Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mahu kerja dengan pengarah hebat - Diana Danielle


USAH ditanya lagi kisah cintanya dengan pelakon dan pengarah Farid Kamil yang sering mendapat perhatian akhir-akhir ini. Semua itu tinggal kenangan kerana hubungan mereka sudah putus di tengah jalan.

Bagi pelakon jelita, Diana Danielle Danny Beeson, 20, tidak perlu mencanang kisah cintanya yang tidak kesampaian itu kerana apa yang berlaku itu sudah ketentuan Tuhan. Malah ketika bercinta dulu pun Diana tidak suka bercerita mengenai hubungan mereka.


Kata Diana, fokusnya kini adalah pada pelajaran dan karier seni yang diceburinya, sejak enam tahun lalu. Dia mahu bekerja lebih keras lagi tahun ini kerana aktiviti seninya perlahan tahun lalu kerana tumpuan pada pelajaran.

"Saya bersyukur kerana rezeki murah dalam bidang seni tahun ini. Saya juga akan terus berlakon kerana masih banyak impian yang belum tercapai dalam karier seni. Antara impian saya ialah untuk bekerja dengan ramai lagi pengarah filem hebat seperti Kabir Bhatia, Osman Ali, Mamat Khalid, Shuhami Baba sekali gus memantapkan lagi prestasi lakonan sedia ada," katanya.

Sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang seni, Diana akui, namanya sering dilanda gosip dan kontroversi. Lepas satu, satu lagi gosip yang datang menguji ketabahannya sebagai anak seni.


Namun, anak kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat ini tabah berdepan dengan semua itu. Malah, pada usia muda, Diana tetap matang berdepan segala kontroversi yang datang dalam hidupnya.


"Saya sudah lali dengan semua gosip dan kontroversi itu. Kontroversi yang melanda sekarang tidak seteruk pada awal pembabitan saya dulu. Saya akui sedih dan kecewa kerana sering menjadi sasaran kontroversi yang sedikit sebanyak mencalar nama baik saya dan keluarga.

"Mamalah yang memberi kekuatan dalam hidup saya untuk berdepan dengan semua ujian itu. Selain itu, peminat dan rakan media sendiri banyak memberi sokongan pada saya selama ini," katanya.

Berkongsi lanjut perkembangan karier seni, kata Diana yang juga duta salun dandanan dan penjagaan rambut Snips, dia baru selesai penggambaran filem Barajiwa arahan Osman Ali.

"Saya terima tawaran buat filem aksi, Barajiwa kerana ingin bekerja dengan pengarahnya Osman Ali. Saya bawa watak utama, Trisya yang berasal dari keluarga berada bergandingan dengan pelakon Remy Ishak. Ini cerita mengenai ilmu persilatan dan cerita golongan muda.

"Bila generasi muda menonton filem ini mereka akan mengetahui seni silat yang juga budaya Melayu dengan lebih mendalam. Filem ini dijangka menjengah pawagam pada tahun depan," katanya.

Terbaru, Diana akan berlepas ke Yellow Mountain, China selama tiga minggu untuk menjayakan dokumentari arahan U-Wei Saari pada minggu depan.


"Saya akan berlakon dalam dokumentari perubatan tradisi Cina 'Chi' di sana. Saya memang minat dengan perubatan Cina yang tidak memerlukan pembedahan, sejak dulu lagi. Saya akan ke China bulan ini dan Mac nanti," katanya.

Filem lakonannya, Hanyut arahan U-wei Shaari pula sudah dalam pos produksi dan dijangka menjengah pawagam tempatan tahun ini.

"Saya juga ada menerima beberapa tawaran berlakon dan masih belum diputuskan lagi. Antaranya, dia akan berlakon dalam telefilem untuk raya arahan Khabir Batia," katanya yang turut dicalonkan dalam Top 5 kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bersaing dengan Lisa Surihani, Liyana Jasmay, Maya Karin serta Scha Alyahya.



Menyentuh pelajarannya pula, Diana yang juga pemegang diploma jurusan biosains, Universiti Nottingham, cawangan Semenyih ini bakal melanjutkan pengajiannya dalam jurusan ijazah psikologi di Kolej Universiti Sunway selama empat tahun secara sepenuh masa.

"Saya pilih untuk belajar di Kolej Universiti Sunway selepas meminta pandangan rakan seperjuangan, Juliana Evans yang menuntut di sana. Menurut Juliana, jurusan yang ditawarkan pada pelajar di sana juga bagus. Saya pilih jurusan psikologi kerana memang meminatinya, sejak dulu.


"Rumah saya juga dekat iaitu hanya setengah jam saja dari Sunway ke Ampang. Maklumlah, selain ke kolej, saya juga terpaksa berulang-alik dari rumah ke lokasi penggambaran juga setiap hari," katanya.


Apapun kata Diana, dia belum fikir jauh mengenai masa depannya selepas tamat pengajian. Apa yang pasti, seperti orang lain juga, Diana mahu hidup lebih stabil dan normal.

Diana belum terfikir cari pengganti
INI kali kedua Diana putus cinta selepas berpisah dengan pelakon dan juga pengarah Syamsul Yusof. Apapun kata Diana, sekalipun sudah putus, dia dan Farid Kamil masih berkawan baik sampai sekarang. Pada masa sama, mereka juga menyokong karier seni masing-masing.


Walaupun tidak mahu bercerita banyak mengenai perpisahan mereka, Diana mengakui putus dengan Farid kerana bintang Lagenda Budak Setan itu terlalu 'gilakan' kudanya.

"Saya pun minat kuda tapi tidaklah sampai dunia saya hanyalah kuda. Makan, minum dan tidur semuanya kuda seperti orang gila bola.

"Kami juga berpisah secara baik dan tidak bergaduh. Mama pula tidak mahu masuk campur dalam perkara ini dan hanya menyerahkannya kepada kami berdua untuk mencari jalan terbaik. Saya tidak kecewa kerana apa yang berlaku itu sudah takdir," katanya.

Diana juga mengakui tidak terfikir hendak mencari pengganti lagi. Katanya, mereka masih berusaha untuk berbaik semula dan memperbaiki kelemahan masing-masing.

"Jika ada jodoh, kami akan menyambung semula hubungan kami nanti," katanya.

Apapun, Diana kini ada buah hati baru pengubat sunyi. Kata Diana, ibunya mempunyai anak angkat, Halley Hayden kini sudah berusia tiga tahun.


"Mama ingin membesarkan Halley dengan sempurna seperti kanak-kanak lain. Mama juga merancang untuk mengambil anak angkat perempuan pula selepas ini untuk melengkapkan lagi keluarga kami," katanya.


>PROFIL
NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson
TARIKH LAHIR: 22 November, 1991
ASAL: Dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat dan dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berusia dua tahun
UMUR: 20 tahun
KERJAYA: Model iklan dan pelakon
DARAH CAMPURAN: Amerika (ayah) dan Melayu (ibu)
KELUARGA: Anak tunggal, adik angkat Hayley
PENDIDIKAN: Mengikuti pengajian Ijazah Jurusan Biosains, Universiti Nottingham, cawangan Semenyih
FILEM: Idola (2002), Evolusi KL Drift (2008), Setem (2009), Maut (2009), Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Kecoh Betul (2009), ...Dalam Botol, Magika
DRAMA: Drama bersiri Air Mata Maria, Janji Diana, Sembilu Kasih, Takbir Terakhir, Cinta Bulan Dan Mentari, Gol & Gincu The Series, Igauan dan siri realiti, Project N.S, Farah Syakirah
ANTARA IKLAN : Volvo, Watson's, Pampers, Shuemura, Milo, Hazeline Snow Vietnam Market, Telecom I-talk, Fair and Lovely, Bauch and Lomb contact lense, Kentucky Fried Chicken, Binary Body Scrub, T3 Body Wash, F&N Soya Bean, Raflessia Pearl, Inner Shine Brands
KOMERSIL: Lampin Merries (ketika berusia sembilan bulan), Milo, Telekom Malaysia (TM), Hazeline Snow dan Fair & Lovely
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails