Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Saya tak pernah terbabit kes dadah' - Nabil


Nabil ulangi penafian tidak berada di pusat hiburan ketika serbuan polis

BAGAIKAN tak berkesudahan sisi peribadi juara Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 28, dipalit kontroversi, sekali gus mencemar nama baiknya sehingga mampu menggugat popularitinya. Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini pernah 'ditelanjangi' isu foto aksi cium mulut yang mengaitkan wajah dua individu persis dirinya bersama gadis belasan tahun, November lalu. Gadis itu ialah Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen atau Qasha, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 13,Subang Jaya, Selangor. Pun begitu, Nabil mengakui menjadi mangsa kecanggihan teknologi apabila mendakwa foto itu dihasilkan menerusi imej teknik pertindihan atau superimpose. Nabil juga menafikan sekeras-kerasnya individu berkenaan adalah dirinya. Namun, sehingga hari ini Nabil belum membuat sebarang laporan polis berhubung perkara berkenaan apabila mendakwa dirinya mangsa penganiayaan.

Belum pun isu foto panas itu bernoktah, Nabil kini berdepan pula kisah kononnya dia terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah dan dikaitkan kononnya lari daripada kepungan polis yang membuat serbuan mengejut di sebuah pusat hiburan, baru-baru ini.

Menerusi risikan, Nabil difahamkan menjadi perhatian pihak polis sejak kebelakangan ini apabila dia dikatakan sering menjadi pengunjung tetap sebuah pusat hiburan apabila tersebar desas-desus kononnya dia terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Sebelum ini, B*POP terbitan 6 Februari lalu menyiarkan sebuah artikel 'Juara Raja Lawak lari ketika diserbu polis'. Antara lain ia melaporkan juara Raja Lawak dapat memboloskan diri daripada kepungan polis apabila mengunjungi sebuah pusat hiburan popular di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur, pada 29 Januari lalu.

Difahamkan, juara Raja Lawak itu sempat melarikan diri apabila dia mendapat maklumat kehadiran polis di premis berkenaan pada jam 3.05 pagi iaitu sejurus selepas pusat hiburan itu beroperasi lebih masa. Artikel itu juga mendakwa, wartawan meja jenayah berpeluang melihat rakaman CCTV di pusat hiburan itu bersama pihak polis yang jelas memperlihatkan wajah juara Raja Lawak berkenaan sedang memboloskan diri menerusi pintu belakang premis berkenaan bersama beberapa pengunjung lain!
Bagaimanapun, artikel berkenaan langsung tidak menyebut nama Nabil sebagai juara Raja Lawak dimaksudkan.

Nabil berasakan artikel itu seolah-oleh dikaitkan dirinya membuat penafian kepada B*POP terbitan 13 Februari lalu menerusi artikel 'Nabil nafi bolos kepungan polis'.

"Saya terkejut, itu bukan saya! Saya bersumpah saya tidak ke pusat hiburan berkenaan.

Saya masih ingat pada malam 29 Januari, saya sibuk memasang kerusi yang baru dibeli. Saya berada di rumah sepanjang malam. Apabila didakwa ke pusat hiburan dan lari daripada kepungan polis, saya dapat berasakan nama saya semakin tercalar. Tapi, saya perlu mempertahankan diri kerana saya tidak melakukannya.

Kalau ikutkan, saya mahu melihat CCTV di pusat hiburan berkenaan, saya nak pastikan itu bukan diri saya," kata Nabil dalam laporan itu.

B*POP menemui Nabil di studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, ketika dia menjayakan rakaman Ewah-Ewah terbitan TV3, baru-baru ini, bagi mendapatkan kesahihan mengenai penafiannya itu.

Bagi Nabil, dia tidak berniat mencabar pihak polis untuk membuktikan kehadirannya di premis berkenaan menerusi CCTV seperti dinyatakan dalam artikel, namun beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya tidak pernah berada di situ. Jelas Nabil, kecanggihan teknologi hari ini mampu mengubah keadaan kerana kelibatnya di pusat hiburan pada tarikh dan waktu berlainan, boleh dieksploitasikan untuk menguatkan dakwaan ke atasnya berdasarkan artikel sebelum ini.

Sekiranya artikel berkenaan tidak tepat dan mampu mencalarkan lagi namanya, tidakkah Nabil bercadang mengambil tindakan undang-undang?

Nabil menjelaskan, dia tidak pernah berniat sampai ke arah itu kerana apa berlaku ke atasnya sekadar gosip yang tidak menyatakan sebarang nama.

"Ada perkara kita boleh diam, kita diam. Tapi, artikel disiarkan 6 Februari itu, benar-benar ditujukan kepada saya. Bukan saya saja berpendapat begitu, tapi turut disokong ibu bapa, saudara mara dan teman-teman.

Sekalipun artikel berkenaan tidak sebut nama saya, namun saya ingin membuat penjelasan, sekiranya ada pihak yang menuduh saya juara Raja Lawak dimaksudkan berada di premis berkenaan pada 29 Januari, jam 3.05 pagi, saya tidak pernah berada di situ.

"Saya sekadar ingin memberitahu, saya tidak pernah terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah. Sekiranya saya berada di premis berkenaan dan tidak terbabit dengan kes dadah, saya tidak perlu lari apabila ada serbuan polis.

"Apa yang berlaku adalah dakwaan pihak yang melihat CCTV nampak kelibat saya berada di premis berkenaan. Apabila orang membuat dakwaan, mungkin betul, mungkin tidak. Sepatutnya dakwaan itu harus disertai gambar.

Sepatutnya penulis melihat sendiri rakaman CCTV itu sebelum mengeluarkan artikel berkenaan. Saya tak pasti adakah CCTV mampu dijadikan bukti di mahkamah. Zaman sekarang macam-macam boleh buat, boleh sunting. Rakaman CCTV itu boleh diambil dari premis lain pada tarikh dan waktu yang berlainan," katanya.

Tak berniat cabar polis "Bukan niat saya untuk melihat CCTV itu dan memanjangkan cerita, sebaliknya saya ingin memaklumkan kepada orang ramai, pada 29 Januari itu, saya berada di rumah. Terpulanglah kalau ada pihak nak buat siasatan di kondominium saya pada 29 Januari itu, jam 3 pagi, ada CCTV yang merakamkan perjalanan keluar masuk saya," kata Nabil.

Nabil apabila didesak supaya dia melihat sendiri rakaman CCTV di pusat hiburan, Jalan Doraisamy pada 29 Januari itu, beliau seakan-akan keberatan dan memberikan alasan tidak mahu memanjangkan cerita.

"Sepatutnya wartawan berita yang melihat rakaman CCTV itu bersama polis, menunjukkan juga kepada penulis (Zubir) artikel berkenaan. Selepas itu barulah boleh dibuat penilaian sama ada saya bersalah atau sebaliknya.

"Saya tidak berniat mencabar polis supaya menampilkan bukti CCTV kerana tidak mahu cerita ini berpanjangan. Bagi saya, apa yang berlaku ke atas diri saya hanya sekadar gosip. Tindak balas saya hanya membersihkan nama dan tidak memanjangkan cerita," jelasnya lagi.

Namun, bagaimana dengan peluang Nabil dalam ABPBH2010, 3 April ini apabila dia sekali lagi tercalon menerusi kategori Pelakon Komedi Lelaki Popular apabila kontroversi sekali lagi menerjah dirinya?

"Apabila masuk Top 5, itu kira bernasib baik, memang tak sangka. Tuhan masih sayang dan beri saya peluang untuk berubah. Tapi, secara peribadi, bersama gosip dan kontroversi yang sentiasa melanda, saya berasakan agak sukar mempertahankan gelaran berkenaan. Fokus saya sekarang terhadap kerjaya kerana saya menanggung ibu bapa dan keluarga saya di kampung," terang Nabil.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails