Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Maya Karin temui lelaki idaman


AKHIRNYA, saya dapat bersama dengan lelaki yang dicintai. Tidak seperti sebelum ini, percintaan saya sering berakhir dengan kekecewaan,” akui Maya Karin.

Maya Karin Roelcke, 32, yang telah bercerai dengan bekas suami, Steven David Shorthose, 42, pada 16 Julai tahun lalu mengakui beliau senang dengan kehadiran Remy Ishak yang sudi menerimanya tanpa prejudis.

Kata Maya, semuanya berlaku tanpa dirancang dan apabila sering digandingkan bersama di pentas teater atau layar lebar, keserasian antara mereka terbina dengan sendiri.

Beliau mula bekerjasama dengan Remy dalam filem Anak Halal, teater Natrah dan terbaru, pasangan itu akan muncul dalam filem Cun, arahan Osman Ali yang bakal ditayangkan di pawagam pada 31 Mac ini.

Sambil mengukir senyuman, Maya memberitahu mereka bukan setakat berlakon bersama, malah turut berduet menerusi lagu Cun Selalu, ciptaan Nurzaidi Abd. Rahman.

Kemesraan antara Maya dan Remy bukan setakat dalam filem malah di luar pun sama dan secara tidak langsung, ia memudahkan jurufoto merakam foto mereka ketika majlis beramah mesra filem Cun yang diadakan di Restoran Enak Kuala Lumpur, Starhill Gallery, Bukit Bintang, baru-baru ini.

Baginya, Remy adalah seorang lelaki yang dedikasi kepada kerja dan mudah bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

Meskipun mengakui senang dengan Remy, namun Maya yang juga digosip dengan Yusry KRU, mengakui yang beliau masih solo dan ingin melalui hidup ‘bujangnya’ dengan gembira.

“Memang ada lelaki yang cuba untuk menjalin hubungan serius tetapi saya tolak dengan baik. Saya beritahu mereka yang saya belum bersedia untuk melaluinya sekali lagi.

“Hidup saya tidak pernah sunyi tanpa ditemani lelaki kerana sekarang ini saya lebih senang menumpukan perhatian pada kerjaya,” katanya.

Tidak mahu terus berteka-teki tentang hubungan cintanya, Maya mengakui yang hubungannya dengan Remy adalah sekadar rakan artis dan beliau amat senang berlakon bersama pemuda itu.

Katanya, sebagai pemegang watak Luna Latisya yang bercinta dengan Atan, lakonan Remy dalam filem Cun, beliau perlu menjiwai watak tersebut sepenuh hati agar nampak ‘hidup’.

“Luna adalah seorang pengacara rancangan gosip yang berjaya dalam industri hiburan. Dia seorang yang ‘gila-gila’ dan membawa diri ke sebuah kampung setelah melalui satu tragedi.

“Sikapnya yang energetik itu sama dengan keperibadian saya. Kali ini, saya tidak gedik seperti dalam filem Pisau Cukur. Kiranya watak Luna Latisya ini seorang yang lebih ceria,” akuinya.

Bagi Maya, pengalaman menjalani penggambaran di kampung dan bermain lumpur di sawah bukan sekadar memenuhi tuntutan kerjaya, malah ia juga merupakan satu percutian indah untuknya.

Katanya, beliau rasa tenang sekali berada jauh dari ibu kota dan tidak ada perasaan bosan kerana dikelilingi krew yang ramai, mereka diibaratkan seperti satu keluarga.

“Seronok berlakon Cun kerana ada perkara yang saya tidak pernah buat sebelum ini, saya lakukan dalam filem ini. Contohnya, tunggang kerbau.

“Memang ada rasa berdebar, takut kalau tiba-tiba kerbau itu mengamuk atau tendang saya. Untuk babak tunggang kerbau itu, tiga atau empat kali take jugalah,” ceritanya.

Kata Maya, Cun adalah cerita cinta lakonannya yang kedua selepas filem Seri Dewi Malam dan bakal menyusul nanti, Ombak Rindu.

Menurutnya, hanya jalan cerita Cun disudahi dengan happy ending dan itu memberi kepuasan kepadanya kerana beliau dapat bersama dengan lelaki yang dicintai.

Album baru Maya

Disebabkan kerap berlakon, tidak hairanlah kalau ramai hampir terlupa bahawa Maya juga seorang penyanyi dan pernah tampil dengan album Erti Cinta (2001) dan Bukan Qalamaya (2003).

Setelah lapan tahun menyepikan diri dari studio rakaman, kini Maya kembali menggilap semula bakat nyanyiannya menerusi album ketiga.

Katanya, album yang memuatkan enam buah lagu itu sudah hampir siap dan bakal menemui peminat selewat-lewatnya tahun ini juga.

“Rasa-rasanya orang sudah lupa yang saya juga menyanyi. Disebabkan lama tidak buat rakaman, mula-mula memang berdebar tapi atas tunjuk ajar Audi Mok, saya dapat lakukannya dengan selesa.

“Selain Audi, Azlan Typewriter juga sumbang lagu. Tiga daripada lagu dalam album itu adalah kisah saya sejak 10 tahun lalu. Saya tidak tulis lirik tapi saya ceritakan kisah itu kepada penulis lirik,” katanya.

Maya akui beliau tidak sabar untuk melihat album berkonsep pop itu berada di pasaran.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails