketika apabila mahu memberi tumpuan pada pelajarannya yang masih berbaki selama tiga tahun.

"Lakonan bukan keutamaan saya lagi kerana saya mahu menumpukan perhatian pada pelajaran. Saya tahu kelemahan saya, jika saya terus berlakon, pelajaran saya pasti terbengkalai. Buat sementara, saya berehat seketika. Kalau ikutkan dulu, selepas menduduki peperiksaan di sekolah, saya sambung pengajian di Kolej Taylor tetapi fokus saya beralih arah apabila menerima tawaran Hans Isaac. Dua tahun saya sibuk dengan penggambaran, tetapi hari ini, saya tekad mahu menghabiskan pelajaran. Saya mahu membantu ibu menguruskan perniagaan. Kini pun, saya sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan apabila cuti selama tiga bulan dihabiskan membantu perniagaan keluarga," katanya yang masih solo selepas putus cinta dengan pelakon, Remy Ishak.


Info Yusry

NAMA: Yusry Abdul Halim
UMUR: 38 tahun
TARIKH LAHIR: 15 Jun 1973
ASAL: Kuala Lumpur
FILEM (LAKONAN): Cintaku Forever, Awas, Cinta Metropolitan, Kuliah Cinta, Lady Boss, Mr Cinderella 1 & 2, Hingga Hujung Nyawa, Cinta Kolesterol, Cicakman 1 & 2, Merong Mahawangsa & Karak
FILEM (ARAHAN): Cicakman, Cicakman 2: Planet Hitam, Merong Mahawangsa & Karak

Info Ummi

NAMA: Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin
UMUR: 21 tahun
TARIKH LAHIR: 20 Ogos 1990
ASAL: Kuala Lumpur
FILEM: Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Merong Mahawangsa
ANTARA DRAMA: Pesona Bintang, Takdir Yang Terindah, Dinasti Bilut, Ali Din, Awan Dania, Klon Teja dan Kejar

LOKASI: Hotel Marriot Putrajaya
BUSANA UMMI: Musa Cafe & Butique
BUSANA YUSRY: YandM Collection
SOLEKAN & DANDANAN: Khir Khalid & Izzat Artistic Team
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails