Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Emosi Nina


Filem Hanyut uji Diana Danielle mengasah bakat lakonan di Los Angeles

ADAT manusia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Begitu juga si cantik jelita, Diana Danielle Danny Beeson, 20. Disebabkan kritikan, pelakon berketurunan Melayu-Inggeris itu sanggup ke Los Angeles, California, Amerika Syarikat untuk mendalam ilmu lakonan.

Walaupun sudah memiliki hidup mewah, gadis kelahiran Houston, Amerika Syarikat itu belum puas dengan apa dikecapi kini. Mungkin ada menganggap dirinya bertuah kerana dipilih membintangi beberapa filem hebat, namun jauh di sudut hatinya, masih belum ada apa yang boleh dibanggakan.
Jiwa kentalnya tidak pernah luntur apabila dikritik, malah dirinya menganggap kritikan sebagai cabaran yang menguji semangat perjuangannya. Lantas, Diana sanggup mengeluarkan duit simpanan untuk menyertai kelas lakonan selama sebulan di New York Film Academy, Los Angeles (Universal Studio) sejak 6 April lalu.

New York Filem Academy diiktiraf sebagai pusat pengajian filem terbaik dunia dengan kemudahan peralatan lengkap dan tenaga pengajar berpengalaman, selain melahirkan ramai pembikin filem terkemuka di dunia. Memegang falsafah `pembelajaran melalui latihan', akademi filem itu berjaya melahirkan ramai seniman terkemuka dunia termasuk, Steven Spielberg dan pengarah serta pelakon terkenal, Roger Donaldson.

“Saya agak tercabar apabila ada mengkritik lakonan saya belum dapat dibanggakan, bagaimanapun saya tidak meletakkan kritikan sinis dalam hati. Apa harus dilakukan ialah memperbaiki mutu lakonan. Saya tekad belajar di Los Angeles, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Saya dapat banyak ilmu yang mungkin tidak pernah diperoleh jika saya ambil sikap tunggu dan lihat. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Begitu juga ilmu dan pengalaman, saya perlu mencari dan menerokainya. Walaupun hanya mengambil pengajian asas, tetapi pembelajarannya cukup berbeza. Saya gembira guru dan rakan-rakan sentiasa memberi sokongan. Subjek seperti babak, pergerakan, teknik lakonan, monolog dan lontaran suara membuka mata apa diperoleh dalam lakonan selama ini belum mencukupi. Saya juga banyak belajar mengenai imaginasi.

“Saya tenang di sana, cuacanya tidak terlalu panas dan tidak begitu sejuk. Kehidupan saya jauh daripada mama, jadi saya kena belajar berdikari. Dulu, saya banyak bergantung hidup dengan mama, tetapi apabila berada di perantauan, saya pandai uruskan diri. Saya bertemu rakan pelbagai bangsa dari seluruh dunia dan bertukar pengalaman mengenai ilmu lakonan,” katanya yang pulang ke tanah air, minggu lalu.
Di sebalik itu, Diana menjelaskan, filem epik termahal lakonan beliau, Hanyut arahan U-Wei Saari yang dikatakan menelan belanja RM16 juta itu bakal menjadi kayu pengukur perjuangannya dalam dunia lakonan.

Filem itu banyak mencabar emosinya yang pelbagai dengan watak sebagai anak gadis lelaki Inggeris yang datang ke Asia Tenggara untuk mencari emas di kepulauan Borneo.

Tanpa berselindung, Diana yang memegang watak Nina mengakui: “Pembikinannya terlalu rumit. Ketika itu, saya rasa seperti mahu berhenti berlakon, tetapi saya melihat pelakon lain seperti Sofia Jane, Ady Putra, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Bront Paralae, Khalid Salleh dan Sabri Yunus tidak langsung mengeluh walaupun berdepan dengan situasi yang memenatkan. Hanyut adalah filem berlatarkan abad lalu dan lokasinya pula dalam hutan rimba di sekitar Kuala Lipis dan Taman Negara, Pahang.

“Empat bulan menjadi penghuni rimba membuatkan saya sedar, bukan mudah untuk menghasilkan filem hebat seperti Hanyut. Pemandangannya cukup indah, tetapi menghasilkannya perlu meletakkan kesabaran yang tinggi dalam diri. Banyak perkara tidak pernah saya lakukan terpaksa dilalui seperti mendayung sampan,” katanya.

Belajar cakap bahasa Melayu kiasan

BAGI Diana, filem Hanyut banyak memberi pendedahan berguna untuk dirinya sebagai pelakon kerana di kelilingi oleh mereka yang hebat dalam dunia lakonan selain dapat bekerja dengan sutradara yang dikenali di peringkat antarabangsa. Namun, baginya, bukan mudah untuk merealisasikan watak Nina kerana banyak ketelitian perlu dipelajari demi membawa watak anak gadis orang Inggeris yang datang ke Borneo.

“Hampir dua minggu saya melakukan latihan mendayung. Awalnya, memang sukar melakukannya tetapi lama kelamaan, saya rasa seronok pula. Bagaimanapun, itu bukanlah masalah besar kerana saya sebenarnya seorang yang lasak.

“Saya suka pada aktiviti yang mencabar, cuma ada kalanya terpaksa mengharungi cabaran seperti faktor cuaca serta tekanan untuk menjayakan watak Nina sebaik mungkin,” jelasnya.

Selain itu, Hanyut turut dibintangi bintang Indonesia, Alex Komang dan El Manik serta pelakon Australia yang pernah muncul dalam filem X-Men Origins: Wolverine, Peter O'Brien.

Diana juga menceritakan, dia begitu kagum melihat kostum dan set 1830-an yang dibuat dengan sangat teliti. Dia juga terpegun melihat set dan subset serta props untuk penggambaran filem itu terutama kapal dan rumah lama yang didirikan.

“Saya banyak belajar mengenai kehidupan orang Melayu pada abad lalu melalui filem ini. Saya kena menguasai bahasa pertuturan orang Melayu sekitar tahun 1850-an. Cara percakapan mereka bukanlah seperti dalam drama bangsawan, sebaliknya lebih banyak menggunakan bahasa kiasan.

“Pembikinan Hanyut menjadi satu kebanggaan pada semua pihak yang ingin melihat filem tempatan mencapai standard antarabangsa. Ini terbukti apabila beberapa rumah kampung termasuk set istana Raja Melayu pada kurun ke-19 dibina dan kos props ini khabarnya menelan belanja sehingga RM200,000,” katanya.

Hanyut berdasarkan novel pertama Joseph Conrad mengisahkan Nina, gadis berdarah kacukan Eropah dan Asia yang cuba dididik bapanya, Almayer (Chris Vance) sebagai wanita Barat. Namun, sekembalinya ke Tanah Melayu dari Singapura, Nina dalam diam menyintai Dain Maroola (Adi Putra) sehingga sanggup melarikan diri bersama pemuda itu.

Almayer yang pada mulanya taksub dengan pencarian emas di kawasan pergunungan tekad memburu mereka. Filem itu kini dalam proses pascaproduksi dan dijangka ditayangkan tahun depan.

Profil

NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson
NAMA KOMERSIAL: Diana Danielle
USIA: 20 Tahun
TARIKH LAHIR: 22 November 1991
TEMPAT LAHIR: Houston, Amerika Syarikat
KETURUNAN: Melayu-Amerika
KERJAYA: Model/ Pelakon/Penyanyi
DRAMA: Sembilu Kasih, Air Mata Maria, Janji Diana, Cinta Bulan, Mentari, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah
FILEM: Idola, Evolusi KL Drift, Maut, Bohsia, Setem, Kecoh Betul, Magika, ... Dalam Botol, Hanyut dan Barajiwa
LAGU: Radio (bersama Imran Ajmain, Ahmad Nabil dan Infinatez) & Penyembuh Rindu (duet bersama Mawi)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails