Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Menanti kehadiran si kembar - Sazzy Falak


DIAM tak diam, sudah masuk usia enam bulan Sazzy Falak, 30, mengendong kandungannya. Makin meleret senyuman apabila mendapat tahu, kandungan sulungnya itu bukanlah satu, tetapi ada dua insan yang bakal dilahirkan Sazzy sekali gus mengganda kebahagiaan kepada dia dan suaminya, Nazril Idrus, 37.

Mengakui semakin teruja dengan kehadiran ‘orang baru’ dalam kehidupan mereka, cerita Sazzy, dia dan suami berkemungkinan bakal menimang cahaya mata perempuan tidak lama lagi.

Bercerita lanjut mengenai kehamilannya itu, kata pelakon filem Gol & Gincu ini, selepas sahaja diberitahu mengenai jantina bayi yang dikandungnya oleh doktor, pasangan suami isteri ini tidak mengambil masa yang lama untuk terus membeli barangan kelengkapan bayi.

Sebagaimana lazimnya pasangan ibu bapa lain, warna tema yang menjadi pilihan mereka untuk bayi yang bakal dilahirkan sudah tentulah merah jambu.

“Sekarang, saya dan Nash memang tengah ‘gila’ membeli barangan kelengkapan bayi. Kebanyakannya berwarna merah jambu.

“Iyalah, sesuai dengan jantina anak bakal lahir nanti. Ikut jangkaan doktor, saya akan bersalin pada bulan April ini.

“Pun begitu, kami berdua tidak mahu terlalu gelojoh membeli. Satu sebab kerana ia masih terlalu awal manakala satu lagi kerana kami tidak mahu membazir,” katanya.

Tambah Sazzy, kebanyakan barangan bayi telah dibeli semasa mereka berdua menjalani penggambaran telemovie berjudul Dan Sebenarnya di Dublin, Ireland baru-baru ini.

Sazzy mimpi pelik

Lumrah seorang ibu, nalurinya lebih tebal berbanding si bapa.

Dalam keterujaannya untuk menjadi ibu, Sazzy sempat berkongsi bagaimana dia memperolehi mimpi aneh yang kemudiannya mengundang tawanya sendiri.

“Bayangkan, punyalah saya tak sabar nak jadi ibu, ada sekali tu, saya mimpi saya keluarkan anak saya dari dalam perut dan bermain-main dengannya.

“Lepas penat bermain, saya simpan semula anak saya tu dalam perut. Yang peliknya cuma satu sahaja anak yang dikeluarkan. Walhal saya kan sedang mengandung anak kembar. Kelakar bukan?” katanya.

Celoteh Sazzy lagi, dia dan Nazril juga sudah mempunyai nama cadangan untuk diberikan kepada dua puteri mereka yang bakal dilahirkan.

Tidak mahu terikut-ikut dengan sesetengah ibu bapa yang gemar memberi nama terlalu panjang kepada anak, kata Sazzy, dia dan Nash lebih senang berpaut pada nama yang ringkas sahaja.

“Ada sesetengah orang, suka letak nama anak panjang-panjang, sampai penat kita nak menyebutnya.

“Bagi kami, lagi ringkas lagi mudah. Yang penting makna nama dan senang disebut,” katanya yang kini kerap mengidam makanan cina.

Mudah penat

Sebagaimana kaum-kaum ibu lain, Sazzy juga tidak terkecuali daripada mengalami sindrom kehamilan biasa.

Malah, cerita Sazzy dia kini cepat benar terasa penat dan itu cukup bertentangan dengan karakter asalnya yang aktif dan penuh tenaga.

Kongsi Sazzy, keadaan ini memaksa dirinya untuk lebih mengambil-berat mengenai perubahan fizikalnya dari semasa ke semasa.

“Tahu sahajalah, saya ni bukannya pandai duduk diam. Ada sahaja yang saya nak buat. Disebabkan sekarang saya kerap penat, maka saya banyak buat kerja di rumah sahaja.

“Kadang-kadang sahaja saya keluar menjenguk syarikat yang saya uruskan bersama Aishah Sinclair, yang selebihnya, banyak buat kerja dari rumah. Tawaran berlakon pun saya tak ambil sekarang.

“Mana tidaknya, kalau orang lain bawa satu, saya ada dua bayi dalam kandungan saya ni. Agaknya sebab itulah mudah penat,” candanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya apa rahsia dia menjaga kandungannya, kongsi Sazzy, dia hanya mengamalkan diet harian yang sihat termasuk makanan organik.

Selain itu, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 ini juga turut menyelitkan senaman yoga yang telah diamalkannya sejak setahun lalu.

Sementara itu, ketika diaju pertanyaan mengenai sebarang perubahan pada isterinya sepanjang tempoh kehamilan, Nash dalam senyuman tidak menafikan bahawa isterinya itu cukup manja.

“Saya perasan, sepanjang tempoh ini, dia jadi semakin manja dan kadang-kadang sensitif. Pada awalnya saya tak tahu langsung.

“Tetapi lama-kelamaan baru saya sedar, ia mungkin disebabkan faktor pembawaan budak dan ia adalah normal bagi seorang wanita,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang sempat diusik sama ada turut mengidam makanan pelik-pelik, kata Nash mujurlah keadaan itu tidak ‘berjangkit’ pada dirinya.

Pasangan yang diijabkabulkan pada 8 November 2006 ini bakal menemui peminat di skrin televisyen menerusi telemovie berjudul Dan Sebenarnya pada 13 Mac ini.

Bakal menemui penonton di saluran Astro Citra, Dan Sebenarnya akan bersiaran pada pukul 10 malam dengan turut menampilkan pelakon Zamarul Hisham, Dynaz, Farahdiya dan Zain Hamid.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails